Tuesday, January 19, 2016

BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH

Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah

Sebagaimana Mahkamah Sivil, bidang kuasa jenayah bagi Mahkamah Syariah adalah "dikurniakan" oleh Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa Mahkamah Syariah telahpun ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984).

Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.

Semua kesalahan dan hukuman yang disebutkan ini adalah termasuk di dalam konsep takzir yang ditentukan oleh Islam dalam konteks kes-kes jenayah. Dalam konteks Mahkamah Syariah di Malaysia,kesalahan-kesalahan jenayah syariah ini boleh dilihat peruntukannya di dalam tiga tempat:

1)Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Negeri-negeri,
2)Kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen/Ordinan/Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri,
3) Kesalahan-kesalahan di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah yang secara khususnya memberikan peruntukan berkaitan dengan jenayah berkenaan. Kesalahan-kesalahan yang berada di tempat yang ketiga ini juga turut melibatkan kesalahan jenayah syariah matrimoni seperti poligami tanpa izin mahkamah dan perceraian dilakukan di luar mahkamah.

 Sehubungan dengan ini, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor telah membentuk beberapa kategori jenayah yang tertentu, iaitu:
1) Kesalahan berkaitan akidah seperti menyebarkan doktrin palsu dan takfir.
2) Berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina perkara-perkara yang berkait dengan agama, pihak berkuasa agama, fatwa, ingkar perintah mahkamah, berjudi, minum arak dan minuman yang memabukkan, tidak menghormati bulan Ramadan, tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak membayar zakat atau fitrah.
3) Berhubung dengan kesusilaan seperti sumbang mahram, pelacuran, hubungan jenis, khalwat, lelaki berlagak seperti pondan dan perlakuan tidak sopan di khalayak awam.
4) Kesalahan pelbagai seperti membawa lari wanita yang sudah bersuami, menghalang pasangan yang telah bernikah daripada menjalani kehidupan sebagai suami isteri, menghasut suami isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajipan, menjual atau memberi anak kepada bukan Islam, qazaf (menuduh zina), mengutip zakat tanpa kebenaran dan menyalahgunakan tanda halal.

Bidang kuasa Mal

Istilah 'mal' sebenarnya merujuk kepada harta tetapi dalam konteks perundangan, ia merujuk kepada kes-kes bukan jenayah. Bidang kuasa mal bagi Mahkamah Syariah terpakai kepada semua orang Islam yang tinggal pemastautin negeri-negeri.

Dan sebenarnya, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mal yang hampir menyeluruh dan merangkumi banyak aspek kekeluargaan Islam:
 1) Berkaitan dengan isu-isu sebelum perkahwinan.

2) Berkaitan dengan persoalan semasa perkahwinan. Seperti permohonan mengesahkan perkahwinan, permohonan membatalkan perkahwinan yang tidak sah, permohonan nafkah diri, nafkah anak, mensabitkan isteri nusyuz, permohonan isteri supaya suami hidup bersama semula dan sebagainya.

3) Berkaitan dengan persoalan pembubaran perkahwinan. Permohonan cerai khuluï, liï'an, fasakh, talak, taï'liq, perceraian dengan perintah, kerana murtad dan juga secara anggapan mati.

4) Sebarang permohonan di dalam sesuatu kes sedang berjalan (interlocutory order). Contohnya, permohonan sementara nafkah sama ada diri dan anak, hadanah, perintah larangan terhadap harta dan gangguan. Bagi perkara ini, bukanlah sesuatu yang luar biasa satu-satu kes perbicaraan mengambil masa yang lama, kerana terlalu banyak isu yang perlu diselesaikan. Dalam sepanjang tempoh berkenaan, banyak perkara yang timbul yang perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah. Sekiranya tidak diselesaikan, akan menyebabkan ketidakadilan dan aniaya kepada pihak-pihak yang terlibat.
Oleh yang demikian, undang-undang memberikan ruang supaya pihak-pihak yang terlibat ketika menanti keputusan yang jelas dari pihak mahkamah dibenarkan untuk membuat permohonan sementara, sementara perbicaraan dijalankan. Umpamanya, adalah sangat wajar bagi seorang wanita memohon larangan (injunksi) terhadap bekas suaminya untuk tidak mengganggunya. Begitu juga memohon perintah larangan agar harta yang dimiliki secara bersama tidak dibenarkan untuk dilibatkan dalam sebarang urusan.

5) Isu-isu yang berbangkit selepas perceraian. Perkara-perkara ini boleh dirujuk di mahkamah yang ada bidang kuasanya, iaitu selepas perceraian berlaku. Umpamanya, sagu hati (mutaah) selepas perceraian, harta sepencarian, nafkah iddah, nafkah anak, nafkah tertunggak dan juga soal hadanah (penjagaan anak).

6) Permohonan-permohonan mengenai wasiat, wakaf dan harta pusaka. 7) Permohonan penguatkuasaan perintah mahkamah. Ini berlaku apabila keputusan yang dikeluarkan tidak diikuti oleh pihak yang kena tanggungan. Maka, pihak-pihak yang satu lagi boleh menuntut supaya perintah-perintah yang dikeluarkan itu dikuatkuasakan oleh pihak mahkamah.

 Sumber maklumat: http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7185-bidang-kuasa-mahkamah-syariah-di-malaysia-satu-pengenalan-ringkas

No comments: