Showing posts with label pemimpin. Show all posts
Showing posts with label pemimpin. Show all posts

Thursday, February 09, 2012

Pemimpin Jangan Jadi Macam Firaun

Sesuai dengan suasana pilihanraya yang semakin hampir, maka kisah yang diutarakan di sini amat relevan dengan kita. Sesungguhnya Al Quran itu memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka yang mahu mengambilnya.
Kisah ini telah disampaikan oleh Ustaz Wan Sohor Bani Leman di dalam rancangan Al Zikra, jam 6.45 pagi di Radio KL (KL.FM) pada bulan Mac 2008, iaitu sebelum pilihanraya umum ke 12 lalu. Ia telah membincangkan mengenai sirah nabi Musa berasaskan apa yang diceritakan di dalam Al Quran. Ia mengisahkan bagaimana kisah Nabi Musa telah kembali ke Istana Firaun setelah lama keluar dari Istana itu dan menyeru Firaun agar beriman kepada Allah. Namun Firaun yang telah mengaku "ana warabbuka" (aku adalah tuhan) tidak sudi bahkan telah menentang nabi Musa yang telah membesar di dalam istananya.
Dengar sifat takbur dan marah, Firaun telah mengungkit kembali segala jasa dan pengorbanan yang telah dia berikan kepada Nabi Musa, iaitu bermula di mana isterinya menjumpai seorang bayi (Nabi Musa) yang dihanyut oleh arus sungai, kemudiannya dibesarkan dengan segala kemudahan dan kemewahan hingga usia remaja (18 th). Bila berlaku satu kejadian di mana Nabi Musa telah dengan tidak sengaja terbunuh seorang lelaki Qibti (kaum Firaun), maka akibat ketakutan baginda melarikan diri dari istana Firaun. Diringkaskan- sepanjang masa "pelarian" itu baginda diberikan wahyu lalu diangkat menjadi rasul yang kemudian diwahyukan Allah untuk menyampaikan Islam kepada Firaun.
Bila kembali ke istana Firaun, lalu disampaikanlah risalah Islamiyah kepada Firaun, namun Firaun dengan sombong telah menolak dakwah tersebut dan mengatakan kepada Nabi Musa bahawa baginda ini seorang yang tidak mengenang budi dan tak tahu berterima kasih. Orang politik hari ini selalu berkata -Don't bite the hand that feeds you.
Menurut Ustaz Wan Sohor adalah tidak berakhlak jika seseorang yang memang tugasnya - contoh ayah membesarkan dan menyara anaknya atau pemimpin memberikan kesenangan kepada rakyatnya untuk mengungkit segala apa yang dilakukan kerana itu adalah tanggungjawab kita ke atas orang di bawah kekuasaan kita. Apatah lagi sehingga mengugut untuk tidak memberikan bantuan atau kemudahan kepada mereka yang tidak menyokong.
Oleh itu mengundilah anda bukan atas dasar jasa - yang lebih penting atas dasar menghindari dosa . Sokong berbuat baik belum tentu masuk syurga TAPI sokong kemungkaran/maksiat DAH TENTU masuk neraka.

Tuesday, September 20, 2011

Mengembala Asas Latihan Kepimpinan

Para ulama menyatakan bahawa kebanyakakan Nabi dan Rasul sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul pekerjaan awal mereka adalah mengembala kambing. Kerja mengembala kambing ini sangat singifikan kerana ia adalah sebagai satu bentuk latihan kepada para Nabi dan Rasul.


Ini kerana mengembala binatang sangat memerlukan kesabaran serta perlu peka kepada persekitaran kerana perlu untuk mengawal binatang ternakan agar tidak di makan oleh binatang buas serta tidak hilang. Selain itu pengembala juga perlu mahir di dalam mencari kawasan yang mempunyai rumput untuk di makan oleh kambing-kambing tersebut. Ia mengajar pengembala untuk merancang dan sentiasa memikirkan keperluan kambing-kambing tersebut.


Selain itu menjadi pengembala perlukan sifat amanah kerana di dalam gerombolan kambing yang besar jika si pengembala mencuri seekor dua kambing tuannya di dalam sesuatu masa, kemungkinan besar tuannya tidak akan menyedarinya. Walaupun peluang untuk melakukan perbuatan tersebut ada, namun sebagai orang yang amanah para Nabi dan Rasul tidak melakukannya.


Jika diterjemahkan di dalam masyarakat, maka peranan para Nabi dan Rasul terhadap masyarakat adalah sama di mana sebagai pemimpin mereka wajib memastikan bahawa rakyat mempunyai sumber makanan dan pendapatan. Ia menjadi tugas kepimpinan dalam masyarakat untuk memastikan bahawa rakyat dapat hidup dalam keadaan yang sempurna, mempunyai makanan yang cukup, disediakan peluang pendidikan, perumahan dan perlindungan daripada ancaman bahaya dan keselamatan.


Pemimpin juga wajib amanah dalam melaksanakan kepimpinanan mereka di mana kuasa yang ada tidak boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri, keluarga dan kelompok mereka, tetapi mesti digunakan untuk kepentingan dan maslahat umum. Kuasa tidak digunakan untuk memeras rakyat dan mengugut rakyat untuk terus patuh dan menyokong mereka walaupun dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan agama. Kuasa yang ada digunakan untuk menyeru rakyat kepada mentauhidkan Allah dan meninggalkan segala perbuatan mungkar.

Tuesday, October 20, 2009

Pemimpin dan Tanggungjawabnya

" Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang ketua adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya. Seorang khadam atau pembantu rumah adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. " - sabda Rasulullah s.a.w