Thursday, September 22, 2011

Hukum Memakai Cincin, Gelang Tangan dan Rantai Leher Kepada Lelaki

Oleh: Ustaz Mohamad Faizal bin Ahmat



Memakai cincin merupakan salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah memakai cincin. Berdasarkan hadith daripada Anas bin Malek :



“ Adalah cincin Nabi SAW dipakai pada tangan ini ( Dan dia menunjukkan kepada kelingking jari kiri)”(Hadith Riwayat Muslim) Begitu juga, nasihat Nabi Muhammad saw. Kepada Saidina Ali sesudah bernikah dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan, Nabi Muhammad s.a.w. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari manis atau jari kelingking (anak jari). Di samping itu Ali bin Abi Talib berkata “ Rasulullah s.a.w telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya( jari tengah atau jari hantu)”. (Hadith riwatat Muslim, Abu Daud At-Tirmizi dan An-Nasai)

Bagi pemakaian gelang tangan pula, terdapat sebuah hadis yang menyebut gelang tangan ini.

Bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki tersebut: "Apakah bendanya ini"? Lelaki itu berkata: "Ia adalah gelang perubatan". Rasulullah bersabda:


“Sesungguhnya benda itu tadak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekirannya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya (Sahih riwayat Imam Ahmad).
Berdasarkan hadis di atas, terdapat perbezaan pendapat ulama, sama ada yang mengharuskan ataupun mengharamkan pemakaian gelang tangan ini. Mereka yang mengharamkan penggunaan gelang tangan adalah bersandarkan hadis zahir di atas secara jelas melarang lelaki memakai gelang tangan, walaupun untuk tujuan perubatan.



Pun begitu, terdapat ulamak yang mengharuskan menggunakan gelang tangan bagi lelaki dengan tujuan perubatan sahaja, tetapi dengan beberapa syarat yang ketat iaitu gelang tersebut telah dibuat kajian saintifik bahawa boleh merawat penyakit, gelang tersebut bukan dibuat daripada emas dan perak, pemakaian gelang tersebut bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk.




Al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman Islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”



Larangan memakai gelang yang dinamakan al-wahinah di dalam hadis di atas bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal. Oleh itu, pemakain gelang tangan bagi tujuan tangkal adalah jelas, iaitu haram. Tidak kira jenisnya, sama ada ada logam, tali bewarna hatta gelang getah sekalipun. Majlis fatwa kebangsaan telah memutuskan lilitan hitam di lengan bagi umat Islam adalah haram kerana ia merupakan suatu adat atau kepercayaan agama lain. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali Ke-19, 6 Oktober 1987 ).



Hasil dari pemerhatian penulis, pemakaian gelang di kalangan pelajar PMM atau masyarakat awam, gelang yang dipakai bukanlah jenis magnetik yang dibuat untuk tujuan perubatan tetapi jenis logam biasa yang boleh dibeli di mana-mana sahaja dengan harga yang murah. Jadi gelang ini bukanlah jenis yang diharuskan menurut Islam. Pemakaian mereka hanya bertujuan untuk menunjukkan penampilan yang dianggap “gagah” atau “macho”. Oleh itu jika hanya untuk menunjuk-nunjuk atau berhias (bagi lelaki) maka ia adalah amat ditegah dalam Islam.



Berkaitan dengan pemakaian rantai leher pula, bila ditanya “ kenapa pakai rantai leher?” ramai menjawab: “rantai ini bukan dari jenis emas atau perak”. Persoalan di sini bukanlah jenis buatannya sama ada rantai emas, perak, besi ataupun tembaga. Menurut Islam rantai leher merupakan salah satu alat perhiasan bagi wanita sahaja. Haram meniru atau menyerupai wanita sama ada dari segi alat perhiasan ataupun pakaian. Amat beratlah kesalahannya jika tujuan pemakaian rantai leher itu bertujuan untuk meniru agama, anutan, ajaran agama lain, maka hukumnya haram, bersandarkan sebuah hadis:



“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia akan tergolong di dalam kaum berkenaan.” (Riwayat Abu Daud).
Apa yang perlu di sini ialah ilmu pengetahuan. Dengan erti kata segala perbuatan dan amalan yang kita lakukan hendaklah berdasarkan ilmu yang sohih, bukan ikut-ikutan sahaja. Punca utama berlakunya terikut-ikut dengan budaya songsang seperti bertindik, rambut punk, bertatu, memakai rantai adalah kerana kejahilan dan kedangkalan untuk tidak mendalami ilmu agama. Ironinya keseronokan mengikut budaya asing atau songsang ini akan merosakkan diri malah yang lebih parah lagi, boleh merosakkan akidah kita. Akhirnya, panduan ilmu yang benar akan mendorong segala perlakuan kita bertepatan dengan ajaran Islam seterusnya mendapat kerahmatan dari Allah taala. Wallahu a’lam.
Source: PMM

Hukum Beramal Dengan Petua, Pantang Larang Melayu

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya, apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar". Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?Soalan tambahan saya, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?

Jawapan:

Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya;


1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui RasulNya di dalam as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (An-Naml: 65)


2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188)


3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.


4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.


5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (di dalam Islam)" (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)


6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadapy apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)


Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya. Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut;

1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu
2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)
3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.


Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak. Oleh yang demikian pantang larang tersebut harus diamalkan.


Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu.


Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran maupun as-Sunnah mengesahkannya.Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya.


Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya.
Oleh demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi.


Jika kita perlu menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut.


Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama -sama ada secara sedar atau tanpa sedar. Jika ia menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa - sama ada besar atau kecil - wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.Wallahu a'lam.

Untuk keterangan lanjut sila ke

www.ilmudanulamak.blogspot.com

Tuesday, September 20, 2011

Mengembala Asas Latihan Kepimpinan

Para ulama menyatakan bahawa kebanyakakan Nabi dan Rasul sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul pekerjaan awal mereka adalah mengembala kambing. Kerja mengembala kambing ini sangat singifikan kerana ia adalah sebagai satu bentuk latihan kepada para Nabi dan Rasul.


Ini kerana mengembala binatang sangat memerlukan kesabaran serta perlu peka kepada persekitaran kerana perlu untuk mengawal binatang ternakan agar tidak di makan oleh binatang buas serta tidak hilang. Selain itu pengembala juga perlu mahir di dalam mencari kawasan yang mempunyai rumput untuk di makan oleh kambing-kambing tersebut. Ia mengajar pengembala untuk merancang dan sentiasa memikirkan keperluan kambing-kambing tersebut.


Selain itu menjadi pengembala perlukan sifat amanah kerana di dalam gerombolan kambing yang besar jika si pengembala mencuri seekor dua kambing tuannya di dalam sesuatu masa, kemungkinan besar tuannya tidak akan menyedarinya. Walaupun peluang untuk melakukan perbuatan tersebut ada, namun sebagai orang yang amanah para Nabi dan Rasul tidak melakukannya.


Jika diterjemahkan di dalam masyarakat, maka peranan para Nabi dan Rasul terhadap masyarakat adalah sama di mana sebagai pemimpin mereka wajib memastikan bahawa rakyat mempunyai sumber makanan dan pendapatan. Ia menjadi tugas kepimpinan dalam masyarakat untuk memastikan bahawa rakyat dapat hidup dalam keadaan yang sempurna, mempunyai makanan yang cukup, disediakan peluang pendidikan, perumahan dan perlindungan daripada ancaman bahaya dan keselamatan.


Pemimpin juga wajib amanah dalam melaksanakan kepimpinanan mereka di mana kuasa yang ada tidak boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri, keluarga dan kelompok mereka, tetapi mesti digunakan untuk kepentingan dan maslahat umum. Kuasa tidak digunakan untuk memeras rakyat dan mengugut rakyat untuk terus patuh dan menyokong mereka walaupun dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan agama. Kuasa yang ada digunakan untuk menyeru rakyat kepada mentauhidkan Allah dan meninggalkan segala perbuatan mungkar.

Monday, September 19, 2011

Demokrasi dan Perjuangan

Demokrasi adalah sistem bernegara yang membolehkan setiap individu berbeza dalam pendapat, pandangan, ideologi, berpersatuan dan dokongan politik. Namun ia harus selaras dengan undang-undang.


Kepada orang Islam ialah adalah sebagai uslub (cara) ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang bermaruah, adil, beramah, berakhlak, tinggi budi pekerti, berilmu, beriman dan beramal. Dalam ertikata sebaliknya bukan masyarakat yang jahil, rasuah, membuli, tidak adil, rosak akhlak dan segala gejala sosial yang boleh mencemarkan individu, masyarakat dan agama keseluruhannya.


Perjuangan bukan sekadar untuk PERUT dan BAWAH PERUT. Perjuangan dunia adalah landasan ke hari kemudian. Salah naik landasan habis. Salah pilih ketua kantoi ... Kalau sekadar perjuangan untuk perut sama le macam yang berkaki empat ...

Berbudi Pada Tanah

Memaksimumkan penggunaan tanah yang sekangkang anak kera dengan menanam buah-buahan tempatan. Berbudi pada tanah rezeki dituai kita merasa.