Sambungan daripada bahagian 2.
Ta’azir
Ta’zir adalah hukuman yang tertakluk kepada budi bicara
pemerintah, badan perundangan atau hakim kerana hukuman bagi kesalahan ini tidak
disebut di dalam al-Quran atau Sunnah. Skop kesalahan ta’zir adalah luas kerana
semua bentuk kesalahan yang tidak tertakluk kepada hukuman qisas dan hukuman
hudud adalah tertakluk kepada hukuman ta’zir. Bentuk hukuman
adalah berbagai-bagai dan tertakluk kepada budi bicara pemerintah, badan
perundangan atau hakim.
Ta’zir terbahagi kepada dua
iaitu:
- Kesalahan yang termasuk dalam kategori kesalahan hudud tetapi hukuman hudud tidak dapat dilaksanakan kerana ia tidak memenuhi syarat pelaksanaannya. Syeikul Islam Ibnu Taimiyyah menyebut: Maksiat-maksiat yang tidak dikenakan hukuman had yang tertentu dan tidak pula dikenakan kifarat adalah termasuk dalam ta’zir seperti orang yang mencium lelaki atau wanita ajnabi, bercumbu-cumbuan, atau mencuri barang yang tidak diletakkan di tempat yang wajar, atau barang yang dicuri tidak cukup nisab.
- Kesalahan yang selain dari kategori kesalahan hudud dan qisas. Ia meliputi semua bentuk kesalahan samada kesalahan itu disebut dalam al-Quran dan Hadith atau tidak. Ia juga mencakupi kesalahan terhadap hak Allah, terhadap hak manusia atau hak kedua-duanya.
Sebahagian dari kesalahan ta’zir
disebut dalam al-Quran dan Sunnah, tetapi hukumannya tidak dinyatakan. Al-Quran
ada menyebut beberapa kesalahan tanpa menyebut hukumannya. Contohnya kesalahan
memakan makanan haram seperti bangkai, darah, daging babi dan daging yang tidak
disembelih secara sah[1], tidak
menunaikan amanah atau melanggar kontrak serta tidak menjatuhkan hukuman dengan
adil[2],
mengkhianati harta anak yatim[3],
menipu dalam sukatan atau timbangan[4],
mengenakan dan memakan riba[5],
menyembunyikan keterangan atau bukti[6],
membuat fitnah, menghina atau memburukkan nama seseorang[7],
melakukan rasuah[8],
berjudi dan menilik nasib[9] dan
banyak lagi.
Sementara hukuman ta’zir bagi
kesalahan yang tidak terdapat dalam al-Quran atau Sunnah adalah lebih luas
kerana semua bentuk pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan untuk
maslahah umum boleh dihukum secara taazir. Perkembangan hidup manusia yang
semakin kompleks menuntut agar pemerintah Islam sentiasa peka dengan keperluan
undang-undang untuk menjamin keharmonian dan kebahagiaan rakyat. Semua
kesalahan seperti yang melibatkan kesalahan lalu lintas, jenayah siber, jenayah
bio-teknologi, jenayah perdagangan, kesalahan yang melibatkan tempat awam,
kesalahan yang melibatkan alam sekitar dan hidupan liar dan banyak lagi adalah
termasuk di dalam kesalahan ta’zir.
Jenis-jenis hukuman ta’zir
adalah tidak terhad kerana ia bergantung kepada maslahah, bahkan pemerintah,
badan perundangan atau hakim boleh mengenakan apa sahaja hukum dengan syarat ia
setimpal dengan kesalahan dan menepati maslahah umum. Dalam sejarah Islam
terdapat beberapa hukuman yang pelik yang dilakukan oleh pemerintah dan hakim.
Contohnya Sayyidina Umar pernah menghitamkan muka orang yang membuat kesaksian
palsu dan orang itu dinaikkan atas binatang tunggangan secara tebalik. Walau bagaimanapun, hukuman yang
biasa dijatuhi adalah seperti berikut:
- Mencela iaitu kepada orang yang melakukan tindakan yang tidak sopan. Abu Zar pernah mengaibkan seseorang, lantas Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya engkau ini masih ada pada mu (saki-baki) Jahiliyyah”.[10]
- Membuat pengisytiharan kepada orang ramai
- Mengasingkan pesalah dari masyarakat seperti hukuman Rasulullah ke atas Kaab bin Malik, Murarah bin al-Rabi’ dan Hilal bin Umayyah al-Wafiqi yang tidak menyertai peperangan Tabuk.
- Amaran atau ancaman
- Tahanan atau penjara
- Pukulan dengan rotan
- Merampas harta benda
- Denda dengan wang atau harta
- Buang negeri
- Pemusnahan barang-barang
- Hukuman mati
- Hukuman bakar
- Memecat jawatan
Perbezaan
dengan undang-undang jenayah sivil
Undang-undang jenayah Islam mempunyai kelebihan tersendiri
berbanding undang-undang jenayah sivil yang kebanyakannya datang dari negara
Barat. Di Malaysia umpamanya undang-undang jenayah kebanyakannya diperuntukkan
di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang diceduk dari Kanun Keseksaan India.
Kanun Keseksaan India ini adalah sebenarnya berasal dari kaedah-kaedah
perundangan Common Law England yang dikumpulkan dan ditulis dalam bentuk akta
atau Kanun. Selain Kanun Keseksaan, undang-undang jenayah juga terdapat dalam
akta-akta tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya, Akta Kastam 1967, Akta
Pencegahan Rasuah 1997, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1957, Akta Rahsia Rasmi
1983 dan lain-lain. Sementara prosedur jenayah pula diperuntukkan dalam Kanun
Prosedur Jenayah (NMB. Bab 6), Akta Keterangan dan akta-akta berkaitan
mahkamah.
Oleh kerana sumber kedua-dua undang-undang ini adalah
berbeza maka terdapat beberapa perbezaan di antara undang-undang jenayah Islam
dan undang-undang jenayah sivil. Antara perbezaan di antara
undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil adalah:
- Undang-undang Islam adalah dari Allah sedangkan undang-undang sivil adalah ciptaan manusia. Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan tentunya membuat undang-undang yang terbaik dan paling sesuai untuk manusia. Bahkan manusia ini adalah ciptaan Allah, maka Allah tentu Maha Mengetahui apakah undang-undang jenayah yang sesuai dengan fitrah manusia. Undang-undang ciptaan manusia terdedah dengan seribu satu kelemahan kerana ilmu dan kebolehan manusia adalah terhad. Tambahan pula manusia sentiasa terpengaruh dengan keadaan persekitaran, latar belakang keluarga, pendidikan, dorongan nafsu dan hasutan syaitan. Kerana itulah undang-undang manusia sentasa berubah umpamanya dahulu homoseksual dianggap sebagai satu jenayah, tetapi hari ini ia tidak lagi dianggap satu kesalahan, bahkan ia diangkat sebagai satu amalan yang sah melalui perkahwinan seperti yang diamalkan di negara-negara tertentu.
- Undang-undang jenayah Islam tidak terpisah dengan aspek aqidah iaitu keimanan kepada perkara ghaib. Beriman dengan kebenaran dan kehebatan undang-undang jenayah Islam adalah wajib kerana ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah. Demikian juga undang-undang Islam tidak memisahkan soal pembalasan di dunia dengan pembalasan di akhirat. Unsur kepatuhan kepada Allah, konsep pembalasan di akhirat, serta konsep dosa dan pahala mendorong rakyat menjauhi jenayah. Ini kerana mereka bukan sahaja takut kepada hukuman di dunia bahkan mereka lebih takut hukuman di akhirat yang lebih dahsyat dan lebih lama. Oleh yang demikian mereka akan mengelakkan diri dari melakukan jenayah dengan bersungguh-sungguh walau pun jenayah itu boleh dilakukan di luar pengetahuan penguatkuasa undang-undang. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kadar jenayah. Begitu juga bagi yang terlanjur melakukan jenayah, mereka akan lebih bersedia untuk tampil menyerahkan diri mereka untuk dihukum dengan undang-undang Islam demi untuk mengelakkan hukuman di akhirat. Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah, dan Khulafa’ al-Rasyidin. Berbeza dengan undang-undang sivil yang langsung tidak ada hubungan dengan iman atau aqidah. Keberkesanan undang-undang sivi bergantung sepenuhnya kepada kekerasan undang-undang, penguatkuasaan dan pengawalan pemerintah.
- Ruang lingkup jenayah atau kesalahan dalam Islam adalah lebih luas iaitu mencakupi kesalahan yang bersabit hak Allah, hak manusia serta hak Allah bersama-sama hak manusia. Ini bermakna ia meliputi berbagai bentuk kesalahan seperti yang berkaitan dengan kepercayaan atau keimanan, umpamanya hukuman ke atas mereka yang murtad. Undang-undang Islam juga menyentuh hukuman ke atas kesalahan berkaitan ibadat seperti mereka yang meninggalkan solat, solat Jumaat, puasa pada bulan Ramadhan dan haji. Undang-undang jenayah Islam juga amat menitik beratkan soal akhlak seperti hukuman kepada mereka yang berzina, berkhalwat, berjudi dan minum arak. Berbeza dengan hukuman jenayah sivil yang tidak menganggap sesetengah jenayah seperti murtad, zina, meninggalkan solat, minum arak dan judi sebagai satu jenayah. Ini kerana soal unsur-unsur iman, ibadat dan akhlak tidak menjadi perkiraan yang penting bagi penggubal undang-undang ini.
- Undang-undang jenayah Islam mengutamakan aspek pencegahan melalui kaedah yang unik dan amat menarik. Contohnya hukuman yang terdapat di dalam undang-undang Islam seperti sebat dan rejam bagi penzina dilihat sebagai berat dan menggerunkan oleh sesetengah pihak. Ini menjadikan rakyat takut untuk melakukan jenayah zina. Sedangkan pensabitannya adalah sukar kerana syarat-syarat untuk mensabitkan hukuman adalah amat ketat. Umpamanya ia memerlukan empat saksi leleki yang tidak fasik yang melihat secara jelas apa yang berlaku. Ini menjadikan jumlah sebenar yang dikenakan hukuman yang dianggap berat ini adalah sedikit. Jika zina tidak dapat dibuktikan, mereka mungkin dikenakan hukuman ta’zir yang lebih ringan. Bahkah pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa al-Rasyidin, hukuman hudud seperti zina kebanyakannya disabitkan melalui iqrar atau pengakuan bukan melalui empat orang saksi kesaksian. Begitu juga dalam Islam terdapat hukum yang berbentuk pencegahan umpamanya pengharaman berdua-duaan bagi lelaki dan wanita ajnabi bertujuan untuk mengelakkan zina, pengharaman arak untuk mengelakkan jenayah yang lebih besar seperti membunuh dan lain-lain. Konsep pencegahan begini tidak diambil berat oleh undang-undang jenayah sivil, kerana ia lebih menumpukan kepada kepada aspek menghukum dan membalas.
- Undang-undang jenayah Islam tidak dapat dipisahkan dari konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan munkar (al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar). Konsep ini banyak membantu mengurangkan jenayah. Islam bukan sahaja mengarahkan kejahatan diperangi bahkan menyeru agar kebaikan disebarluaskan. Mereka yang biasa dengan amalan kebaikan dan ibadat akan terhindar dari melakukan kemunkaran dan jenayah. Umpannya ibadat solat yang disebut oleh Allah sebagai ibadat yang dapat mencegah munkar. Ibadah puasa pula disebut oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai amalan yang dapat mengekang hawa nafsu syahwat. Begitu juga dengan amalan makruf yang lain. Konsep al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar ini mengajak seluruh rakyat terutamanya umat Islam untuk bersama-sama membenteras jenayah. Bahkan, mereka juga dibenarkan untuk membuat tangkapan jika mempunyai asas kukuh. Kewujudan Badan Hisbah selaku badan rasmi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk melaksanakan konsep al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar ini juga dapat membantu mengurangkan jenayah. Dengan cara ini para penjenayah akan lebih berhati-hati dalam segala tindakan mereka. Konsep ini tidak ada dalam undang-undang jenayah sivil. Pihak penguatkuasa seperti polis biasanya akan hanya mengambil tindakan selepas terdapat laporan berkaitan jenayah dibuat.
- Undang-undang jenayah Islam amat berhati-hati dalam soal mensabitkan seseorang dengan hukuman jenayah. Umpamanya dalam kes hudud, pensabitannya adalah amat berat. Contohnya, bagi kes kecurian, harta yang dicuri itu mesti disimpan ditempat yang sesuai, dan tidak berlaku masalah yang mendesak seperti perang, kebuluran dan mala petaka. Begitu juga dalam kes zina yang disabitkan dengan iqrar atu kesaksian oleh emapat lelaki yang melihat kejadian secara jelas ibarat melihat timba masuk ke dalam perigi. Jika gagal membawa empat saksi, orang yang yang membuat tuduhan itu pula akan didakwa melakukan kesalahan qazaf. Syarat saksi dalam undang-undang Islam pula amat ketat. Seseorang saksi mestilah adil iaitu tidak fasik. Terdapat proses penapisan saksi yang disebut sebagai ‘tazkiyah al-syuhud’. Jika didapati saksi itu pernah melakukan dosa besar selalu melakukan kejahatan mempunyai akhlak yang keji, maka kesaksiannya boleh dipertikai. Dalam undang-undang jenayah sivil, soal akhlak dan perangai saksi tidak diambil kira dalam menentukan kesahihan keterangannya.
- Undang-undang jenayah Islam tidak membenarkan pemerintah menahan seseorang tanpa dibawa kemuka pengadilan dan didakwa menurut prosedur yang sah. Islam menjunjung tinggi konsep bahawa ‘pada asalnya seseorang itu tidak bersalah’ (al-aslu bara’ah al-zimmah). Tahanan tanpa bicara dianggap satu kezaliman dalam Islam walau dengan apa alasan sekali pun. Jika seseorang itu dikatakan melakukan jenayah, maka perkara jenayah itu perlu dibuktikan oleh pendakwa di hadapan hakim di mahkamah. Beban bukti terletak pada pendakwa. Jika tiada bukti bahawa tertuduh itu melakukan jenayah, maka tertuduh itu perlu dilepaskan dan dia bebas dari tuduhan itu. Dalam undang-undang jenayah sivi, terdapat peruntukan yang membenarkan tahanan tanpa bicara yang disebut sebagai tahanan pencegahan atau preventive detention. Contohnya Akta Keselamatan Dalam Negeri membenarkan seseorang yang disyakki menjejaskan keselamatan awam ditahan selama 60 hari tanpa bicara untuk siasatan. Seseorang yang pada pendapat Menteri Dalam Negeri boleh menjejaskan keselamatan awam pula boleh ditahan selama dua tahun. Mereka boleh ditahan tanpa dibicara di mana-mana tribunal atau mahkamah.
- Undang-undang Islam memperuntukkan pelbagai bentuk hukuman yang mempunyai kesan yang mendalam. Bagi hukuman hudud terdapat hukuman rejam sampai mati, sebatan, hukuman mati, potong tangan. Potong kaki, salib, dan buang negeri. Bagi kesalahan qisas, terdapat hukuman qisas iaitu balasan yang sama dengan jenayah iaitu nyawa dengan nyawa, mata dengan mata, telinga dengan telinga dan seterusnya, serta hukuman diyat iaitu gantirugi dengan kadar yang berbeza. Hukuman takzir pula amat luas dan boleh dikenakan mengikut maslahah, keperluan dan kebijaksanaan pemerintah, badan perundangan serta hakim. Sementara dalam undang-undang sivil, hukumannya yang utama hanyalah hukuman mati, penjara, sebat dan denda. Walau pun terdapat hukuman lain seperi jaminan perkelakuan baik, gantirugi, dan arahan untuk remaja, hukuman yang utama adalah hukuman mati, penjara, denda dan rotan. Di antara keempat-empat hukuman ini pula hukuman yang paling banyak adalah hukuman penjara. Boleh dikatakan hampir semua bentuk kesalahan jenayah boleh dihukum dengan hukuman penjara. Kesalahan-kesalahan utama dan berat seperti membunuh, rogol, menculik, merompak dan seumpamanya boleh dihukum dengan hukuman penjara. Begitu juga dengan kesalahan kecil seperti kesalahan lalu-lintas, kesalahan berkaitan pihak berkuasa tempatan dan sebagainya. Sedangkan penjara boleh membawa kepada berbagai keburukan seperti ia boleh menjadi tempat latihan jenayah di samping pusat pengedaran dadah dan perbuatan tidak bermoral. Penjara juga menyebabkan isteri, anak-anak dan keluarga terpaksa menanggung malu dan beban ekonomi akibat dari kesalahan penjenayah. Mereka yang keluar dari penjara biasanya disisihkan oleh masyarakat dan ada yang kembali melakukan jenayah.
- Perbezaan terakhir iailah dari sudut keberkatan. Keberkatan adalah satu perkara yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera tetapi ia terbukti melalui janji Allah dan Rasulnya serta peristiwa yang berlaku. Allah menjamin keberkatan dengan pelaksanaan hukum Islam termasuk undang-undang jenayah. Pelaksanaan undang-undang Islam pasti dapat mengurangkan kadar jenayah dan mewujudkan keharmonian di kalangan masyarakat. Berbeza dengan undang-undang sivil ciptaan manusia yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam. Ia gagal menimbulkan rasa takut dan gerun walau pun hukuman yang dikenakan adalah berat. Umpamanya hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah tidak berjaya mengurangkan jenayah berkenaan. Begitu juga dengan kesalahan jenayah yang lain.
Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam
Undang-undang jenayah Islam adalah undang-undang yang sesuai
untuk semua masyarakat pada semua zaman. Ia juga undang-undang
undang-undang yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Apa yang lebih
penting undang-undang jenayah Islam wajib diamalkan oleh mereka yang beriman.
Antara dalil yang menunjukkan kewajipan tersebut adalah ayat-ayat Al-Quran
berikut:
1)Dan hendaklah
kamu berhukum antara manusia dengan hukum yang diturunkan oleh Allah dan
janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kamu, dan berhati-hatilah kamu terhadap
mereka kalau-kalau mereka menggelincirkan kamu daripada sebahagian dari apa
yang telah Allah turunkan kepadamu. [11]
2)Sesungguhnya
kami telah turunkan kepada kamu (ya Muhammad s.a.w.) akan kitab (al-Quran)
dengan sebenarnya supaya kamu menghukum manusia dengan apa yang telah dinyatakan
oleh Allah maka janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yang khianat.[12]
Terdapat banyak lagi ayat
al-Quran dan Sunnah yang menunjukkan kewajipan pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam iaitu qisas, hudud dan ta’zir ini. Hukum ini berkekalan sampai
hari kiamat. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Khulafa al-Rasyidin dan
para khalifah berikutnya melaksanakan undang-undang ini, sehinggalah jatuhnya
kerajaan atau khilafah Islam. Malah kerajaan empayar Melaka dan negeri-negeri
lain juga pernah melaksanakan undang-undang jenayah Islam ini. Tiada siapa yang
berhak memansuhkan hukuman ini. Ada yang mengatakan Sayyidina Umar pernah
memansuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri pada tahun kelaparan. Dakwaan
ini adalah satu fitnah yang besar ke atas sahabat yang dijamin syurga ini. Apa
yang berlaku ialah pencuri tidak dihukum kerana tiada keterangan yang mencukupi
untuk disabitkan bersalah.[13]
Hadith-hadith yang mengatakan Sayyidina Umar menangguhkan pelaksanaan hukum
potong tangan bagi pencuri pada tahun kelaparan adalah hadis daif.[14]
Ada yang mengatakan pelaksanaan
hukum jenayah Islam perlu ditangguhkan untuk mengelakkan tekanan ekonomi akibat
ketiadaan pelabur asing. Alasan ini tidak berasas kerana pelaksanaan hukum
Islam dibuat secara adil mengikut kehendak Allah. Hasil dari pelaksanaan hukum
Islam negara akan menjadi aman dan tenteram serta jenayah dapat dikurangkan
pada tahap yang sangat minimum. Perkembangan ini tentunya akan menambahkan lagi
tarikan pelabur untuk melabur di dalam negara pengamal undang-undang jenayah
Islam ini. Tambahan pula pelabur yang datang tidak perlu takut kerana mereka
datang bukan untuk melakukan jenayah tetapi untuk menanam modal.
Terdapat juga pihak yang ingin
mengelakkan dari pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan alasan bahawa
keadaan rakyat yang belum menghayati Islam sepenuhnya serta banyaknya perkara
munkar, menjadikan undang-undang Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Pelaksanaan undang-undang Islam tidak tertakluk kepada syarat bahawa semua rakyat
telah menghayati Islam terlebih dahulu. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam
adalah bertujuan untuk menghapuskan atau mengurangkan kadar jenayah. Ia sesuai
dilaksanakan dalam semua keadaan. Undang-undang jenayah yang ada pada hari ini
terbukti gagal untuk menghapuskan jenayah. Fakta menunjukkan bahawa purata
kadar peningkatan jenayah di Malaysia bermula dari tahun 1994-1998 telah
menjangkau sebanyak 9.5% setahun sebagaimana yang dilaporkan oleh Polis DiRaja
Malaysia. Keadaan ini jauh berbeza dengan kadar pertumbuhan penduduk Malaysia
sekitar 2.53% sahaja sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan
Malaysia. Jika perkembangan ini dibiarkan berterusan, keselamatan rakyat dan
keamanan negara semakin lama semakin terancam.
Bagi mengatasi masalah ini, undang-undang jenayah Islam perlu kembali
dikuatkuasakan sebagaimana yang pernah diamalkan oleh Empayar Melaka dan
negeri-negeri Melayu. Sepatutnya situasi rakyat yang tidak menghayati Islam
sepenuhnya dan banyaknya munkar menjadi faktor pendorong untuk menguatkuasakan
undang-undang jenayah Islam, bukannya faktor untuk tidak melaksanakannya
seperti yang didakwa oleh sesetengan pihak. Jika kita ingin menunggu seluruh
masyarakat menjadi ‘baik’ semuanya tanpa pelaksanaan undang-undang jenayah
Islam, sehingga kiamat pun kita tidak akan berjaya. Ini kerana undang-undang
jenayah Islam adalah pelengkap kepada proses islah atau tajdid
iaitu proses untuk merubah masyarakat ke arah kebaikan. Usaha pendidikan,
pembangunan institusi keluarga, pembangunan sosial dan dakwah tidak akan
berjaya sepenuhnya tanpa penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam seperti
yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
Di samping itu, terdapat juga
suara-suara yang mengatakan bahawa undang-undang jenayah Islam tidak dapat
dikuatkuasakan kerana rakyat masih jahil dengan undang-undang tersebut. Islam
sebenarnya tidak mensyaratkan semua rakyat memahami sesuatu undang-undang
sebelum pelaksanaannya. Bahkan dalam mana-mana sistem perundangan dalam dunia
tidak terdapat Parlimen atau Badan Perundangan yang mensyaratkan kefahaman
rakyat sebelum sesuatu undang-undang diluluskan. Di Malaysia sahaja terdapat
lebih kurang 600 akta dan beribu-ribu undang-undang kecil serta bermacam-macam
peraturan. Tidak ramai rakyat memahami kesemua undang-undang tersebut. Parlimen
tetap meluluskan semua undang-undang walau pun ia belum difahami sepenuhnya
oleh rakyat. Undang-undang jenayah Islam seperti hudud, qisas dan ta’zir
sebenarnya undang-undang yang sedia diketahui oleh rakyat terutamanya umat
Islam kerana ia terdapat di dalam Al-Quran dan Hadith yang menjadi bacaan
harian umat Islam. Ia juga diajar di masjid-masjid dan surau-surau. Terdapat
banyak buku dalam pelbagai bahasa yang menghuraikan tentang hukum jenayah Islam
ini. Jika ada yang belum memahaminya sekali pun ia boleh diketahui dan difahami
dengan mudah. Oleh yang demikian tiada sebab umat Islam menolak pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam kerana alasan kejahilan masyarakat.
Undang-undang jenayah Islam ini
sesuai untuk semua masyarakat. Namun begitu ada yang menyatakan undang-undang
ini tidak sesuai dijalankan di sebuah negara yang mempunyai masyarakat
berbilang kaum. Sebenarnya ini bukan satu alasan yang kukuh kerana kerajaan
Islam yang dipimpin oleh Rasulullah di Madinah juga adalah masyarakat berbilang
kaum dan agama yang turut didiami oleh orang Yahudi di samping umat Islam.
Al-Qurtubi menjelaskan bahawa terdapat perbezaan pendapat ulama berkaitan
kedudukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam ke atas bukan Islam.
Sebahagian ulama seperti Imam Malik dan al-Syafie berpendapat bahawa mereka
diberi pilihan samada mahu dihukum dengan hukum jenayah Islam atau tidak.[15] Jika
pandangan ini diambil, tidak timbul soal masyarakat berbilang kaum dan agama
sebagai penghalang kepada pelaksanaan undang-undang jenayah Islam. Jika mereka
tidak mahu memilih undang-undang jenayah Islam mereka boleh diadili dan dihukum
mengikut undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan.
Tegasnya undang-undang jenayah
Islam adalah undang-undang yang dikurniakan kepada manusia sebagai rahmat dari
Allah. Undang-undang ini sesuai dengan naluri manusia yang begitu kompleks dan
sukar dijangkakan. Pelaksanaan undang-undang Islam akan membawa kejayaan bukan
sahaja di dunia bahkan juga kejayaan di akhirat.
[1] Surah al-Baqarah:173
[2] Surah al-Nisa’:58
[3] Surah
al-Nisa’:2
[4] Surah
al-Mutaffifin: 3
[5] Surah
al-Baqarah:275
[6] Surah
al-Hajj: 30
[7] Surah
al-Hujurat: 11
[8] Surah
al-Baqarah:188
[9] Surah
al-Ma’idah: 90
[10] Maksud
hadith riwayat al-Bukhari
[11] Surah
al-Maidah:29
[12] Surah
al-Nisa’:105
[13] Abdul Ghani
Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 263
[14] Abdul Ghani
Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 264
[15] Al-Qurtubi,
Tafsir al-Qurtubi, Bab 6, ms. 184
No comments:
Post a Comment