Friday, October 13, 2006

PERUBAHAN HAD LAJU PATUT JELAS, DISELARAS

(artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian 12 Oktober 2006 dalam ruangan Surat/Email pembaca)

Untuk mengurangkan jumlah kemalangan maut di jalan Persekutuan dan jalan negeri, penurunan had laju sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) dikuatkuasakan sepanjang musim perayaan bermula Selasa 17 hingga 15 Januari 2006.

Had laju maksimum di jalan Persekutuan kini ialah 90 km/j manakala negeri 80 km/j. Serentak itu, Kementerian Kerjaraya mengarahkan semua kerja pembinaan jalan, baik pulih lebuh raya, jalan negeri atau Persekutuan dihentikan dua hari sebelum sambutan Deepavali sehingga dua hari selepas Aidilfitri bagi kemudahan pengguna.

Menteri berkenaan, Datuk Seri S Samy Vellu yang menandatangani dokumen mewartakan pelarasan baru had laju di jalan persektuan dan negeri daripada 90km/j kepada 80 km/j, berharap langkah itu dapat mengurangkan kemalangan maut.

Penurunan had laju itu adalah lanjutan daripada cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebagai langkah untuk mengurangkan kemalangan di jalanraya khasnya ketika musim perayaan. Saya tidak ingin mengulas isu ini kerana saya pasti bahawa dengan penurunan had laju ini tidak akan memberikan kesan yang besar memandangkan faktor asasnya ialah sikap pemandu itu sendiri.

Jika diletakkan had laju 10 km/j sekalipun kalau sikap tidak berubah maka pemandu ini akan terus memecut walaupun tahu mereka mungkin dikenakan tindakan undang-undang, apa saja peraturan baru tidak akan memberikan kesan.

Namun apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah papan tanda had laju dijalan Persekutuan dan negeri mesti cukup dan dipasang pada tempat yang strategik. Berdasarkan pengamatan saya yang selalu menggunakan jalan persekutuan khasnya daripada Rawang, Selangor hingga ke sempadan Perak dan Pulau Pinang, banyak papan tanda had laju telah hilang daripada lokasinya.

Sepatutnya sebelum sampai ke zon had laju yang baru, contohnya daripada 90 km/j ke 60 km/j, maka 500 meter sebelumnya akan diletakkan papan tanda bahawa zon had laju 60km/j di hadapan.

Ia sebagai pemberitahuan kepada pemandu agar bersedia untuk menurunkan had laju kenderaan mereka. Bila sudah sampai 500 meter maka pemandu akan dapat melihat papan tanda itu dan akan menurunkan kelajuan mereka.

Jika zon itu panjang maka selepas beberapak kilometer akan ada lagi papan tanda memberi ingatan had laju. Kalau zon itu sudah berakhir akan diletakkan papan tanda silang bererti zon had laju berkenaan tamat.

Ia akan diikuti oleh papan tanda memberitahu zon had laju yang baru seperti had laju 90 km/j. Selepas beberapa kilometer akan ada lagi papan tanda memberi peringatan had laju tertentu. Begitulah seterusnya yang sepatutnya ada di jalan persekutuan dan negeri mengikut zon had laju yang ditetapkan.

Namun saya sering bertemu keadaan yang amat mengelirukan. Contohnya bila sudah memasuki zon had laju 60 km/j khasnya kawasan persimpangan atau pekan kecil maka selepas zon berkenaan tiada papan tanda memberitahu zon had laju itu tamat.

Tiba-tiba sahaja muncul papan tanda peringatan had laju 90 km/j. Kalau keadaan begini pemandu cuma memandu di bawah had laju yang dibenarkan tetapi kalau ketika memandu dalam di zon 90 km/j dan memasuki zon 60 km/j tetapi disebabkan papan tanda itu telah hilang maka pemandu akan terus memandu mengikut had laju sebelumnya. Tiba-tiba muncul papan tanda "peringatan had laju 60 km/j" maka ketika itu pemandu mungkin sudah terkena perangkap had laju kerana memandu 90 km/j di kawasan 60 km/j walaupun dari segi teknikalnya mereka tidak bersalah kerana tidak mendapat maklumat yang tepat.

Oleh itu saya memohon pihak yang berwajib meneliti hal ini dan saya percaya melalui pelaksanaan had laju baru ni maka banyak papan tanda baru akan dipasang bagi mengantikan papan tanda had laju yang lama.

Adalah diharapkan papan tanda itu dipasang pada tempat yang boleh dilihat pemandu dan tidak mengelirukan. Kehilangan papan tanda ini adalah disebabkan kerja-kerja menaik taraf jalan-jalan persekutuan dan juga akibat kemalangan.

Namun itu bukan alasan untuk tidak mengantikannya. Pemandu akan terainaya jika dikenakan tindakan undang-undang sedangkan maklumat yang diberikan kepada mereka tidak tepat. Bersama kita menjadikan jalan raya kita selamat dan selesa ketika memandu.


Jamaludin bin Haji Ismail
Rawang, Selangor