Sudah menjadi tradisi umat Islam di Malaysia akan mengadakan jamuan hari raya atau rumah terbuka yang bertujuan bagi meraikan jiran-jiran, sahabat handai dan rakan-rakan sekerja. Mengadakan rumah terbuka pada asasnya untuk kemudahan dari segi pengurusan kepada tuan rumah sama ada dari segi masa dan penyediaan juadah. Melalui penganjuran rumah terbuka tetamu akan di minta hadir dalam waktu yang ditetapkan dan menu khusus disediakan, maka mudah untuk tuan rumah memberikan layanan.
Namun dalam keghairahan mengadakan rumah terbuka, maka kita lupa bahawa kita menyambut Aidil Fitri sebagai tanda kesyukuran kita menjalani ibadat puasa di dalam bulan Ramadhan. Berpuasa bermatlamat untuk melahirkan insan yang bertakqwa. Ia juga sebagai manifestasi untuk memberikan keinsafan mengenai kesusahan insan-insan yang fakir dan miskin yang tidak mempunyai keupayaan ekonomi, hatta dalam menyediakan makanan kepada diri sendiri, mahupun keluarga serta melatih diri supaya sabar dan mendidik jiwa akan sentiasa merendah diri sama ada sesama manusia dan lebih-lebih lagi kepada Allah subhanawataala.
Akan tetapi kalau dilihat cara kita menyambut hari raya dan dengan skala rumah terbuka yang tak menang tangan untuk memenuhi jemputannya, maka ia telah lari daripada matlamat berpuasa, iaitu bertaqwa. Ini kerana ada yang berhabis-habisan untuk beraya dan mengadakan jamuan raya. Demi untuk mengadakan rumah terbuka, maka hiasan dan peralatan perabut kena ditukar ganti kerana ingin menunjukkan kepada tetamu kecantikan rumah mereka. Akan timbul soal menunjuk-nunjuk dan di pihak tetamu juga akan memberikan komen-komen yang manis dan tidak kurang juga yang tidak molek.
Terdapat juga yang menyambutnya dengan mencampurkan dengan perkara-perkara yang dilarang agama seperti diadakan nyanyi-nyanyian yang menampilkan penyanyi yang mendedahkan aurat, lirik-lirik yang tidak memenuhi syarak dan irama yang tidak membina jiwa.
Oleh itu dalam mengadakan rumah terbuka - asasnya adalah untuk meraikan kemenangan dalam menjalani tarbiyah Ramadhan. Jadi ia haruslah sesuai dengan matlamat puasa Ramadhan itu seperti menjamu tetamu. Keduanya untuk mengeratkan silaturahim antara keluarga, ahli masyarakat dan sahabat handai. Jadi jangan ada unsur-unsur yang boleh merenggangkan hubungan silaturrahim dan yang boleh mencalarkan taqwa.
No comments:
Post a Comment