Thursday, March 11, 2010

APA PENGAJARAN DARIPADA SAMBUATAN MAULIDUR RASUL

Saban tahun kita menyambut maulidur Rasul, tetapi tahap "kualiti" umat Islam di Malaysia makin merosot tanpa mengira golongan yang tua atau yang muda. Jawapannya kerana kita tidak amalkan sunnah Rasulullah. Apakah kita yang bermati-matian (hingga ketahap bersengketa) hendakkan sambutan maulidur Rasul itu, tetapi diadakan sekadar untuk bersuka-suka atau kerana ia tradisi dalam masyarakat atau sudah menjadi seperti adat yang perlu dipertahankan, namum dalam masa yang sama sunnah-sunnah dan segala amalan Rasulullah kita tidak pernah ambil tahu dan tidak pernah untuk cuba mengamalkannya.

Maulidur Rasul tahun 2010 baru sahaja disambut kira-kira dua minggu yang lepas. Pelbagai program dan acara dianjurkan sama ada diperingkat masjid dan surau, komuniti kawasan kediaman, peringkat daerah, negeri dan negara hatta pejabat kerajaan dan swasta serta sekolahpun turut menganjurkan.

Walaupun sambutan ini tidak menjadi satu syariat dan hanya dianjurkan oleh masyarakat yang terkemudian tetapi memandangkan adanya faedah untuk membangunkan masyarakat Islam para ulama bersetuju untuk menyambutnya.

Namun seperti biasa selepas sambutan, keadaan kembali seperti biasa (back to the square). Masjid dan surau hanya dikunjungi oleh muka yang sama, waktu maghrib masih di pasar-pasar malam, pakaian masih tak menepati syarak, akhlak terus merudum dan banyak perkara negatif makin bertambah buruk.

Saya rasa adalah lebih wajar sempena Sambutan Maulidur Rasul diadakan iklan besar (billboard) menyenaraikan setiap sunnah Rasulullah yang wajar diamalkan oleh umat Islam. Contohnya - dalam soal berpakaian, cara makan, berada dalam masyarakat (bergaul, memberi salam), melakukan solat berjemaah. Semuanya mudah dan merupakan amalan harian kita yang sepatutnya kita terapkan sunnah tersebut di dalamnya.

No comments: