Wednesday, November 23, 2011

TAK NAK KAHWIN: KEGAGALAN ORANG LAIN DIJADIKAN ALASAN

Ramai individu khasnya perempuan menyatakan tidak teringin untuk mendirikan rumahtangga kerana tidak mahu gagal dalam perkahwinan. Mereka sering menjadikan kes-kes kegagalan rumahtangga yang berlaku di kalangan ahli keluarga atau rakan-rakan sebagai penyebab kenapa mereka tidak berumahtangga.

Bilangan mereka adalah tinggi di kalangan yang mempunyai pekerjaan yang baik yang memberikan pendapatan yang besar. Dengan pendapatan begini mereka mampu untuk menyara diri sendiri dan menyediakan kemudahan kediaman, kenderaan serta perkara lain. Bagi mereka kegagalan dalam berumahtangga adalah kegagalan dalam hidup yang boleh menjejaskan kehidupan mereka.

Namun mereka tidak sedar bahawa orang yang gagal dan lemah adalah mereka yang tidak pernah untuk mencuba dan tidak bersedia menghadapi cabaran, khasnya dalam mengharungi dunia berumahtangga. Kegagalan mereka adalah kerana menjadikan kelompok kecil, iaitu orang yang gagal berumahtangga sebagai alasan, sedangkan sebahagian besar mereka yang mendirikan rumahtangga kekal dan bahagia hingga ke akhir hayat tidak pula dijadikan contoh dan ikutan.

Analoginya jika kita melihat banyak berlaku kemalangan, maka adakah wajar kita tidak memandu kenderaan? Sudah tentu tidak. Ini kerana setiap manusia telah ditentukan oleh takdir. Namun ia harus dimulai dengan usaha, dituruti dengan berdoa dan bertawakkal.