Tuesday, August 14, 2012

Agihan: Pengurusan Zakat Kena Turun Padang

Masih terdapat ramai lagi insan yang kekurangan dalam aspek ekonomi yang terlepas daripada mendapat bantuan daripada pihak pengurusan zakat.

Antara sebabnya kerana golongan ini tidak mempunyai maklumat atau tidak tahu di mana atau agensi mana yang dapat membantu mereka. Ada sebahagiannya tidak berkemampuan untuk ke pejabat-pejabat zakat seperti orang tua, orang sakit dan cacat dan tidak kurang juga ada yang malu untuk meminta bantuan walaupun mereka layak menerimanya.

Persoalan di sini jika pihak pengurusan zakat boleh turun padang untuk meminta orang ramai yang layak untuk membayar zakat melalui program-program ceramah, membuka booth, kempen-kempen dan iklan-iklan, kenapa perkara yang sama juga tidak diadakan dalam mencari asnaf-asnaf yang layak untuk mendapat bantuan.

Pegawai-pegawai zakat harus selalu masuk ke kampung-kampung atau penempatan untuk bertemu dengan ketua-ketua komuniti seperti ketua kampung dan imam agar mendapat maklumat mengenai mereka yang layak untuk mendapatkan bantuan zakat. Jangan harap ketua-ketua komuniti sahaja untuk menyampaikan maklumat sebab mereka pun mempunyai tugas lain.

Pihak zakat juga boleh membuka kaunter untuk tujuan pendaftaran dan temubual dengan mereka yang mengaku miskin dan fakir agar mereka yang layak dapat diberikan bantuan sepatutnya secara berkala.

Orang susah jangan dipersulitkan dalam urusan, lebih-lebih lagi yang tidak berapa pandai menulis borang permohonan. Keadaan ini akan menjauhkan mereka dan akhirnya ada pihak lain yang memberikan bantuan tanpa menyusahkan orang miskin ini. Jika ini berlaku maka jangan salahkan pihak tersebut dan orang miskin ini kerana kita gagal untuk membantu mereka.

No comments: