Wednesday, September 12, 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan: Pembangunan Infra Tiada dalam Perancangan

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang
menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem
pendidikan negara telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan
pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan
yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.
Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh
13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha
memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan
kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan
penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah
kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.
Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti,
kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.
Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam
sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global
iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran
diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.
Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan
standard antarabangsa;
2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah
dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan
kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Semakan menyeluruh diadakan bermuala pada Oktober 2011 yang melibatkan
lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan
orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.
Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat
pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.
Namun dalam pelan pembangunan itu tidak menyentuh langsung usaha-usaha
untuk meningkatkan infrastrutur seperti pembinaan sekolah-sekolah baru dan
penambahan bilik-bilik darjah serta kemudahan-kemudahan asas yang lain.
Adalah diketahui bahawa pada masa kini terdapat sekolah-sekolah yang
mempunyai kepadatan murid di dalam kelas yang mencapai 40 hingga 50
orang murid iaitu melebihi had 35 orang.
Juga tidak dinyatakan usaha kerajaan untuk mewujudkan sekolah satu sesi
di mana kini hampir kebanyakan sekolah mengadakan dua sesi pembelajaran
akibat ketidakcukupan bilik-bilik darjah.