Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang cantik itu budi yang indah itu bahasa. Begitulah peribahasa Melayu dalam menggambarkan hubungan antara budi dan bahasa di dalam kehidupan bermasyarakat, di mana kedua-keduanya merupakan unsur yang penting dalam proses berinteraksi. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padanya. Pepatah ini jelas memberikan peringatan kepada kita agar berhati-hati atau berlapik dalam berkata-kata kerana akibatnya adalah besar sama ada baik ataupun buruk.
Laporan kajian yang dijalankan oleh Reader’s Digest seperti yang disiarkan oleh media cetak tempatan pada bulan Ogos lalu menunjukkan bahawa Kuala Lumpur menduduki tangga ke tiga terbawah di dalam senarai penduduk ibukota terpilih di dunia yang paling tidak bersopan dan kasar. Walaupun terdapat beberapa keraguan berkenaan kaedah penyelidikan tersebut tetapi pengalaman dan pemerhatian di dalam masyarakat tidak dapat menafikannya.
Budi Bahasa mengikut takrifan kamus Dewan ialah merujuk kepada satu bentuk tingkahlaku atau pertuturan seseorang. Secara mudahnya tahap budi bahasa seseorang itu diukur melalui tingkahlakunya dan juga melalui bahasa dan nada yang dilafazkannya ketika bertutur. Individu yang berbudi bahasa bermaksud individu yang tahu menghormati individu lain, bersikap sabar, berkelakuan dan bertutur secara sopan, lemah lembut dengan menggunakan bahasa yang sopan yang dizahirkan di dalam interaksinya dengan individu yang lain.
Mengapa perlunya kita berbudi bahasa di dalam masyarakat? Ia adalah elemen penting bagi memastikan keharmonian dalam masyarakat. Bagi tujuan itu, setiap ahli masyarakat mesti mempunyai ciri-ciri insan yang berbudi bahasa dan mengamalkannya di dalam masyarakat. Individu-individu ini yang berperanan sama ada sebagai ibubapa, pemimpin masyarakat atau negara, guru-guru, ketua pejabat dan sebagainya haruslah menzahirkan amalan berbudi bahasa di dalam setiap tindakan mereka sama ada ketika pergaulan ataupun berkomunikasi secara terus ataupun melalui telefon dengan harapan ia akan menjadi ikutan dalam membudayakan amalan budi bahasa dalam kehidupan seharian di kalangan orang bawahan mereka.
Selain itu hubungan antara sesama insan juga harus berdasarkan rasa hormat menghormati di antara satu sama lain serta sentiasa menjaga batas dan maruah diri setiap individu yang berada di bawah seliaan mereka. Kita harus sedar bahawa rasa hormat tidak boleh diperolehi melalui paksaan. Ia akan datang sendiri apabila kita terlebih dahulu menghormati orang lain. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Pepatah ini menjelaskan bahawa setiap orang yang berkedudukan tinggi tidak akan mengalami sebarang kekurangan dalam dirinya jika bersikap menghormati orang lain, tetapi sebaliknya akan lebih dihormati dan disayangi oleh orang-orang di bawahnya.
No comments:
Post a Comment