Friday, September 21, 2012

PENCEGAHAN ADALAH PENDEKATAN TERBAIK UNTUK ELAK PENYAKIT JANTUNG DAN STROK


  
    Pencegahan adalah pendekatan terbaik untuk bebas daripada serangan
penyakit jantung dan strok, pembunuh nombor satu di kalangan wanita
di Malaysia,  kata Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Datuk Dr
Azhari Rosman,  BERNAMA melaporkan pada Khamis di Kuala Lumpur..
    Beliau berkata satu daripada empat wanita di negara ini mati akibat sakit
jantung dan serangan strok.
    "Penyakit kardiovaskular adalah satu daripada penyakit bahaya yang berlaku
apabila terdapat gangguan bekalan darah ke jantung. Ia akan menyebabkan
risiko serangan jantung.
    "Penyakit kardiovaskular berlaku apabila seseorang itu mengalami hipertensi
atau serangan darah tinggi dan berat badan berlebihan atau obesiti," katanya
pada sidang akhbar sempena Hari Jantung Sedunia 2012 di Akademi Perubatan
Malaysia di sini.
    Berdasarkan laporan data Survei Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan 2011
(NHMS IV), daripada sejumlah 17,000 wanita yang terlibat dalam kajian,
29.4 peratus mempunyai masalah berat badan berlebihan dan 15 peratus
mengalami masalah obesiti.
    "Saya tahu kebanyakan wanita sukar untuk mengurangkan berat badan mereka
tetapi mereka mesti melakukannya jika mahu bebas daripada serangan jantung.
    "Saya cadangkan semua orang perlu mengamalkan cara hidup sihat seperti
berhenti merokok kerana ia boleh merosakkan jantung, amalkan diet seimbang
dalam kehidupan harian dan bersenam untuk sentiasa kekal sihat," katanya.
    Selain itu, Dr Azhari juga berharap ibu bapa melatih anak-anak mereka cara
hidup sihat sejak usia awal kanak-kanak kerana ia boleh membantu mereka
bebas daripada penyakit pada masa depan.
    Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi Pediatrik dan Presiden Persatuan
Jantung Pediatrik Malaysia (MPCS) Dr Hasri Samion berkata kanak-kanak
juga berisiko mendapat sakit jantung.
    "Kami anggarkan daripada 1,000 kelahiran, terdapat lapan bayi lahir dengan
penyakit jantung kongenital.
    "Penyakit jantung kongenital yang paling biasa berlaku ialah jantung
berlubang yang termasuk kecacatan septal ventrikular (VSD), kecacatan septal
atrial (ASD) dan patent ductus arteriosus (PDA) dan 'bayi biru," katanya.
    Beliau berkata lima hingga lapan peratus yang menghidap penyakit itu tidak
boleh dirawat dengan pembedahan dan mereka boleh mati pada usia muda
terutama 'bayi biru'.
    Hari Jantung Sedunia akan disambut pada 29 Sept dan tema untuk tahun ini
ialah 'Satu Dunia, Satu Rumah, Satu Jantung' yang memberi tumpuan kepada
wanita dan kanak-kanak.
 

JUALAN KENDERAAN BERMOTOR TURUN 12.9 PERATUS PADA OGOS



 Menurut kenyataan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).Jualan kenderaan
bermotor pada Ogos turun 7,644 unit atau 12.9 peratus kepada 51,823 unit
berbanding 58,382 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
    MAA berkata segmen kereta penumpang mencatatkan jualan 45,687 unit
berbanding dengan 52,559 unit pada tahun lepas tetapi jualan kenderaan
komersil meningkat kepada 6,136 unit daripada 5,823 unit.

    Menurut laporan media beberapa hari lepas, orang ramai mengambil sikap
tunggu dan lihat ke atas polisi kerajaan berkenaan harga kenderaan dalam bajet
yang akan dibentangkan pada 28 September ini. Adalah kurang tepat jika
dikatakan bahawa penurunan itu disebabkan bulan kerja yang singkat
kerana cuti Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Merdeka kerana tahun lepas
perayaan yang sama juga jatuh pada bulan Ogos tetapi jualan kenderaan
tetap tinggi.
    Tinjauan MAA menganggarkan bahawa jualan kenderaan bermotor
pada September dijangka dikekalkan pada paras Ogos.
    "Walau pun keadaan pasaran dijangka tidak berubah, sentimen
pengguna dijangka berhati-hati, yang bergantung kepada pengumuman
bajet tahun depan," katanya.
    MAA berkata pengeluaran pada bulan lepas merosot kepada
39,346 unit berbanding 44,789 unit pada bulan yang sama tahun
lepas.
    Pengeluaran kereta penumpang turun kepada 35,542 unit berbanding
41,217 unit pada bulan yang sama 2011 manakala pengeluaran kereta
komersil meningkat sedikit kepada 3,804 unit berbanding 3,572 unit,
pada tempoh yang sama tahun lepas.