Thursday, February 22, 2007

Mulut Oh Mulut

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Begitulah bidalan dalam masyarakat Melayu dalam mengambarkan peri pentingnya dijaga mulut atau pertuturan kerana padahnya amat besar dan mendalam. Sebenarnya mulut adalah satu anggota badan yang amat penting. Selain untuk tujuan makan, mulut juga adalah alat untuk berkomunikasi sama ada melalui tutur kata atau melalui isyarat. Selain dua bidalan di atas terlalu banyak bidalan lain yang mengambarkan bagaimana mulut digunakan oleh orang ramai.

Antaranya:-
Banyak mulut – orang yang kuat bercakap
Mulut tempayan – individu yang tidak boleh menyimpan rahsia
Bawa mulut – individu yang suka bercerita perihal orang lain
Mulut busuk – suka mengata
Mulut murai – individu yang bercakap tanpa henti
Mulut besar – kuat makan
Mulut manis – bertutur dengan sopan, ramah dan mesra

Lanjutan daripada beberapa kejadian semasa di dalam masyarkat di mana terdapat individu-individu tertentu yang menuturkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut mereka, maka Kerajaan Negeri Perlis akan menganjurkan seminar mengenai "mulut" yang bermatlamat untuk mewujudkan garis panduan bagi masyarakat mengenai penggunaan bahasa dalam pertuturan yang akan diadakan pada 1 Mac 2007.

Sebagai contoh, Menteri Besar Datuk Ser Shahidan Kassim merujuk perbuatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang dilaporkan mengeluarkan perkataan bodoh dan "rubbish" (mengarut) ketika membuat pengumuman menarik balik peraduan Jom Tukar dan Menang yang menawarkan hadiah utama kereta Perodua MyVi bernilai RM50,000 kepada pemenang bertuah yang menukar kad pengenalan lama kepada MyKad.

Beliau juga menyentuk mengenai Datuk Seri Dr Rais Yatim (Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) yang melebalkan Mat Rempit dengan perkataan penyangak dan dajal.

Memetik contoh lain, Shahidan berkata tindakan artis muda yang memenangi award pelakon wanita terbaik melalui filem Sepet iaitu Sharifah Amani mengucapkan perkataan "I look stupid if I speak Malay" (Saya kelihatan bodoh jika saya bercakap dalam bahasa Melayu), juga menimbulkan kemarahan banyak pihak.



Wednesday, February 21, 2007

Masalah Ibubapa, anak menjadi mangsa

Apabila nafsu amarah mengusai diri maka hilanglah kewarasan akal dan pertimbangan. Kesannya pelbagai perkara buruk dan kerosakan akan berlaku. Begitulah peristiwa tragis yang berlaku di Batu Maung, Bayan Lepas pada hari Isnin 19 Februari 2007 lalu di mana akibat hilang pertimbangan lantaran kemarahan yang tidak terkawal seorang ibu sanggup untuk membunuh dua orang anaknya apabila dikhabarkan marahkan suaminya yang ingin berkahwin lagi.

Namun punca sebenar masih belum pasti. Namun bagi Penulis apa yang berlaku adalah suatu yang malang di mana ibubapa sepatutnya menjadi pengawal dan pembimbing kepada anak-anak mereka daripada perkara-perkara buruk.

Penulis bersetuju dengan kenyataan Mufti Negeri Perak Datuk Seri Harussani Haji Zakaria bahawa suami yang ingin berpoligami atau sudah berpoligami seharusnya tidak menyembunyikan hal tersebut daripada isteri dan keluarganya kerana poligami adalah dibenarkan di dalam Islam. Isteri mana yang tidak terguris hatinya jika perbuatan suami tersebut diketahui melalui pihak ketiga dan suaminya tidak bersikap "gentleman" untuk memaklumkan hal tersebut.

Jika perkara ini disembungikan, maka ia akan mendatangkan masalah yang rumit di hari kemudian, khususnya dalam hal tuntutan harta pesaka, nasab keturunan (anak-anak daripada isteri-isteri mesti kenal antara mereka agar tidak berlaku perkahwinan sesama mereka), tuntutan nafkah anak-anak (jika perkahwinan dilakukan di luar negara dan tidak didaftarkan di sini) dan sebagainya.

Namun yang pasti sebagai lelaki jika anda ingin berpoligami lakukan dengan mengikut prosedur yang ada. Apa yang boleh dilakukan pertamanya kena cermin diri dulu. Apakah ada anda ada kemampuan untuk mengamalkannya sama ada dari segi ekonomi, emosi, kemampuan untuk membimbing keluarga di jalan yang berlandaskan Islam, peruntukan masa dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan yang berlaku dikemudian hari.

Berani buat mestilah berani tanggung. Jadilah lelaki sejati jangan main sorok-sorok.