Thursday, February 22, 2007

Mulut Oh Mulut

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Begitulah bidalan dalam masyarakat Melayu dalam mengambarkan peri pentingnya dijaga mulut atau pertuturan kerana padahnya amat besar dan mendalam. Sebenarnya mulut adalah satu anggota badan yang amat penting. Selain untuk tujuan makan, mulut juga adalah alat untuk berkomunikasi sama ada melalui tutur kata atau melalui isyarat. Selain dua bidalan di atas terlalu banyak bidalan lain yang mengambarkan bagaimana mulut digunakan oleh orang ramai.

Antaranya:-
Banyak mulut – orang yang kuat bercakap
Mulut tempayan – individu yang tidak boleh menyimpan rahsia
Bawa mulut – individu yang suka bercerita perihal orang lain
Mulut busuk – suka mengata
Mulut murai – individu yang bercakap tanpa henti
Mulut besar – kuat makan
Mulut manis – bertutur dengan sopan, ramah dan mesra

Lanjutan daripada beberapa kejadian semasa di dalam masyarkat di mana terdapat individu-individu tertentu yang menuturkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut mereka, maka Kerajaan Negeri Perlis akan menganjurkan seminar mengenai "mulut" yang bermatlamat untuk mewujudkan garis panduan bagi masyarakat mengenai penggunaan bahasa dalam pertuturan yang akan diadakan pada 1 Mac 2007.

Sebagai contoh, Menteri Besar Datuk Ser Shahidan Kassim merujuk perbuatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang dilaporkan mengeluarkan perkataan bodoh dan "rubbish" (mengarut) ketika membuat pengumuman menarik balik peraduan Jom Tukar dan Menang yang menawarkan hadiah utama kereta Perodua MyVi bernilai RM50,000 kepada pemenang bertuah yang menukar kad pengenalan lama kepada MyKad.

Beliau juga menyentuk mengenai Datuk Seri Dr Rais Yatim (Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) yang melebalkan Mat Rempit dengan perkataan penyangak dan dajal.

Memetik contoh lain, Shahidan berkata tindakan artis muda yang memenangi award pelakon wanita terbaik melalui filem Sepet iaitu Sharifah Amani mengucapkan perkataan "I look stupid if I speak Malay" (Saya kelihatan bodoh jika saya bercakap dalam bahasa Melayu), juga menimbulkan kemarahan banyak pihak.



No comments: