Mungkin ramai para pembaca mengalami pengalaman yang sama dengan saya yang sering menerima panggilan para promoter daripada pelbagai agensi dan institusi untuk mempromosikan pelbagai produk dan perkhidmatan sama ada kad kerdit, pinjaman peribadi sehinggalah kad keahlian program percutian.
Apa yang memusykilkan saya dari manakah mereka mendapatkan nama dan nombor telefon bimbit dan telefon pejabat saya. Panggilan tersebut dibuat oleh wakil daripada bank-bank tempatan, hotel-hotel bertaraf lima bintang dan juga agensi pelancongan. Apabila ditanyakan dari manakah mereka mendapat nombor tersebut, pemanggil tersebut berkata mereka dibekalkan senarai nama dan nombor telefon oleh majikan.
Ini menunjukkan bahawa maklumat yang kita berikan kepada sesetengah pihak seperti mendaftar diri di hotel, melanggan perkhidmatan telefon atau lain-lain perkhidmatan telah dibocorkan kepada pihak lain oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ia berlaku secara berleluasa. Selain curiga jika maklumat tersebut disalahgunakan ia juga menggangu kehidupan apabila terpaksa melayan panggilan-panggilan tersebut yang kadang-kala dua kali sehari tanpa mengira waktu.
Oleh itu saya berharap pihak yang berkenaan dapat melakukan sesuatu kerana saya percaya perkara ini terjadi kerana terdapat sendikit yang membekalkan maklumat orang ramai yang diperolehi daripada pelbagai sumber yang seharusnya menjadi rahsia antara individu tersebut dengan pihak yang menyimpan maklumatnya.
No comments:
Post a Comment