Wednesday, March 25, 2015

Premium Insuran Bukan Hayat Kena CBP (GST)

         Bermula 1 April 2015, kerajaan akan mengenakan cukai barangan dan
perkhidmatan ke atas semua barangan dan perkhidmatan (CBP) kecuali yang diberikan pelepasan dan pengecualian dan ini termasuk beberapa produk di bawah perkhidmatan insurans dan takaful.
        Namun begitu insurans dan takaful hayat adalah dikecualikan daripada (CBP), kata Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) seperti mana yang dilaporkan oleh BERNAMA.
         Dalam satu kenyataan di sini hari ini, persatuan berkata antara produk dikecualikan CBP ialah polisi seumur hidup, endowmen, anak, pendidikan dan anuiti. Bagaimanapun, premium bagi rider bukan hayat seperti penyakit kritikal, perubatan dan kesihatan serta kemalangan diri akan tertakluk kepada CBP, katanya. LIAM berkata rider bukan hayat didefinisikan sebagai rider yang tidak meliputi kematian semula jadi. 
         Sekalipun premium bagi polisi berkaitan pelaburan tidak dikenakan CBP, fi dan caj terhadap polisi-polisi ini seperti fi polisi akan tertakluk kepada CBP, katanya. "Bagi polisi yang dibayar menerusi fasiliti debit, syarikat insurans akan bekerja dengan bank untuk meningkatkan had yang dibenarkan untuk meliputi CBP," katanya. LIAM mempunyai 16 anggota iaitu 14 syarikat insurans hayat dan dua syarikat insurans semula hayat.