Thursday, July 12, 2012

Orang bunuh diri kekal di Neraka Jahanam

Dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sepotong besi,
maka dengan besi yang tergenggam di tangannya
itulah dia akan menikam perutnya dalam Neraka
Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan
di dalam neraka itu untuk selama-lamanya.

Sesiapa yang membunuh dirinya dengan meminum racun
maka dia akan merasai racun itu dalam Neraka Jahanam
secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam
neraka itu selama-lamanya. Begitu juga, sesiapa yang
membunuh dirinya dengan terjun dari puncak gunung,
dia akan terjun dalam Neraka Jahanam secara berterusan
untuk membunuh dirinya dan dia akan dikekalkan dalam
neraka itu.

Suatu topik yang hangat diperkatakan dalam masyarakat
hari ini ialah kejadian bunuh diri. Dilaporkan bahawa
puncanya disebabkan kurang tahap didikan dan beratnya
beban yang ditanggung pelaku. Dalam Islam membunuh diri
termasuk dosa besar kerana manusia adalah makhluk
dimuliakan Allah dan diutamakan melebihi makhluk lain.
Orang membunuh diri adalah orang yang lari daripada
tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah, perbuatan
itu menunjukkan kurang kepercayaan terhadap takdir
Allah SWT sedangkan Islam mengajar umatnya sabar,
tawakal dan melarang sifat berputus asa.

Orang beriman dilarang membunuh diri atas sebarang
alasan kerana Allah SWT berfirman yang maksudnya:
"Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya
Allah adalah Maha Penyayang kepadamu."
(Surah an-Nisaa, ayat 29).

Daripada Jabir Samurah, katanya: "Dibawa orang
kepada Nabi SAW jenazah seorang lelaki yang membunuh
diri dengan anak panah. Tetapi jenazah itu tidak
disolatkan oleh Baginda." (Hadis riwayat Muslim)

Meskipun hidup menanggung beban, jangan melakukan
jalan pintas untuk keluar daripadanya iaitu dengan
membunuh diri kerana segala sesuatu masalah menimpa
adalah ujian dan ketentuan daripada Allah.
"Janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah
adalah Maha Penyayang kepadamu" Surah n-Nisaa, Ayat 29.


Tuesday, July 10, 2012

Ramadhan Mengamit

Hanya tinggal beberapa hari lagi untuk umat Islam menyambut Ramadhan, iaitu bulan yang diwajibkan kepada umat Islam untuk berpuasa. Bulan yang hanya padanya disunatkan umat Islam melakukan solat terawih yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

Institusi Ramadhan adalah bulan tarbiyah untuk kita muhasabah diri, bulan untuk membuat koreksi dan sebagai penggerak untuk membentuk diri dari seorang muslim yang baik kepada yang lebih baik.

Ramadhan adalah bulan yang di awalnya diberikan rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya pelepasan daripada api neraka. Bulan Ramadhan adalah bulan bonus yang Allah berikan kepada umat Islam. Pahala melakukan ibadat wajib digandakan kepada 70 kali dan ibadat sunat mendapat pahala ibadat wajib. Apatah lagi kalau dilakukan secara jemaah. Di dalamnya juga ada satu malam iaitu Malam Lailatul Qadar yang Allah berikan kelebihannya ibarat 1000 bulan. Kalau bonus kerajaan bagi satu bulan pun kita dah seronok. Ini kan pula bonus 70 kali (sama 70 bulan) dan ada yang sampai 1000 bulan. Hatta orang tidur di siang hari pun mendapat pahala, tetapi dengan syarat amalan wajib tak ditinggalkan dan bertujuan supaya dapat beribadat pada malamnya.

Sama-samalah kita membuat persediaan untuk melayari Ramadhan. Bukan masanya lagi untuk membuat persediaan menghadapi Syawal. Buatlah rujukan untuk kita mendalami ilmu bagi mendapat kesempurnaan dalam melakukan amal kebaikan. Amal tanpa ilmu ibarat pohon rendang yang tak berbuah dan apa yang penting lagi ialah keikhlasan dalam beribadat. Bukan ikut-ikutan tapi kerana ia adalah kewajipan sebagai hamba Allah.

Sama-samalah juga kita berdoa semoga kita diberikan kekuatan keimanan dan kesihatan tubuh badan agar kita termasuk dalam golongan insan-insan yang berjaya mengapai peluang yang besar ini. Juga kita berdoa agar Ramadhan ini bukanlah Ramadhan yang terakhir buat kita kerana sesungguhnya kita banyak melakukan dosa, maka hanya dengan rahmat Allah sahaja dapat menyelamatkan kita. Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan agar sama-sama kita bertekad untuk mengambil kesempatan ini untuk jadi insan yang kamil wal mutakamil dan jangan kita jadikan Ramadhan ini sama seperti bulan-bulan yang lain berlalu tanpa rasa apa-apa di dalam diri dan jiwa kita. Jadikan Ramdhan sebagai pesta ibadah bukan pesta juadah dan Ramadhan adalah bulan ibadat bukannya adat.

Jadikan Ramadhan untuk kita meningkatkan darjat kita, sekali lagi sebagai turning point for us to move forward. Dan tanda seseorang itu berjaya dalam menjalani ibadah Ramadhan ialah akan ada perubahan yang baik dalam dirinya bila lepas Ramadhan nanti. Akhirnya sama-samalah kita jaga sholat kerana sholat adalah amalan pertama yang akan dihisap di akhirat nanti dan prasyarat untuk Allah menerima amalan-amalan kebaikan yang lain. Ramai yang mampu berpuasa 14 jam sehari tetapi tidak mampu untuk meluangkan masa 15 minit untuk satu waktu sholat ...

Moga puasa membentu kita menjadi insan yang bertaqwa. Usahlah disibukkan diri dengan persiapan aidil Fitri hingga menjejaskan ibadat di dalam bulan Ramadhan. Sesungguhnya ganjaran yang besar tidak ada dibulan lain, maka janganlah lepaskan peluang ini.