"Tak matipun kalau tak makan nasi". Itulah kata-kata yang diucapkan oleh seorang rakan pejabat penulis yang dalam proses untuk menguruskan badan melalui kawalan makanan disamping pengambilan ubat-ubatan atas nasihat doktor.
Lebihan berat badan atau kegemukan (obesity) adalah merupakan masalah dalam kebanyakan masyarakat. Seseorang itu dikategorikan sebagai gemuk apabila BMI (body mass index) nya lebih iaitu beratnya tidak bersesuian dengan ketinggiannya.
Kegemukan berpunca sama ada akibat diet yang tidak sesuai, keturunan ataupun penyakit.
Ramai antara kita yang mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sesuai dengan aktiviti harian kita.
Ramai, khususnya orang Melayu yang masih mengekalkan diet tradisi yang diamalkan oleh orang tua dahulu. Perlu diingatkan bahawa kebanyakan orang dahulu mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat yang tinggi seperti nasi lemak kerana mereka memerlukan tenaga yang banyak untuk bekerja di ladang, sawah dan kebun. Oleh itu sejajar dengan perubahan dalam profesyen di kalangan ahli masyarakat, maka seharusnya diikuti dalam perubahan diet dalam masyarakat.
Kenaikan dalam berat badan selalunya relatif dengan kenaikan dalam umur seseorang. Bagi wanita selalunya berat dan saiz badan akan bertambah apabila sudah melahirkan anak. Perkara ini terjadi kerana berlaku perubahan dalam kadar hormon dalam badan wanita semasa hamil dan selepas bersalin serta masa yang semakin terhad untuk melakukan aktiviti senaman apabila sudah bekeluarga.
Sebenarnya gemuk atau kurus bukan penanda aras kepada tahap kesihatan seseorang. Ada yang gemuk berpenyakit tak kurang juga yang gemuk tetapi segar bugar dan sihat walafiat. Begitupun ada juga yang kurus dan slim tetapi berpenyakit.
Kepada mereka yang teringin untuk menguruskan badan perlu diingat bahawa tidak ada jalan pintas bagi mencapai hasrat tersebut. Jangan terpedaya dengan pil-pil atau jamu kurus serta ubat-ubatan (krim) sapu ajaib yang boleh membakar lemak dalam tempoh yang singkat. Pastikan anda mendapat nasihat doktor sebelum menjalani proses menurun berat dan menguruskan badan.
Sebenarnya kecantikan seseorang bukan sekadar pada saiz fizikalnya tetapi juga diukur pada tahap kesihatannya. Ada orang suka kepada orang yang bersaiz besar dan tetapi ramai yang suka kepada yang kecil molek. Apapun saiz anda pastikan anda sihat ..
No comments:
Post a Comment