Friday, February 02, 2007

Dasar Penswastaan - Tidak Semua Berjaya

Kebelakangan ini pelbagai masalah berkenaan dasar penswastaan telah ditimbulkan, di mana terdapat aktiviti atau projek yang diswasta tidak mencapai sasaran yang ditentukan oleh kerajaan. Akhirnya kerajaan dan rakyat terpaksa menanggung akibat kegagalan ini.

Apakah yang anda faham dengan dasar penswastaan?

Dasar penswastaan ialah suatu proses pemindahan kepentingan atau pelaburan atau hak milik kerajaan yang tertentu kepada pihak swasta. Ia dilancarkan di negara kita pada tahun 1983 oleh YAB Perdana menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammed.

Rasional yang mempengaruhi dasar penswastaan:

1. Mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran
2. Meningkatkan kecekapan mutu perkhidmatan atau barangan, kerana sektor swasta lebih mengutamakan keuntungan, ia lebih cenderung untuk meningkatkan produktiviti.
3. Memberikan pendapatan melalui dividen atau keuntungan daripada pelaburan yang dibuat dalam syarikat tersebut dan pendapatan kepada kerajaan melalui pembayaran cukai dan zakat.

Cara perlaksanan dasar penswastaan di negara kita dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai.

Cara-cara perlaksanaan dasar penswastaan di negara kita melalui:

Penswastaan secara sebahagian :
Melalui cara ini sebahagian sahaja hak milik kerajaan dipindahkan kepada sektor awam. Contoh : Sykt Airod Sdn Bhd.

Penswastaan secara terpilih :
Melalui cara ini hanya sebahagian sahaja daripada perkhidmatan yang terpilih diswastakan. Contohnya : Dermaga Kontena Pelabuhan Kelang

Penswastaan bercorak perniagaan :
Walaupun sebahagian besar hak milik kerajaan diswastakan, tetapi sebahagiannya masih dipegang oleh pihak kerajaan.

Penswastaan Secara kontrak :
Melalui cara ini penswastaan dibuat secara kontrak dan biasanya dalam tempoh tertentu. Ia melibatkan pengeluaran tender oleh pihak yang berkuasa. Contoh : Penswastaan kerja-kerja pembakaran sampah oleh DBKL.

Penswastaan Secara Pajakan :
Melalui cara ini hak milik tertentu akan dipajakkan kepada pihak swasta untuk diuruskan. Ia melibatkan pengeluaran tender oleh pihak yang berkuasa, misalnya kerajaan-kerajaan tempatan. Contoh : Penswastaan tempat meletak kereta.

Namun begitu penswastaan telah memberi masalah kepada rakyat. Ini kerana sebagai entiti swasta, motif utama mereka adalah untuk mendapatkan keuntungan yang maksimum. Oleh itu yuran atau caj bayaran yang dikenakan ke atas pengguna adalah lebih tinggi berbanding yang dikenakan oleh kerajaan. Sering kali alasan, bahawa untuk mendapatkan perkhidmatan yang cekap dan baik rakyat harus bersedia untuk membayar lebih. Namun sering berlaku kecekapan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kadang kala mempunyai kualiti dan mutu yang lebih rendah daripada yang ditawarkan oleh kerajaan dulu.

Contoh penswastaan yang gagal sama sekali adalah sistem transit aliran ringan (STAR), Putra and Intrakota (kini rapidKL) yang ketiga-tiganya diambil alih oleh kerajaan dan diletak di bawah syarikat prasarana negara. Kos yang dibelanjakan oleh kerajaan adalah untuk ambil alih lebih tinggi berbanding kalau kerajaan mengusahakannya dari awal lagi.

Begitu juga dengan Penerbangan Malaysia (MAS) yang diambil balik oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajuddin Ramli dengan harga yang sekali ganda daripada harga pasaran.
Kerajaan terpaksa membelanjakan RM11 billion untuk memngambilalih projek-projek swasta yang gagal.

Kemudian kita lihat pula dalam sektor lebuhraya di mana pihak swasta telah mengambilalih tugas untuk membina jalanraya atau lebuhraya daripada kerajaan. Bagi tujuan itu terdapat perjanjian yang pelik antara kerajaan dan pemegang konsesi di mana pemegang konsesi boleh menaikkan kadar tol mengikut jadual tertentu walaupun jumlah penggunaan melebihi sasaran dengan tingginya. Kalau ditahan kenaikan tol, maka kerajaan terpaksa bayar balik pampasan kepada pemegang konsesi. Dalam kes lebuhraya Seremban – Port Dickson, pihak kerajaan terpaksa membayar gantirugi kepada pemegang konsesi apabila ramai pengguna tidak mahu menggunakan lebuhraya tersebut. Akhirnya kerajaan telah ambilalih lebuhraya tersebut dan kemudian diserahkan kepada PLUS.

Dasar penswastaan memang ada kebaikan tetapi harus dibuat dalam bidang tertentu sahaja dan TIDAK dalam perkhidmatan ASAS kepada rakyat seperti pendidikan, perubatan, bekalan air, elektrik dan pengangkutan awam. Penswastaan projek terpilih mesti dikalangan perkhidmatan atau produk yang mempunyai pilihan (saingan) atau penganti agar rakyat dapat memilih bersesuaian dengan kemampuan mereka.

No comments: