Wednesday, November 04, 2009

Qurban Mulia Di Tempat yang Lebih Memerlukan



Kini musim haji menjengah kembali dan umat Islam yang berkemampuan akan menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu ibadah haji di Tanah Suci Mekah.

Selain itu ibadah yang digalakkan dilakukan sempena Aidil Adha ialah melakukan ibadah qurban di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini sempena peristiwa besar yang berlaku di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Ibadah qurban dilakukan dengan mengagihkan daging atau diberi makan kepada golongan fakir miskin. Namun pada hari ini di dapati ibadah qurban seakan menjadi adat di mana pelaksanaannya tertumpu di kawasan orang yang mewah dan senang.

Kedapatan kadang-kadang sampai 20 hingga 30 ekor lembu disembelih di satu-satu kawasan yang pada zahirnya didiami oleh orang yang berada. Memang daging sembelihan diagihkan kepada orang miskin dan anak yatim, namun sebahagian lagi dibawa balik atau diagih-agihkan kepada golongan berada.

Sepatutnya qurban dibuat di kawasan yang di diami oleh orang miskin, susah atau fakir dan golongan yang berada memberikan wang untuk membeli lembu dan disembelih di kawasan golongan yang susah. Contohnya di rumah anak yatim dan di kawasan yang dikenal pasti ramai orang susah sama ada dalam atau luar negara.