Friday, February 05, 2016

WADAI KIPENG MAKANAN TRADISI ORANG BANJAR

Orang Banjar adalah pecahan bangsa Melayu yang mendiami Semenanjung Malaysia terutamanya di Perak, iaitu di kawasan Sungai Manik, Bagan Serai dan Parit Buntar, manakala di Selangor di kawasan Sekincan dan Tanjong Karang selain di beberapa kawasan di Johor.

Wadai kipeng adalah makanan tradisi orang Banjar yang masih wujud di dalam masyarakat moden hari ini. Ia biasanya disediakan dalam majlis-majlis kenduri kesyukuran dan perkahwinan.

Gambar menunjukkan gotong royong membuat wadai kipeng.


Bawah menunjukkan aktiviti memasak wadai kipeng.


Wadai kipeng yang sudah dimasak dan sedia untuk dihidangkan.


Thursday, February 04, 2016

LIGA MALAYSIA 2016 BERMULA PADA 13 FEBRUARI 2016

Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara juara liga super 2015 Johor Darul Takzim (JDT 1) dan juara piala Malaysia 2015, Selangor pada 13 Februari 2016 di Stadium Larkin, Johor Baharu akan menjadi pembuka tirai perlawanan liga Malaysia 2016 yang melibatkan 12 pasukan dalam liga super dan 12 pasukan dalam liga premier. 

Pasukan Liga Super

Perlawanan-perlawanan yang melibatkan sepuluh pasukan lain dalam liga super akan turut berlangsung pada tarikh berkenaan di lima stadium.

Musim ini menyaksikan semula kemunculan Kedah dan Pulau Pinang serta T-Team di dalam liga super.  Kedah dan Pulau Pinang naik ke Liga Premier selaku juara dan naib juara liga premier, manakala pasukan T-Team menewaskan ATM dalam perlawanan play-off untuk naik ke liga super bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggal oleh pasukan LION XII yang tidak mengambil bahagian pada tahun ini, manakala ATM diringi oleh pasukan KL Sime Darby turun ke liga premier.
Pasukan KL S.P.A Putrajaya pula turun ke liga FAM untuk tahun 2016 ini dan tempatnya diisi oleh Pasukan Melaka United dan Perlis selaku juara dan naib juara piala FAM pada tahun 2015.

Pasukan Liga Premier


Bagi tahun 2016, FAM masih mengekalkan syarat di mana setiap pasukan dibenarkan mendaftar dan menurunkan empat pemain import bagi mewakili pasukan masing-masing.

Tuesday, February 02, 2016

MoU PALSU PENYUMBANG KEJATUHAM EKONOMI

Artikel ini ditulis dan disiarkan dalam Harakah pada tahun 1997.
Krisis keyakinan pelabur luar Negara terhadap pengurusan ekonomi Negara adalah antara faktor yang menyebabkan keruntuhan ekonomi Negara.

Ramai pihak mengakui bahawa asas ekonomi (economic fundamental) Malaysia berada pada asas yang masih kukuh dan dana kewangan antarabangsa (IMF) sendiri bersetuju dengan pendapat tersebut. Jika asasnya kukuh, mengapakah ekonomi Malaysia menjunam begitu teruk sekali sehingga Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) mengalami kemerosotan sehingga 70 peratus pasaran modal dan ringgit menyusut lebih 75 peratus berbanding dollar Amerika. Pada 9 Januari 1998, indek BSKL berada pada paras bawah 500 mata dan nilai ringgit pula berada pada kadar RM4.56 berbanding US$1. Adalah sesuatu yang tidak logik keadaan ini berlaku di dalam keadaan asas ekonomi yang dikatakan kukuh. Namun bagi ahli ekonomi dan para pelabur terdapat faktor-faktor lain yang menentukan kesanggupan mereka di dalam melakukan sesuatu aktiviti pelaburan.

Jadi apakah sebabnya pelabur-pelabur hilang keyakinan terhadap ekonomi Malaysia. Antaranya ialah wujudnya perjanjian-perjanjian persefahaman (MoU) palsu yang dibuat oleh syarikat-syarikat Malaysia dengan pelabur-pelabur luar Negara.

MoU boleh diibaratkan sebagai suatu proses peminangan yang akan diikuti oleh perkahwinan. Di dapati di dalam dunia ini, individu yang mengikat tali pertunangan tidak mempunyai objektif lain selain untuk mendirikan rumahtangga. Begitu juga dengan MoU, ia seharusnya disusuli dengan perjanjian untuk membentuk usahasama dalam perniagaan.

Walaupun diakui terdapat MoU yang tulen, namun terdapat sekalangan ahli perniagaan Malaysia yang menggunakan MoU untuk matlamat lain. MoU yang ditandatangani bukanlah lahir dari hasrat untuk menjalinkan usahasama di dalam aktiviti perniagaan ataupun pelaburan, tetapi digunakan sebagai alat atau mekanisme untuk mendapatkan publisiti dan untuk meningkatkan lagi nilai saham syarikat.

 Sering disiarkan di media massa terdapat syarikat-syarikat yang tersenarai di BSKL membuat pengumuman di sidang media bahawa mereka akan melabur di Negara-negara tertentu dan beberapa MoU telah ditandatangani dengan pihak luar untuk mewujudkan kerjasama perniagaan yang bakal memberikan keuntungan yang nilainya berjuta-juta ringgit kepada syarikat mereka. Begitu juga ketika MoU ditandatangi, mereka akan hebahkan kepada umum tentang viabiliti projek-projek yang kononnya bakal dijalankan yang akan memberikan pulangan besar kepada syarikat.

Unjuran-unjuran palsu ini akan menarik minat pelabur-pelabur untuk membeli saham-saham syarikat berkenaan kerana mereka diyakinkan bahawa syarikat tersebut mempunyai potensi untuk maju dan berkembang di masa hadapan dan seterusnya memberikan pulangan yang tinggi.

Strategi menggunakan MoU memang Berjaya dan hamper kesemua saham baru yang tersenarai sebelum bulan Ogos 1997 mencatatkan kenaikan dalam harga premium mereka. Namun selepas tersenarai di BSKL dan harga saham syarikat telah meningkat ganda, MoU yang ditandatangani entah ke mana.

Walaupun MoU itu adalah penyataan hasrat untuk bekerjasama dan tidak salah di sisi undang-undang jika tidak dilaksanakan, tetapi ia memberikan imej yang tidak baik kepada syarikat tersebut kerana perbuatan tersebut merupakan salah laku moral dalam dunia perniagaan.

Apabila ia berlaku, maka pelabur luar akan menilai prinsip ahli perniagaan Malaysia yang melakukan perkara ini – tidak jujur. Apakah orang akan berurusan dengan mereka yang tidak jujur kerana mereka rasa dipermainkan dan jika pelaburan telah dilakukan di Malaysia, maka mereka memikirkan bahawa pelaburan mereka tidak selamat dan lebih baik ditarik balik pelaburan tersebut ketika harganya berada pada paras yang tinggi.

Kewujudan MoU palsu berada pada tahap yang membimbangkan. Sehingga bulan Mac 1997, sebanyak 49 peratus atau 179 MoU yang telah ditandatangani telah tidak dilaksanakan daripada 363 yang telah ditandatangani dengan syarikat daripada dua puluh buah Negara. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Azizi sendiri melahirkan rasa kesalnya dan mendedahkan terdapat rungutan daripada kerajaan dan pelabur luar berkenaan hal ini.

Dilaporkan daripada 103 MoU yang ditandatangani dengan pelabur dari China hanya 62 (61%) dilaksanakan, Kemboja 11 MoU dan 8 dilaksanakan, manakala kesemua 41 MoU dengan syarikat-syarikat dari Vietnam tidak dilaksanakan dan 10 MoU daripada 14 melibatkan syarikat dari Afrika Selatan.

Apabila MoU yang ditandatangani tidak dilaksanakan, maka pelabur-pelabur luar merasa dipermainkan oleh ahli perniagaan Malaysia keran untuk mewujudkan MoU memerlukan perbelanjaan dan penggunaan sumber dalam menyediakan terma-terma dan mengenalpasti bidang-bidang yang akan diusahakan. Usaha mereka untuk menwujudkan kerjasama seolah-olah tidak dihargai, membuang masa dan sumber.

Apabila tiada projek dilaksanakan dan aktiviti syarikat lembab, maka nilai saham akan pasif atau mungkin menyusut. Pelabur-pelabur dalam dan luar Negara yang memegang saham-saham syarikat tersebut akan menjualkan saham mereka bagi mendapat modal sebelum ia terus jatuh atau berpindah kepada pasaran saham yang lain. Oleh itu apabila pelabur luar yang menguasai 70 peratus nilai saham di BSKL menarik diri, barulah ramai yang sedar bahawa sebenarnya sayrikat-syarikat tempatan tidaklah mewah. Nilai syarikat yang bernilai ratusan juta, hakikatnya adalah modal orang lain.

Ketua Pejabat Perdagangan dan Industri Sumatera Utara, Yupie S Batu Bara menyentuh isu ini dalam mesyuarat bersama Dewan Perdagangan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Perak pada Jun 1997.

Menurut beliau, MoU yang ditandangani antara Malaysia dan Indonesia lebih kepada kepentingan peribadi, meningkat harga di kaunter-kaunter saham dan dalam masa sama melenggah-lenggahkan pelaksanaan projek yang dipersetujui.

Oleh itu jangan disalahkan pelabur luar jika mereka menarik diri dari melabur di BSKL dan diakui memang terdapat spekulator dari dalam dan luar Negara yang turut memburukkan pasaran saham dalam Negara, tetapi itu adalah “adat” atau permainan dalam ekonomi kapitalis.

Menyedari perlunya MoU dikawal, kabinet Malaysia telah membincangkan masalah ini dan menetapkan bahawa semua MoU yang ditandatangi oleh syarikat-syarikat Malaysia dengan syarikat-syarikat luar didaftarkan dengan pejabat kedutaan Malaysia atau pejabat perdagangan Malaysia (Matrade) di negara tersebut. Selain itu MoU baru juga disyaratkan didaftarkan di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum ia ditandatangani.

Melalui rekod yang ada, maka tindakan susulan boleh diambil oleh agensi terbabit untuk memastikan MoU tersebut dilaksanakan seperti yang terkandung di dalam dokumen yang dipersetujui bersama. Agensi-agensi berkenaan boleh membantu menyelesaikan karenah birokrasi yang dihadapi sama ada di dalam dan di luar negara.