Friday, November 02, 2012

Prizer Malaysia Bantu Atasi Masalah Mati Pucuk

Prizer Malaysia dengan kerjasama lebih 80 buah farmasi telah mengambil langkah untuk membantu individu-individu yang mempunyai masalah mati pucuk tetapi malu untuk mendapatkan rawatan  dan khidmat nasihat doktor. 

Kini, sempena Kempen We Love, Sustaining Passions, individu bermasalah boleh menyampaikan masalah mereka kepada pakar-pakar perubatan melalui kotak pertanyaan di lebih 80 buah farmasi. 

Menerusi kotak "We Love" para pelanggan yang ingin bertanyakan sesuatu mengenai ED boleh memasukkan sebarang soalan berkaitan masalah ini bagi mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan yang berkelayakan. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai ED dan menggalakkan pasangan menjadi lebih proaktif mendapatkan jawapan serta mendidik mereka berkenaan masalah yang dialami oleh sebilangan lelaki ini. 

Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan pasangan supaya terus mengekalkan keintiman bagi perhubungan yang lebih akrab dan mesra.

Menurut Perunding Kempen We Love, Sustaining Passions, Paul Jambunathan, objektif utama untuk menempatkan kotak-kotak pertanyaan ini di farmasi terpilih adalah untuk memudahkan orang ramai menghantar pertanyaan mereka. 

''Mereka boleh menulis pertanyaan mereka mengenai ED pada kad dan memasukkannya ke mana-mana kotak dan semua maklumat akan dirahsiakan. 

"Melalui kempen ini, Pfizer Malaysia akan bekerjasama dengan rakan-rakan kami untuk memperkasakan lelaki yang mengalami masalah ED supaya mereka berani berbincang dan mendapatkan rawatan yang selamat untuk masalah ini," katanya. 

Tambah Jambunathan lagi, terdapat sebilangan golongan Adam yang lebih senang memilih ubat palsu dan ubat-ubatan yang telah diubah suai yang boleh didapati secara berleluasa secara dalam talian dan melalui saluran lain untuk menangani masalah ED ini.
 
Namun katanya, pengambilan ubat sendiri tanpa pengesahan daripada doktor tidak digalakkan  kerana ia boleh membahayakan kesihatan pesakit.


Jambunathan berkata, beliau ingin melihat lebih ramai pasangan, terutamanya kaum lelaki, memahami bahawa ED ialah masalah yang mesti didiagnosis dengan betul dan dirawat secara berkesan dan selamat oleh pakar perubatan yang berkelayakan. 

''Mengenal pasti ED dari peringkat awal amat penting kerana ia mungkin menandakan masalah kesihatan lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

Oleh itu, rawatan awal ED juga boleh menjadi prasyarat untuk mencapai kesihatan diri secara keseluruhan. "Pfizer juga merancang untuk menerbitkan Risalah We Love yang menampilkan soalan dan  jawapan terpilih oleh panel pakar penjagaan kesihatan berkelayakan kami," katanya. 

Beliau memberitahu, risalah berkenaan akan diterbitkan sebanyak dua kali pada tahun ini iaitu pada November dan Disember boleh diperoleh secara percuma di farmasi-farmasi yang  mengambil bahagian. 

Program pendidikan dengan kerjasama farmasi-farmasi ini adalah sebahagian daripada kempen We Love, Sustaining Passion yang telah dilancarkan baru-baru ini untuk meraikan ulang tahun ke-15 penemuan PDE5 inhibitor yang pertama untuk merawat ED. 

Sementara itu, Pengarah Perubatan Pfizer Malaysia, Dr. Vicknesh Welluppillai berkata, hanya  dengan bersikap proaktif dalam mendapatkan rawatan yang betul sahaja, golongan bermasalah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan emosi dan fizikal secara keseluruhan tetapi apa yang lebih penting lagi hubungan intim dapat dipertingkatkan di kalangan suami isteri.

Melalui inisiatif-inisiatif ini katanya, Pfizer Malaysia komited untuk memberanikan kaum lelaki yang mungkin mengalami ED untuk mengembalikan keyakinan diri mereka untuk sentiasa mencintai dan mengekalkan keintiman. 

''Selain itu, kami sedang merancang untuk mengadakan bengkel We Love, Sustaining Passions untuk pasangan suami isteri di Pulau Tioman bulan ini. ''Kepada pasangan yang berminat boleh menghantar e-mel ke welove.sustainingpassions.gmail.com untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kriteria pilihan. 

Mereka juga boleh menghubungi 016- 22118800 untuk maklumat lanjut," jelasnya.

sumber: Utusan Malaysia