Tuesday, August 24, 2010

Rakyat Didahulukan: Saidina Omar Contoh Terbaik

Saidina Omar Al-khatab adalah khalifah Islam kedua dalam pemerintahan Khulafa Arrasyidin. Dalam masa pemerintahan beliau sebagai Khalifah Kerajaan Islam Madinah telah berlaku kejadian kemarau yang teruk hingga menjejaskan tanaman dan kehidupan rakyatnya.

Dalam menghadapi masalah ini, Saidina Omar telah berucap di depan rakyatnya, seraya berkata "Apakah kejadian kemarau ini berlaku akibat kesalahan (dosa) yang aku lakukan sehingga kamu semua rakyat terpaksa menerima balasannya atau apakah ia akibat kesalahan (dosa) yang kamu semua lakukan sehingga aku juga menerima akibatnya."

Di sini dilihat bahawa dalam memahami masalah kemarau, Khalifah sendiri akan muhasabah dirinya selain memohon agar rakyatnya juga berbuat perkara yang sama. Semoga melalui proses ini mereka akan memperbetulkan kesilapan yang mengundang murka Allah melalui bala kemarau.

Dalam menghadapi kemarau, maka kebergantungan rakyat hanyalah kepada khazanah negara. Oleh itu sebagai khalifah , Saidina Omar telah menyediakan makanan untuk rakyatnya dan akan pastikan bahawa setiap orang daripada mereka tidak terlepas daripada mendapat bantuan makanan.

Saidina Omar akan pastikan rakyatnya dapat makanan dahulu berbanding dirinya. Sesudah semua makanan yang disediakan diagihkan kepada rakyatnya, maka barulah beliau akan memakan lebihan daripada rakyatnya.

Dikisahkan apabila sudah diagihkan kepada semua rakyatnya dan makanan yang lebih telah diberikan kepada beliau, walaupun begitu beliau masih keberatan untuk memakannya kerana beliau masih khuatir akan ada rakyatnya yang masih memerlukan makanan tersebut sehinggalah di akhirnya yang tinggal hanyalah sisa-sisa minyak di dalam bekas makanan itu untuk beliau dan digaulkan dengan sisa-sisa roti untuk beliau makan.