Penulis tertarik dengan pandangan yang diberikan oleh Mufti Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengenai prosedur untuk menangkap pesalah jenayah syariah khususnya berkaitan khalwat dan zina.
Secara kiasnya prosedur untuk undang-undang sivil juga harus mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Mufti tersebut kerana peraturan yang dibawa oleh Islam adalah meliputi semua peraturan hidup manusia.
Semua garispanduan yang dinyatakan oleh Mufti Kerajan Negeri Perlis itu harus diaplikasikan dalam prosedur penahan, soal siasat, pendakwaan dan perbicaraan yang dijalankan oleh semua agensi penguatkuasa di Malaysia agar tidak timbul soal salah tahan, salah pendakwaan, dan lebih penting lagi soal maruah mereka yang ditahan tersebut.
Oleh itu sejajar dengan saranan di atas maka, pihak penguatkuasa agensi Kerajaan harus menghentikan segala bentuk intipan, penyamaran, memasang perangkap sama ada untuk kes jenayah ataupun di jalanraya kerana ia menyalahi prinsip yang telah dijelaskan oleh garispanduan tersebut. Oleh jika ingin menahan pesalah jalanraya, maka kehadiran anggota polis harus dapat dilihat dengan jelas, bukannya menyorok disebalik semak ataupun tiang-tiang jambatan dan jika terdapat pemasangan kamera, maka orang ramai harus diberitahu bahawa kamera dipasang di kawasan berkenaan dan pemandu yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang.
Begitu juga dalam kes jenayah tangkapan hanya dibuat setelah dipastikan bahawa hanya mereka yang benar-benar diyakini telah melakukan kesalahan tersebut ditahan. Adalah berdosa jika tangkapan dibuat secara tangkap muat dan kemudian mengenakan tekanan, deraan dan janji bagi mendapatkan maklumat.
Segala bentuk proses yang diamalkan sekarang adalah peninggalan puak jahiliah yang diadaptasi dalam sistem penguatkuasaan undang-undang kita.
Banyak kes telah berlaku di mana suspek yang ditahan kemudiannya dilepaskan kerana tidak ada bukti untuk mengaitkan mereka dengan kejadian jenayah atau salahlaku. Walaupun dibebaskan namun maruah mereka telah tercemar, hak kebebasan diri mereka telah dinafikan selama tempoh ditahan reman, malah mungkin akan kehilangan pekerjaan apabila gagal hadir bertugas dan dikatakan telah mencemarkan nama majikan apabila ditahan oleh pihak berkuasa. Selain itu tempias juga dirasai oleh ahli keluarga mereka khasnya anak-anak yang mungkin mengalami ejekan kawan-kawan bahawa bapa mereka adalah penjenayah atau orang jahat.
Dalam soal memelihara maruah pihak berkuasa juga harus patuh kepada garispanduan tersebut dengan tidak melibatkan pihak media dalam operasi mereka. Lebih-lebih lagi dalam soal pesalah trafik di mana adalah tidak wajar pesalah trafik ditahan diwaktu malam dan dibawa jurgambar untuk mengambil gambar pesalah tersebut. Ini sejajar dengan garispanduan tersebut bahawa maruah individu tersebut harus dijaga dan setiap tindakan itu bukan untuk menghukum dan menjatuhkan maruah.
Artikel ini ditulis adalah berasaskan semangat garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dan memandangkan ia adalah merupakan garispanduan dalam agama Islam dan Islam itu adalah cara hidup maka adalah wajar garispanduan tersebut turut diaplikasikan dalam semua agensi penguatkuasa Kerajaan.
No comments:
Post a Comment