Monday, December 19, 2011

Islam Moderate, Pertengahan: Apa Ukurannya?

Kita sering dimomokkan dengan konsep “Islam moderate” atau sederhana yang secara jelasnya berlawanan dengan “Islam extremis” atau melampau. Ramai sarjana mengatakan bahawa Islam itu pada keseluruhan nya adalah agama “pertengahan” atau agama yang meletakkan dasar “sederhana” di dalam segala ajarannya, sama ada dalam ibadat , muamalat, cara dan gaya hidup, budaya mahupun semua tindakan dan perilaku Muslim di dalam semua bidang kehidupannya dalam urusan dunia dan akhirat.

Namun apakah petunjuk “sederhana atau pertengahan” itu. Di dalam bahasa Arab perkataan ‘wasatiyyah’ adalah berasal daripada wasat, iaitu “tengah” atau “pertengahan”. Malah terdapat satu pecahan kalimah wasat ini di dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan bahawa “sebaik-baik perkara itu ialah ‘pertengahan’nya” dan pengertian “pertengahan” ini disebutkan di dalam hadis tersebut dalam bahasa Arab sebagai ausat yang juga pecahan daripada kalimah wasat, yang bererti bahawa sebaik-baik sesuatu amalan, perkataan, pekerjaan dan sebagainya itu adalah yang berasaskan kepada konsep pertengahan.

Berdasarkan hadis ini juga, dan pengertian ayat al-Quran yang menyebut tentang orang Islam sebagai ummatan wasatan (surah al-Baqarah, ayat 143) , maka konsep wasatan ini sering diterjemahkan sebagai “umat pertengahan”.

Kesalahfahaman tentang konsep “pertengahan, kesederhanaan”, malah “perseimbangan” yang juga merupakan konsep ‘wasatiyyah’ yang sering digunakan oleh umat Islam ketika memahami konsep ‘wasatiyyah’ ini, banyak mengakibatkan kekeliruan umat Islam sendiri dalam mencapai kemajuan di dalam segala bidang kehidupannya serta dalam amal soleh mereka.

Di dalam hal beribadat sekadar melakukan ibadat khusus yang wajib sahaja masih belum menepati tahap sederhana. Ia mestilah disulami dengan ibadat-ibadat sunat yang lain tanpa menjejaskan aktiviti kehidupan yang lain. Namun ditegah jika hanya melakukan terlalu banyak ibadat sunat hingga meninggalkan hal-hal dunia seperti mencari nafkah dan menuntut ilmu.


Orang yang sederhana atau pertengahan adalah orang yang berjaya mengatur kehidupannya di dalam membahagikan masa melakukan ibadat dan menjalani kehidupan yang lain serta tidak melakukan perkara-perkara mungkar. Orang yang sederhana tidak meninggalkan kerja-kerja dunia seperti bekerja mencari rezeki, belajar dan mengajar, bersosial dan bermasyarakat, yang semua itu juga sebahagian daripada suruhan agama jika ia dilaksanakan menurut syarak.


Contohnya di dalam mengamalkan dasar “kesederhanaan” dalam berpakaian. Umat Islam digalakkan berpakaian cantik dan mengenakan wangi-wangian, namun cantik sahaja tidak memadai jika syarat utama kesederhanaan itu menutupi aurat tidak dipenuhi.


Masyarakat yang bersederhana tidak menunjukkan kemewahan dan kemegahan, tetapi sesuatu yang dibuat atas dasar keperluan.


Ringkasnya “sederhana atau pertengahan itu” merujuk kepada individu atau masyarakat yang melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran dalam kehidupan mereka.

No comments: