Thursday, December 15, 2011

PEMURNIAAN DALAM IBADAT

Adalah menjadi tugas umat Islam untuk melaksanakan dan memastikan bahawa setiap amalan menepati kehendak syarak.

Dalam usaha untuk memastikan bahawa tiadanya unsur-unsur bi’daah dalam amalan umat Islam, maka kumpulan-kumpulan yang berbalah harus melakukankannya dengan memberikan ilmu dan penerangan kepada umat Islam berkenaan hujah-hujah mereka.

Penulis tidak akan menyentuh mengenai hujah-hujah atau nas-nas yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan tersebut kerana kedua-dua mempunyai hujah-hujah yang betul. Cuma penulis ingin menyentuh mengenai kaedah yang sepatutnya dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Kumpulan yang mengkritik bahawa terdapat amalan-amalan yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia adalah bi’daah kerana ia tidak pernah diamalkan oleh Nabi S.A.W., mereka wajib menerangkan kepada masyarakat bahawa antara amalan yang dilakukan bukan sesuatu yang wajib dan jika TIDAK MELAKUKANNYA pun tidak mengurangkan amalan fardu mereka. Adalah tidak wajar jika mereka secara terus menghukum bahawa amalan seperti berzikir selepas sembahyang, membaca tahlil arwah, membaca talkin dan membaca yassin di malam Jumaat dan sebagainya sebagai amalan karut dan tidak wajar diamalkan.

Kepada kumpulan yang mempertahankan amalan tersebut, mereka wajar mendidik dan memberikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat bahawa amalan-amalan yang tersebut bukanlah WAJIB dan ia adalah suatu amalan yang dibuat untuk menampung kekurangan dalam amalan wajib serta memberikan peluang dan kesempatan tambahan kepada umat Islam melakukan amal soleh. Berdasarkan pengalaman Alim Ulama Nusantara didapati bahawa kebanyakkan umat Islam di rantau ini perlu diaturkan aktiviti dalam amalan soleh mereka. Oleh itu, para alim ulama Nusantara menyelitkan wirid-wirid, tasbih, tahmid dan doa selepas waktu solat fardu serta selawat di antara solat terawih. Begitu juga dianjurkan bacaan Yassin di malam Jumaat. Menurut seorang Ustaz bahawa kalau nak harap individu muslim nak melakukannya secara sendiri-sendiri, memang tak terlaksanalah amalan itu. Ini adalah usaha murni alim ulama dahulu dalam menggalakkan umat Islam melakukan amal soleh.

Silapnya di sini kerana kebanyakan umat Islam melakukan amal soleh secara ikut-ikutan, maka mereka melakukannya tanpa mengetahui hukum dan kaifiat amalan tersebut. Mereka menyangka bahawa wirid, selawat nabi ketika solat terawih atau doa qunut sebagai sebahagian daripada solat atau yang tidak melaksanakan bacaan talkin serta membuat kenduri tahlil arwah adalah orang yang tak faham agama. Sesiapa yang tidak melakukannya dilabelkan sebagai sesat dan membawa ajaran baru.

Oleh itu ILMU adalah penting dalam melakukan amal soleh. Kita kena tahu setiap hukum dalam setiap amalan iaitu antara yang wajib, sunat, haram, harus dan makruh. Kita juga harus tahu membezakan antara amalan khusus dan sampingan. Juga wajib tahun antara rukun (wajib dilakukan untuk pastikan sah amalan tersebut) dan perkara-perkara sunat.

Melalui ilmu, maka setiap umat Islam akan faham dalam beramal dan tidak akan terpesong daripada landasan syarak dan tidak akan melebalkan umat Islam yang lain yang tidak melakukan sesuatu amalan yang bukan wajib sebagai sesat dan jahil.

No comments: