Wednesday, October 28, 2009

Aceh Laksana Kod Pakaian Islam

BANDA ACEH - Wanita Islam di daerah Aceh Barat akan diharamkan memakai seluar panjang ketat dan jean berikutan pelaksanaan undang-undang baru, kata seorang pegawai semalam.

Bermula pada tahun depan, wanita yang memakai seluar panjang atau jean yang dianggap terlalu ketat akan diminta menukar kepada skirt labuh yang diberikan oleh kerajaan. Seluar panjang yang dipakai oleh wanita itu akan digunting menjadi helaian kecil .
"Jika didapati ada wanita yang ingkar, seluar mereka akan digunting serta-merta dan digantikan dengan skirt yang disediakan secara percuma oleh pemerintah Aceh Barat," kata ketua daerah itu, Ramli Mansur.

"Peraturan itu bukan sahaja untuk golongan wanita, malah lelaki turut dilarang memakai seluar pendek," tambahnya.

Namun, peraturan itu akan dilaksanakan di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam dan dilaksanakan berdasarkan cadangan daripada ulama.
"Kami masih menghormati hak penduduk bukan Islam dan mereka tidak perlu bimbang," kata Ramli.
Menurutnya, seluar panjang boleh dipakai di dalam skirt selagi tidak ada bahagian buku lali yang terdedah.
"Kami tidak akan menghalang wanita daripada memakai seluar panjang. Apa yang dilarang ialah seluar panjang ketat dan jean.
"Jika mereka terpaksa memakai seluar panjang, ia perlu melindungi buku lali dan dipakai dalam skirt labuh," katanya. - AFP