Ketika artikel ini ditulis tinggal dua hari lagi proses pengundian pilihanraya kecil DUN Batu Talam akan dijalankan pada 28 Januri 2006. Walaupun parti pembangkang PAS, Keadilan dan DAP tidak bertanding dan BN hanya melawan seorang remaja berbangsa Cina berusia 22 tahun, namun liputan yang diberikan oleh media massa tetap hebat sama seperti BN menghadapi parti pembangkang utama tadi, malah BN terus mengempur dengan segala kemudahan dan janji-janji projek di kawasan Batu Talam.
Inilah kelebihan pilihanraya kecil berbanding pilihanraya umum apabila ia berlaku ia akan membawa satu rahmat kepada penduduk disekitarnya. Kalau sebelumnya ada pemimpin yang bukan setakat tak pernah jejak kaki ke kawasan tersebut, malah nama kawasan tersebutpun tak pernah mereka kisahkan. Namun bila ada pilihanraya kecil, maka berbondong-bondong pemimpin kecil dan besar menyusur di setiap denai dan lurah, menyusup di setiap celah rumah di perkampungan pendalaman. Ada yang bertukar gaya macam orang kampung berkain pelikat dan berketayap. Hajat mereka sama iaitu untuk meraih undi dan dalam pada pertemuan itu maka rakyat dihujani dengan janji projek segera. Itulah namanya rezeki pilihanraya.
Bak kata ramai kawan teman, pilihanraya kecil adalah medan membuat duit bagi kebanyakan orang. Itulah sebabnya bila ura-ura pembangkang untuk memboikot pilihanraya, ramai yang jadi sawan. Sepatutnya kalau tiada pertandingan lagi bagus sebab dapat menang percuma. Jimat masa, tenaga dan wang. Tapi itu kiraan kita, tapi bagi orang politik apabila tiada pertandingan maka tiadalah peluang untuk buat duit. Bila ada pertandingan, maka akan buka peluang untuk kontrak buat poster, papan tanda, membekalkan makanan, pasang poster, kenderaan dan sebagainya. Bagi orang politik habuan lebih besar menanti mereka kerana setiap kerja ada habuannya. Tidak hairanlah lepas sahaja pilihanraya akan ada yang berkereta baru dan segala yang baru.
Namun bagi peniaga mereka turut menumpang tuah apabila kunjungan orang luar akan memberikan mereka pelanggan yang ramai seperti yang dinyatakan oleh calon bebas bahawa tujuan beliau bertanding adalah untuk membuka peluang perniagaan kepada masyarakat di Raub dan Batu Talam khasnya. Hotel dan rumah tumpangan hatta rumah kosong yang berhantupun akan laku untuk disewa bagi petugas-petugas parti dari luar kawasan.
Apapun peluang untuk calon bebas menang adalah tipis, namun siapa tahu Batu Talam akan memberikan kejutan .. Bagi calon bebas Ng Chee Pang jika ia berjaya mendapat kembali depositnya itu sudah cukup sebagai satu kemenangan moral baginya yang berlawan dengan jentera BN, kerajaan dan media..
Selamat mengundi .. memberikan pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah dan memberi undi kepada sesiapa sahaja adalah hak mutlak rakyat. Beri duit ambil, beri kain pakai dan undi atas kebijaksanaan masing-masing ...
No comments:
Post a Comment