Hukuman kepada penjenayah di dalam Islam bukan hanya sekadar hukuman kepada pelaku, tetapi adalah lebih merupakan satu bentuk pendidikan dan peringatan untuk tujuan pencegahan, khasnya kepada ahli masyarakat yang lain.
Di dalam hukuman syariah, terdapat undang-undang iaitu Hudud, Qisas, Qazaf, dan Takzir.
http://lesongbatu1.blogspot.com/2011/10/undang-undang-islam-bukan-sekadar.html
Undang syariah adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan agama, keluarga (nasab keturunan), akal, harta benda dan nyawa.
Demi menjaga agama adanya undang-undang Riddah di bawah Hudud yang dikenakan kepada orang Islam yang murtad. Pelaksanaannya melalui proses iaitu diberikan peluang untuk bertaubat sebanyak tiga kali dan selepas engkar barulah hukuman dilaksanakan.
Islam amat menjaga nasab keturunan iaitu untuk membina keluarga wajib melalui perkahwinan. Oleh itu di dalam hudud, pelaku zina akan dikenakan hukuman sebat 100 kali rotan kepada mereka yang belum kahwin dan rejam sampai mati kepada mereka yang berkahwin. Para ulama menyatakan bahawa hukuman rejam adalah kerana pelaku telah mengkhianati pasangan masing-masing dengan mengadakan hubungan haram. Namun pelaksanaan hukuman amat ketat antaranya memerlukan empat saksi yang mukallaf dan tidak fasik. Anak-anak yang lahir daripada hubungan sumbang akan memutuskan nasab keturunan dan banyak masalah akan lahir dalam keluarga dan masyarakat. Selain itu membuat tududahan zina kepada orang mukmin tanpa membawa bukti-bukti syarak, maka penuduh boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu sebat sebanyak 40 kali sebatan. Ia perlu agar ahli masyarakat tidak sewenang-wenangnya menuduh orang lain berzina hanya kerana pertentangan dalam diri dan kelompok masing-masing.
Akal yang waras akan memandu manusia ke jalan yang baik. Semua perkara yang membawa kepada kerosakan akal sama ada sementara atau kekal adalah haram. Contohnya perbuatan meminum minuman keras dan pengambilan dadah. Oleh itu meminum arak adalah haram kerana boleh merosakkan akal dan akibatnya pelbagai kerosakkan di atas bumi dilakukan oleh pemabuk-pemabuk. Tujuan pencegahan adalah dengan mengenakan hukuman sebat 80 kali rotan kepada pelakunya.
Memiliki harta benda adalah fitrah manusia dan mencarinya melalui jalan yang halal adalah dituntut agama. Oleh itu pemilikan harta benda melalui jalan yang salah adalah haram dan jika diperolehi melalui kegiatan mencuri, merompak, samun atau menipu mereka boleh dikenakan hukuman hudud iaitu potong tangan dan kaki. Namun prosesnya amat ketat dan faktor-faktor persekitaran dan kemanusiaan akan diambil kira sebelum hukuman dijatuhkan. Contohnya, pekerja yang mencuri wang majikannya akibat tidak tidak dibayar gaji oleh majikannya, maka ia tidak dikenakan hukuman potong tangan, bahkan majikannya pula yang akan dikenakan hukuman oleh pemerintah.
Selain itu, Islam amat menjaga nyawa sehingga membunuh diri adalah berdosa besar dan pelakunya dikira mati di dalam keadaan bukan beragama Islam. Oleh itu perbuatan membunuh atau mengambil nyawa orang lain adalah haram dan boleh dikenakan di bawah hukuman Qisas iaitu setiap perbuatan yang dilakukan mesti dibalas dengan perbuatan yang sama, bermakna jika membunuh, maka hukumannya adalah dibunuh juga. Namun seperti yang dinyatakan awal tadi bahawa Islam menghargai nyawa, maka jika keluarga mangsa dibunuh sanggup memaafkan pelaku, maka mahkamah akan menjatuhkan hukuman diyyat iaitu bayaran wang darah sebagai ganti rugi kepada kematian mangsa. Dengan wang tersebut, maka keluarga mangsa akan dapat meneruskan kehidupan mereka selepas kehilangan anggota keluarga, lebih-lebih lagi jika mangsa adalah ketua keluarga yang menyara keluarga tersebut. Sila rujuk posting lepas mengenai diyyat berkenaan kadar yang ditetapkan.
Pandangan masyarakat bahawa undang-undang syariah adalah kejam sebenarnya tidak benar dan dikeluarkan akibat kejahilan mengenai moleknya undang-undang itu. Jika undang-undang sivil, pembunuh jika sabit kesalahan, maka pelaku akan dikenakan hukuman bunuh dan mahkamah tidak mempunyai pilihan untuk tidak melaksanakannya. Ini berbeza dengan undang-undang Islam yang menentukannya adalah keluarga si mati dan maka hanya melaksanakannya menurut keputusan si mati.
No comments:
Post a Comment