Oleh itu pilihan harus dibuat dengan meletakkan asas-asas pertimbangan yang disandarkan kepada agama, norma masyarkat, undang-undang dan keperluan. Dr Yusof Al Qardawi di dalam kitabnya Fiqh Alawlawiyat atau fiqh keutamaan mengariskan bahawa di dalam kehidupan manusia, pertimbangan harus diberikan dengan meletakkan sesuatu mengikut keutamaannya.
Dalam hal agama iaitu meletakkan yang wajib dahulu dan diikuti dengan yang sunat. Meninggalkan yang haram adalah keutamaan dan diikuti meninggalkan yang makruh.
Dalam soal kehidupan, dalam sumber yang terhad maka pertimbangan harus diberikan kepada penggunaan untuk keperluan asas. Sebagai contoh dalam keluarga, maka pendapatan harus digunakan untuk keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, perubatan dan sebagainya. Oleh itu jika ada keupayaan atau lebih maka bolehlah digunakan untuk kegunaan lain seperti membeli peralatan perkasasan rumah untuk menambahkan keselesaan.
Hatta, dalam soal agama apabila bertemu dua perkara yang besar, contoh antara membiayai keperluan keluarga dan memberi sedekah, maka perkara yang pertama itu harus diutamakan kerana ia adalah wajib bagi ketua keluarga memberi nafkah kepada ahli keluarganya.
Dalam membuat pilihan, maka godaan nafsu manusia sentiasa menjadi cabaran yang besar di dalam membuat keputusan. Di dalam membuat pertimbangan antara keperluan atau kemahuan (Need or Want), maka kawalan nafsu penting agar setiap keputusan adalah mengikut keperluan dan bukannya untuk tujuan lain seperti untuk bermegah-megah.
Begitu juga dalam hal-hal lain dalam memilih kawan, pasangan hidup, pekerjaan dan apa jua perkara, maka wajar dibuat penilaiaan atau wajaran sesuatu keputusan itu diambil kerana keputusan yang salah akan memberikan kesan di dalam kehidupan.
Ramai orang membuat pilihan yang salah dalam hal berbelanja yang akhirnya akan mewujudkan pembaziran dan lebih buruk lagi terjebah dalam krisis kewangan.
No comments:
Post a Comment