Monday, December 19, 2011

Pencapaian Sukan Negara 2011

Bercampur baur antara suka dan duka itulah yang dapat ditafsirkan untuk pencapaian sukan negara tahun 2012.

Di kala sukan bolasepak mula menunjukkan sinarnya apabila skuad bawah 23 tahun berjaya mengekalkan pingat emas Sukan Sea lalu di Indonesia serta harapan yang sama diletakkan bagi acara hoki bila skuad remaja bawah 21 tahun berjaya menjadi johan Piala Sultan Johor lalu , beberapa acara sukan yang lain memberikan cerita yang berbeza pula. Namun itu baru permulaan dan diharap sinar yang muncul untuk sukan bolasepak dan hoki itu terus memancar sehingga mampu meletakkan pasukan negara di kedudukan yang baik di rantau Asia dan dunia.

Sukan sepak takraw negara terus merudum dan bukan lagi menjadi satu pasukan yang digeruni di rantau Asia Tenggara apabila sudah tidak mampu lagi mengatasi pasukan-pasukan yang dulunya menjadi belasah skuad negera seperti Indonesia dan Myanmar. Dalam Sukan Sea lalu, squad sepak takraw hanya mengutip dua pingat gangsa, iaitu pencapaian terburuk pasukan negara dalam Sukan Sea. Tiadanya perancangan dan perbalahan dalam persatuan antara punca mengapa sukan ini gagal dibangunkan.

Begitu juga dengan sukan badminton yang hanya bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei untuk gelaran juara yang kini sudah mula menunjukkan penurunan dalam prestasinya sejajar dengan peningkatan usia. Bergu negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong terus dirundum malang apabila kekalahan demi kekalahan dialami walaupun silih ganti jurulatih digunakan dan yang terbaru jurulatih yang dipilih sendiri oleh mereka, Pang Cheh Chang. Namun kegagalan terus menimpa dan yang terbaru dalam kejohanan Final Siri Super Dunia 2011 di mana mereka kalah dalam semua perlawanan kumpulan kepada bergu Korea, Denmark dan Indonesia dan gagal ke separuh akhir. Nampaknya badi yang menimpa Hafiz Hashim terus berpanjangan. Sejak menjuarai All Englang tahun 2003, pencapai Hafiz tidak boleh dibanggakan kerana kejuaraan terakhir yang dimenanginya adalah juara terbuka Macau 2006. Selepas itu pencapaian terbaiknya hanyalah separuh akhir terbuka Macau 2011. Muka-muka baru masih tidak menyakinkan dan gagal meletakkan diri di persada badminton dunia.

Sukan olahraga juga terus menimbulkan kontroversi sama ada di dalam atau di luar padang. Pergeseran para atlit dengan pihak pengurusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan pegawai KOM dengan Majlis Sukan Negara (MSN) serta perbalahan dalaman antara pegawai-pegawai KOM bukanlah rahsia lagi. Bermula dengan isu atlit gagal menjalani ujian air kencing dan hinggalah atlit yang memenangi pingat emas dihantar pulang awal sehingga tidak sempat menerima pingat kemenangan adalah antara rentetan peristiwa yang menjelaskan mengapa sukan olahraga gagal menyinar di dalam Sukan Sea lalu.

Ringkasnya, kegagalan dalam sukan negara ada kaitannya dengan salah urus tadbir badan-badan sukan tersebut. Pertikaian sesama pegawai akan menyebabkan perjalanan pentadbiran terganggu. Pemain atau atlit seharusnya menumpukan perhatian kepada latihan dan pertandingan dan tidak seharusnya dilibatkan sama dalam urusan pentadbiran. Sudah sampai masanya mereka yang sudah tidak mampu menaikkan mana-mana sukan mengundurkan diri dan memberikan peluang kepada individu-individu yang berminat, berkebolehan dan professional mengendalikan sukan negara.

Islam Moderate, Pertengahan: Apa Ukurannya?

Kita sering dimomokkan dengan konsep “Islam moderate” atau sederhana yang secara jelasnya berlawanan dengan “Islam extremis” atau melampau. Ramai sarjana mengatakan bahawa Islam itu pada keseluruhan nya adalah agama “pertengahan” atau agama yang meletakkan dasar “sederhana” di dalam segala ajarannya, sama ada dalam ibadat , muamalat, cara dan gaya hidup, budaya mahupun semua tindakan dan perilaku Muslim di dalam semua bidang kehidupannya dalam urusan dunia dan akhirat.

Namun apakah petunjuk “sederhana atau pertengahan” itu. Di dalam bahasa Arab perkataan ‘wasatiyyah’ adalah berasal daripada wasat, iaitu “tengah” atau “pertengahan”. Malah terdapat satu pecahan kalimah wasat ini di dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan bahawa “sebaik-baik perkara itu ialah ‘pertengahan’nya” dan pengertian “pertengahan” ini disebutkan di dalam hadis tersebut dalam bahasa Arab sebagai ausat yang juga pecahan daripada kalimah wasat, yang bererti bahawa sebaik-baik sesuatu amalan, perkataan, pekerjaan dan sebagainya itu adalah yang berasaskan kepada konsep pertengahan.

Berdasarkan hadis ini juga, dan pengertian ayat al-Quran yang menyebut tentang orang Islam sebagai ummatan wasatan (surah al-Baqarah, ayat 143) , maka konsep wasatan ini sering diterjemahkan sebagai “umat pertengahan”.

Kesalahfahaman tentang konsep “pertengahan, kesederhanaan”, malah “perseimbangan” yang juga merupakan konsep ‘wasatiyyah’ yang sering digunakan oleh umat Islam ketika memahami konsep ‘wasatiyyah’ ini, banyak mengakibatkan kekeliruan umat Islam sendiri dalam mencapai kemajuan di dalam segala bidang kehidupannya serta dalam amal soleh mereka.

Di dalam hal beribadat sekadar melakukan ibadat khusus yang wajib sahaja masih belum menepati tahap sederhana. Ia mestilah disulami dengan ibadat-ibadat sunat yang lain tanpa menjejaskan aktiviti kehidupan yang lain. Namun ditegah jika hanya melakukan terlalu banyak ibadat sunat hingga meninggalkan hal-hal dunia seperti mencari nafkah dan menuntut ilmu.


Orang yang sederhana atau pertengahan adalah orang yang berjaya mengatur kehidupannya di dalam membahagikan masa melakukan ibadat dan menjalani kehidupan yang lain serta tidak melakukan perkara-perkara mungkar. Orang yang sederhana tidak meninggalkan kerja-kerja dunia seperti bekerja mencari rezeki, belajar dan mengajar, bersosial dan bermasyarakat, yang semua itu juga sebahagian daripada suruhan agama jika ia dilaksanakan menurut syarak.


Contohnya di dalam mengamalkan dasar “kesederhanaan” dalam berpakaian. Umat Islam digalakkan berpakaian cantik dan mengenakan wangi-wangian, namun cantik sahaja tidak memadai jika syarat utama kesederhanaan itu menutupi aurat tidak dipenuhi.


Masyarakat yang bersederhana tidak menunjukkan kemewahan dan kemegahan, tetapi sesuatu yang dibuat atas dasar keperluan.


Ringkasnya “sederhana atau pertengahan itu” merujuk kepada individu atau masyarakat yang melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran dalam kehidupan mereka.