Kalau dulu di zaman tak ada IT, maka gejala surat berantai menjadi satu masalah dalam masyarakat Islam. Kini sebagai menurut peredaran zaman, para pencinta surat berantai juga turut maju seiring dengan peredaran zaman dengan menghantar surat-surat berantai melalui email dan sms pula.
Jabatan Kemajuan Islam sendiri telah menyatakan adalah haram kita mempercayai email ataupun sms yang tersebut.
Kalau dibaca isi kandungan email dan sms berantai ini, ia memang menceritakan sebahagian fakta yang diceritakan oleh ulama berkenaan umat Islam akhir zaman yang mengalami krisis keruntuhan akhlak dan semakin jauh orang Islam tersasar daripada mengamalkan Islam.
Fenomena hari ini yang diceritakan oleh Ulama adalah antara lainnya yang tidak dijelaskan oleh email berantai tersebut seperti Artis lebih dihormati berbanding ulama, Ibu menjadi orang gaji kepada anak, Orang yang jahil agama menjadi pemimpin dsbnya. Islam amat menuntut umatnya setiap masa bermuhasabah diri dan bertaubat menyesali setiap keburukan yang dilakukan dan melakukan banyak amal soleh kerana sebagai manusia kita tidak tahu bila ajal kita, mungkin tidak sampai hari qiamat.
Sebenarnya adalah sangat dituntut untuk kita menyebarkan ilmu pengetahuan, namun bukan kerana takut terjadinya keburukan atau untuk mendapat hajat tertentu, maka email atau sms tersebut dipanjangkan atau disebarkan kepada orang lain. Mungkin apa yang dipaparkan mengenai malapetaka dan kebaikan yang berlaku kepada mereka yang disebutkan dalam email atau sms itu betul-betul berlaku, tetapi harus diingat ia nya adalah secara kebetulan. Tidak ada nas yang menyebut bahawa akan berlaku sesuatu malapetaka oleh kerana sesuatu benda atau makluk. Persoalannya lagi kenapa perlu dinyatakan jumlah orang yang harus disebarkan? Ini adalah dakyah musuh Islam untuk menyesatkan umat Islam. Kita harus sedar bahawa sebagai orang Islam setiap apa yang kita lakukan adalah kerana Allah Taala. Pasti terdetik di dalam hati kita takut musibah akan berlaku kalau tidak menyebarkan email atay sms ini. Inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh pembuat email atau sms berantai ini. Lalu secara tidak langsung kita mengakui bahawa email atau sms ini akan memberikan kesan buruk jika tidak menyebarkannya dan boleh memberikan kebaikan kalau kita menuruti arahan penulis email itu.
Sempena dengan Ramadhan yang mubarak ini, maka kita hentikanlah perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah, kerana dengan mengambil bahagian dalam aktiviti ini kita secara tidak sedar telah mengakui ada kuasa lain selain daripada Allah di dalam mentadbir alam ini.
Ini adalah penyakit sepanjang zaman. kalau dilihat tarikh email tersebut (yang saya terima tadi), ia dah disebarkan pada September 2001 lagi, mungkin saudara/i dah terima email ni sebelum ini. Ia akan terus berada di dalam kitaran sahabat-sahabat kita jika kita tidak menghentikannya.
Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah, yang kurang itu adalah kelemahan diri saya sendiri.
Wallahu Akhlam .
No comments:
Post a Comment