Friday, November 18, 2011

Seloka Ustaz Hj. Akil - Sangat Menarik lagi benar!!


Di dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT.
Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat.
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat.
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat.


http://lesongbatu1.blogspot.com/2011/11/seloka-ustaz-hj-akil-sangat-menarik.html

Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat. Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat.
Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat.
Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan menjadi pesat.



TETAPI AWAS, apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat,
kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat.
Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat.
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat,
KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat.



Apabila manusia telah mengubah tabiat,
ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat.
Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat.
Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat.
Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat.
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat.
Apabila orang tua nak mati lambat,
Tak dapat minum madu telan jerla minyak gamat.


Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat.
Semua nak tunjuk kuat.
Bila berjudi, percaya unsur kurafat.
Tapi hidup pula yang melarat
Tali kasut dah tak berikat.
Rambut pun jarang sikat.


Yang perempuan, pakai mini sekerat.
Suka pakai baju ketat.
Suka sangat menunjukkan pusat.
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat.
Pakai pulak yang singkat-singkat.
Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'.
Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat.
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat.


Duduk jauh berkirim surat .
Bila berjumpa, tangan berjabat.
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat.
Usah peduli agama dan adat.
Usah takut Allah dan malaikat.
Yang penting apa kita nak buat
Kita 'bukti' lah kita buat.
Akhirnya perut kempis dah jadi bulat.
Apabila perut kempis dah jadi bulat,maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat,
Itu jam kita tengok bayi dibuang di merata tempat.


MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT.
Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat.
Habis manusia telah tersesat.
Inilah dia fenomena masyarakat.


Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingat,
Bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa mungkin kiamat,
Sampai masa kita semua akan berangkat! .
Berangkat menuju ke negeri akhirat.
Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.
Masa tu, sindri mau ingat.

Thursday, November 17, 2011

Etika Kerja Dalam Islam

Pendahuluan

Islam menuntut setiap manusia bekerja, berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga. Di samping itu Islam juga menyatakan bahawa sesuatu "pekerjaan" yang baik ialah tugas yang diamanahkan kepada seseorang insan. Maka apabila seseorang itu menjalankan tugasnya ataupun bekerja, dengan sendirinya bererti, bahawa insan tersebut sedang menunaikan amanah Allah. Menurut Islam, setiap kerja yang diredhai oleh Allah dan disertai dengan niat adalah ibadat. Oleh demikian setiap insan hendaklah menyedari dan menghayati bahawa setiap lapangan pekerjaan yang dilakukannya itu sekiranya dimulai dengan niat, ia merupakan satu ibadat.

Selain dari itu, setiap manusia hendaklah insaf bahawa menurut ajaran Islam setiap kegiatan kita di dunia ini akan diperhitungkan di akhirat nanti sebagaimana ternyata di dalam firman Allah SWT :

Maksudnya :
"Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuatnya".
(Al-Muddaththir : 38)

Ini bererti sekiranya seseorang itu tidak menunaikan kerja dengan sewajarnya, seperti mencuri masa dengan membuat kerja peribadi di dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak dan seumpamanya maka semestinya ia akan dihukum di akhirat kelak walaupun mungkin terlepas daripada tindakan tatatertib atau pun hukuman di dunia ini. Sebaliknya berbahagialah seseorang itu di dunia dan di akhirat sekiranya kita melaksanakan tugas dengan sewajarnya menurut tuntutan Islam.

Daripada apa yang telah diutarakan, jelaslah bahawa menurut ajaran Islam, setiap manusia wajib mempunyai kerja. Islam tidak menyukai kepada pengemis dan penganggur. Di samping itu seseorang pekerja mestilah melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya kerana Allah telah menegaskan bahawa setiap pekerja itu berupaya dan mampu untuk menunaikan tanggungjawabnya. Samada seseorang pekerja itu dapat menunaikan tugasnya dengan baik atau tidak hanyalah bergantung kepada sikap pekerja itu sendiri. Islam telah menggariskan etika kerja dalam Islam antaranya :

1. Bekerja Dengan Azam Mengabdikan Diri Kepada Allah
2. Bekerja Dengan ikhlas Dan Amanah
3. Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap
4. Bekerja Dengan Semangat Kerjasama Dan Berpadu Fikiran


http://www.muftiselangor.gov.my/E-Book/KoleksiArtikelIstinbat/EtikaKerjaDlmIslam.htm


Tuesday, November 15, 2011

ISTANA NEGARA DI JALAN ISTANA, KINI TINGGAL KENANGAN

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Selepas mencatat 83 tahun sejarah yang indah berwarna-warni dan menyaksikan pertabalan tujuh daripada 13 Yang di-Pertuan Agong, kini sampailah sudah masanya untuk melabuhkan tirai penutupan Istana Negara pada esok.
Bangunan berwarna putih, yang ditandai dengan dua kubah emas tersergam indah
dan tidak asing kepada setiap pengguna jalan raya yang melepasi Jalan Syed Putra, akan secara rasmi menyaksikan satu Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 15 Nov.



Pada masa yang sama, Istana Negara yang baru di Jalan Duta akan secara rasmi menjadi istana bagi Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin, yang akan tamat tempoh jawatannya, mencatat sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang terakhir
mendiami istana di Jalan Syed Putra.
Di sinilah berlangsungnya pelbagai istiadat merangkumi upacara mengangkat
sumpah jawatan dan taat setia oleh Perdana Menteri, para menteri dan ketua
hakim.
Istana ini juga menyaksikan beratus-ratus diplomat Malaysia menerima suratcara perlantikan untuk berkhidmat di luar negara dan menerima mengadap Perdana Menteri negara serta Pesuruhjaya Tinggi dan duta dari negara asing yang ditauliahkan ke Malaysia.
Manakala beribu-ribu rakyat Malaysia berkongsi kenangan hidup apabila menghadiri upacara pengurniaan bintang dan darjah kebesaran di Istana Negara.

ISTANA LAMA

Berdiri teguh di kawasan seluas 11.34 hektar di tepi Bukit Petaling mengadap Jalan Syed Putra, yang sebelum ini dikenali sebagai Lornie Drive, bangunan di tengah ibu kota yang menggamit perhatian sesiapa sahaja ini bukanlah bangunan biasa.
Sesungguhnya, ia adalah satu bangunan yang menjadi lambang keagungan rakyat negara ini kerana ia tempat bersemayam Ketua Negara Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Itulah, Istana Negara, yang menjadi bangunan kebanggaan rakyat dan lambang
kedaulatan negara.
Sebagai sebuah Istana Negara yang pertama sebelum wujudnya pembinaan istana baru di Jalan Duta, mungkin masih ramai yang belum mengetahui akan cerita di sebalik bangunan itu.


DARI SEBUAH BANGLO MENJADI ISTANA

Sebuah banglo (pada asalnya) yang dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000, ia menjadi rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Chan Wing.
Mendapat cetusan daripada kepakaran firma senibina terkenal, Swan & McLaren untuk mereka banglo berkenaan, ia diduduki oleh jutawan itu bersama keluarganya sehinggalah tercetus Perang Dunia Kedua, menurut majalah Tell.
Banglo yang kosong sebaik sahaja keluarga jutawan itu melarikan diri, telah digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun pemerintahan mereka di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1942 sehinggalah 1945.
Namun begitu, pemerintahan Jepun tidak bertahan lama. Sebaik sahaja Jepun tidak lagi berkuasa di Tanah Melayu, keluarga Chan Wing telah kembali pada tahun 1946.
Bagaimanapun, mereka tidak menduduki banglo itu sebaliknya ia menjadi milik kepada British Malayan Administration (BMA) untuk digunakan sebagai mes pegawai kanan.
Kemudian, banglo itu bertukar milik apabila Kerajaan Negeri Selangor membelinya dan selepas diubahsuai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.
Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang Di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.
Bagi mengangkat martabat bangunan itu sebagai sebuah kediaman rasmi pemerintah tertinggi negara, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai sebagai tempat bersemayam raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.
Dengan menggunakan kepakaran arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale dari sudut rekaan, sementara pengubahsuaian pula dilakukan oleh kontraktor tempatan, proses kerja-kerja menaiktaraf itu tidak mempengaruhi struktur utama bangunan itu.
Pengubahsuaian yang hanya mengambil masa selama empat bulan sahaja menyaksikan jumlah penambahan bilik yang sebelum ini 13 kepada 20 bilik, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, empat bilik tetamu, dua balai kemasukan dan satu dewan santapan.
Sebaik menjelang tahun 1980-an, Istana Negara telah mengalami pengubahsuaian
besar-besaran dengan penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana. Ini adalah kali pertama singgahsana diletakkan di Istana Negara di mana sebelum ini pertabalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman terletak di Jalan Ampang.
Proses penambahan singgahsana baru ini yang bertujuan mengangkat martabat Istana Negara telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya, Kapt David Wee dengan berasaskan kepada alat kebesaran diraja.
Dibina tujuh tingkat dan bertiang tujuh, ia melambangkan alam semesta yang mempunyai tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan bumi dan diperbuat daripada kayu cengal yang diukir indah dan halus.
Sebaik sahaja Balairong Seri Utama ini siap, pertabalan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-tujuh telah diadakan di sini pada 1980.


BILIK-BILIK PENTING ISTANA NEGARA

Istana Negara, bukanlah sekadar tempat bersemayam pemerintah tertinggi negara. Malah, ia juga memainan peranan penting sebagai sebuah bangunan yang melambangkan kedaulatan negara.
Untuk tujuan itu, Istana Negara diperuntukkan beberapa bilik penting khusus bagi upacara tertentu merangkumi bilik Singgahsana Kecil, Dewan Mengadap, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Balairong Seri.
Bagi bilik Singgahsana Kecil, ia digunakan apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri, Istiadat Mengadap dan Menerima Watikah Perlantikan TYT Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Luar Negara.
Selain itu, ia digunakan semasa Istiadat Menerima Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia oleh Ketua Hakim Negara serta Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri.
Untuk bilik yang telah dikhususkan sebagai 'Dewan Mengadap', ia merupakan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima mengadap tetamu kehormat seperti ketua-ketua negara dan lain-lain tetamu kenamaan.
Merupakan dewan yang kedua di tingkat bawah, Dewan Mengadap juga digunakan sebagai ruang rehat oleh Sultan-sultan, Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-yang di-Pertua Negeri semasa persidangan Majlis Raja-raja diadakan di Istana Negara.
Istana Negara juga turut mempunyai Bilik Duta di mana ia merupakan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Perdana Menteri negara serta Pesuruhjaya Tinggi dan duta dari negara asing yang ditauliahkan ke Malaysia.
Sementara itu, Bilik Permaisuri merupakan tempat di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima mengadap tetamu-tetamu kehormat.
Bagi bilik yang menempatkan Balairong Seri pula, ia digunakan bagi menjalankan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Bintang-bintang dan Pingat-pingat Persekutuan, Hari Keputeraan dan acara berkaitan dengannya.
Selain itu, ia juga digunakan sebagai Dewan Santapan semasa Majlis Santapan Negara meraikan Ketua Asing yang membuat lawatan negara, Majlis Santapan Memuliakan Mesyuarat Raja-Raja dan sebagainya.



ISTANA NEGARA DALAM KENANGAN

Istana Negara yang baru di Jalan Duta akan menyaksikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 - Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dari Kedah - pada Disember ini.
Istana baru bernilai RM800 juta ini mempunyai keluasan yang lebih besar, jelas bakal menjadi mercu dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan negara ini.
Biarpun sudah ada Istana Negara yang baru, namun bangunan di Jalan Istana ini akan terus diingati sebagai sebuah tempat yang menyaksikan kelahiran tradisi diraja dan peranan pentingnya dalam sejarah negara ini.
-- BERNAMA
SKMS CR