Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik didapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, Sektor Perkhidmatan Awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.
Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam Al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Baqarah ayat 188 :
"Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)" .
Manakala sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh At-Tabrani:
“Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka".
Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pada tahun 2009 sebanyak 500 tangkapan telah dibuat. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah mereka yang melakukan rasuah sama ada pemberi dan penerima rasuah atau bersyubhat adalah dianggap sebagai perompak harta rakyat.
Berdasarkan pemerhatian kita, besar pangkat seseorang, maka besarlah peluang untuk merompak harta rakyat dan semakin pintar pula untuk melepaskan diri dari disabitkan dengan jenayah rasuah. Jika keadaan amalan Jenayah Rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara.
Persoalan yang sering timbul ialah mengapa amalan najis rasuah ini kerap berlaku?. Pemberi atau penerima rasuah boleh melambatkan atau boleh mengganggu urus tadbir sesebuah organisasi dan menafikan hak yang berhak.
Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau bersifat tamak haloba, mengamalkan cara hidup mewah, ingin cepat kaya dan terikut-ikut dengan gaya rakan sekerja.
Perbuatan rasuah meningkatkan penganiayaan dan pencabulan terhadap Hak Asasi Manusia sehingga seseorang boleh diaibkan dipenjara dan diseksa, kerana hasil amalan rasuah individu tertentu atau kumpulan tertentu. Firman Allah dalam surah Al-Buruj ayat 10:
"Sesungguhnya orang yang mendatangkan bahaya (seksa, bunuh dan
sebagainya) kepada orang lelaki dan wanita yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar".
Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan jenayah kezaliman akan berleluasa dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat-lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan dhaif yang lain, yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.
Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan ibadah-ibadah kita yang lain. Alangkah ruginya kita, disebabkan perbuatan rasuah ibadah dan doa kita menjadi sia-sia, justeru, akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata’ala. Lebih membimbangkan lagi apabila kita tidak segera membanteras gejala rasuah, nescaya negara kita akan terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana akibah kemurkaan Allah. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 112:
"Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika
mereka berpegang kepada "tali" daripada Allah (Agama Allah) dan "tali" daripada manusia (berpegang janji dengan manusia); dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur kepada ayat-ayat Allah dan mereka membunuh nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka
derhaka dan mereka sentiasa melampaui batas".
Pengamal rasuah sama ada pemberi atau penerima adalah pengkhianat
agama dan negara. Kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi dan dapat membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Sesungguhnya telah banyak usaha-usaha penambah-baikan system penyampaian telah dilaksanakan di negara ini. Seperti membuat dan memperbaharui pasport, lesen memandu, pembayaran cukai tanah dan pelbagai kemudahan menggunakan perkhidmatan atas talian (Online). OIeh itu, mimbar pada kali ini menyeru semua pihak sama-sama berusaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan Sistem Penyampaian dalam perkhidmatan.
Kesimpulannya:-
1- Pemberi dan penerima rasuah adalah mengkhianati Allah dan Rasul
dan akan dibalas dengan azab yang pedih di akhirat.
2- Pemberi dan penerima rasuah adalah pengkhianat rakyat dan negara.
3- Meruntuhkan Sistem Perkhidmatan, Integriti Perkhidmatan Awam dan
Kehakiman Negara.
Perlu diingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:-
1- Menjamin kesinambungan nasab dan keturunannya kekal dalam
keadaan insan yang beriman dan berintegriti;
2- Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan.
3- Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani
memerangi rasuah dan
4- Membuktikan bahawa amalan ibadat-ibadat khusus seperti solat, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.
Marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab menghapuskan rasuah. Semoga dengan itu iman kita terus bertambah dan dapat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan serta menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
No comments:
Post a Comment