Thursday, June 16, 2016

KADAR ZAKAT FITRAH TAHUN 1437H

Zakat fitrah adalah zakat diri yang difardukan ke atas seluruh umat Islam yang berkemampuan dengan syarat-syarat tertentu.

Kefarduan melaksanakan ibadah zakat fitrah adalah terletak di atas tanggungjawab seorang individu kebiasaanya ketua keluarga iaitu bagi dirinya, keluarga dan tanggungannya berdasarkan syarat-syarat berikut.

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
4. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.




Menurut laporan BERNAMA kadar zakat fitrah dikekalkan di semua negeri, iaitu antara RM6.50 hingga RM8.00. Kadar RM7.00 seorang hampir di kesemua negeri kecuali Negeri Sembilan dengan kadar RM6.50 seorang dan Melaka RM6.70, manakala bagi Negeri Johor kadarnya antara RM6.00 dan RM8.00 seorang bergantung kepada gred beras yang dimakan oleh individu pembayar zakat fitrah.

Wednesday, June 15, 2016

SURAT BERANTAI DAH BERTUKAR KEPADA WHATSAPP BERANTAI

Kalau dulu di zaman sebelum wujudnya teknologi maklumat (IT), gejala surat berantai yang menjadi masalah kepada masyarakat Islam dihantar melalui pos. Selepas itu para pencinta surat berantai menghantarnya melalui emel dan sms sejajar dengan perkembangan IT.

Kini apabila berlaku kemajuan di dalam bidang IT, mereka turut mengambail manfaat tersebut dengan menghantarnya pula melalui Whatsapp. Terdapat sebahagian bahan yang dihantar mengandungi nasihat agama dengan dibawakan dalil dan ayat-ayat Al Quran. Tidak kurang juga di bawa cerita-cerita mengenai kejayaan individu-individu sebagai motivasi kepada orang lain supaya turut berjaya seperti individu tersebut. 

 Namun dipenghujung karangan tersebut telah meminta para penerima untuk menyebarkan pula kepada individu-individu lain dalam jumlah yang ditetapkan sama ada 10 orang, 40 orang dan sebagainya. Kemudian dibawakan cerita bahawa terdapat individu yang mendapat kebaikan dan manfaat selepas beberapa hari mereka menghantar atau panjangkan mesej atau bahan tersebut kepada individu lain. 

Selepas itu dibawakan pula cerita mengenai musibah yang melanda individu-individu yang tertentu kerana mengabaikan mesej/bahan yang diterima. Mempercayai sesuatu kebaikan/manfaat atau kecelakaan akibat daripada tindakan-tindakan yang berkaitan dengan perkara di atas adalah perbuatan syirik kerana tiada kuasa kepada mana-mana makluk untuk mendatangkan kebaikan/kecelakaan kepada manusia melainkan Allah dan dalam Islam tiada ajaran yang menyatakannya sedemikian.

Tuesday, June 14, 2016

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Dalam melakukan sesuatu kita hendaklah menilai akan kemampuan, keupayaan dan kelayakan diri sebelum meneruskan hajat tersebut. Di dalam bahasa Inggeris situasi ini dipanggil " Cut Your Coat According to Your Cloth".

Peribahasa ini boleh merujuk kepada keinginan seseorang untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kemampuan kewangannya terbatas, di mana jika badan kecil, maka pakailah baju yang kecil. Bukan sahaja dari segi saiznya, ia juga merujuk kepada jenama dan jenis material baju tersebut. Jika tidak mampu janganlah berbelanja sehingga berhutang dan akhirnya tidak mampu dibayar.

Pada tahun 2014 seramai 22,351 rakyat Malaysia telah muflis dan 6,802 atau 30.4 % adalah kerana gagal membayar balik pinjaman membeli kenderaan,  4,906 (21.9 %) pula pinjaman peribadi dan 3,880 (17.6%) orang menjadi muflis kerana gagal membayar pinjaman perumahan.

Pada tahun yang sama juga seramai 1,827(8.2 %)  menjadi muflis kerana tidak mampu menjelaskan bayaran kad kredit.

Apa yang membimbangkan terdapat mereka muflis itu berumur 25 tahun dan kebawah, iaitu seramai 635 (2.8%) orang pada tahun 2014.

Apabila seseorang menjadi muflis banyak halangan dalam urusan kewangan  di mana harta mereka akan diletakkan di bawah Jabatan Insovensi Malaysia (JIM). Mereka juga tidak boleh ke luar negara tanpa kebenaran JIM. Segala-galanya mesti mendapatkan kebenaran JIM.