Friday, October 07, 2011

WAKAF: PELABURAN AKHIRAT

http://lesongbatu1.blogspot.com/2011/10/wakaf-pelaburan-akhirat.html

Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan Umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala.


Para Fuqahah (ahli fiqh dan ulama') berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam agama Islam. Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi mana harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai. Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah ( diberi ) , diwarisi dan dipusakai.


Allah S.W.T telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah Taala sebagaimana firman Allah :-



مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ مِّاْئَةٍُ حَبَّةٍ۬‌ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيم ﴾(سورة البقرة): ۲٦١


Maksudnya :-
“Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( KurniaNya ) lagi Maha Mengetahui”.
( Surah Al-Baqarah Ayat 261 )


Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud :-



عَنْ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ تَعَالى عنه ‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ : ‏ ‏إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاثَةٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، اَوْعِلْمِ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ. ‏ ﴿ رواه مسلم


Maksudnya :-
“Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah , ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.
( Hadis Riwayat Muslim )

HIKMAH BERWAKAF

Allah s.w.t berfirman didalam surah al-imran ayat 115 yang bermaksud:
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka lakukan, maka mereka tidak sekali-kali akan dinafikan atau disekat daripada mendapat pahala. Dan ingatlah allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.


Antara hikmah yang terdapat didalam ibadah wakaf ialah:
+ Menzahirkan pengabdian diri kepada allah s.w.t
+ Sebagai langkah mendekatkan diri kepada allah s.w.t
+ Mendapat kebajikan yang berkekalan walaupun pewakaf telah meninggal dunia
+ Berkongsi manfaat dikalangan umat islam dalam menyemarakkan syiar islam.
+ Ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah dan
+ Ianya juga secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan dan pengkongsian aset umat Islam di Negara ini khususnya.


keterangan lanjut: rujuk -


Wednesday, October 05, 2011

Undang-Undang Islam: Bukan Sekadar Menghukum

Hukuman kepada penjenayah di dalam Islam bukan hanya sekadar hukuman kepada pelaku, tetapi adalah lebih merupakan satu bentuk pendidikan dan peringatan untuk tujuan pencegahan, khasnya kepada ahli masyarakat yang lain.

Di dalam hukuman syariah, terdapat undang-undang iaitu Hudud, Qisas, Qazaf, dan Takzir.

http://lesongbatu1.blogspot.com/2011/10/undang-undang-islam-bukan-sekadar.html


Undang syariah adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan agama, keluarga (nasab keturunan), akal, harta benda dan nyawa.


Demi menjaga agama adanya undang-undang Riddah di bawah Hudud yang dikenakan kepada orang Islam yang murtad. Pelaksanaannya melalui proses iaitu diberikan peluang untuk bertaubat sebanyak tiga kali dan selepas engkar barulah hukuman dilaksanakan.


Islam amat menjaga nasab keturunan iaitu untuk membina keluarga wajib melalui perkahwinan. Oleh itu di dalam hudud, pelaku zina akan dikenakan hukuman sebat 100 kali rotan kepada mereka yang belum kahwin dan rejam sampai mati kepada mereka yang berkahwin. Para ulama menyatakan bahawa hukuman rejam adalah kerana pelaku telah mengkhianati pasangan masing-masing dengan mengadakan hubungan haram. Namun pelaksanaan hukuman amat ketat antaranya memerlukan empat saksi yang mukallaf dan tidak fasik. Anak-anak yang lahir daripada hubungan sumbang akan memutuskan nasab keturunan dan banyak masalah akan lahir dalam keluarga dan masyarakat. Selain itu membuat tududahan zina kepada orang mukmin tanpa membawa bukti-bukti syarak, maka penuduh boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu sebat sebanyak 40 kali sebatan. Ia perlu agar ahli masyarakat tidak sewenang-wenangnya menuduh orang lain berzina hanya kerana pertentangan dalam diri dan kelompok masing-masing.


Akal yang waras akan memandu manusia ke jalan yang baik. Semua perkara yang membawa kepada kerosakan akal sama ada sementara atau kekal adalah haram. Contohnya perbuatan meminum minuman keras dan pengambilan dadah. Oleh itu meminum arak adalah haram kerana boleh merosakkan akal dan akibatnya pelbagai kerosakkan di atas bumi dilakukan oleh pemabuk-pemabuk. Tujuan pencegahan adalah dengan mengenakan hukuman sebat 80 kali rotan kepada pelakunya.


Memiliki harta benda adalah fitrah manusia dan mencarinya melalui jalan yang halal adalah dituntut agama. Oleh itu pemilikan harta benda melalui jalan yang salah adalah haram dan jika diperolehi melalui kegiatan mencuri, merompak, samun atau menipu mereka boleh dikenakan hukuman hudud iaitu potong tangan dan kaki. Namun prosesnya amat ketat dan faktor-faktor persekitaran dan kemanusiaan akan diambil kira sebelum hukuman dijatuhkan. Contohnya, pekerja yang mencuri wang majikannya akibat tidak tidak dibayar gaji oleh majikannya, maka ia tidak dikenakan hukuman potong tangan, bahkan majikannya pula yang akan dikenakan hukuman oleh pemerintah.


Selain itu, Islam amat menjaga nyawa sehingga membunuh diri adalah berdosa besar dan pelakunya dikira mati di dalam keadaan bukan beragama Islam. Oleh itu perbuatan membunuh atau mengambil nyawa orang lain adalah haram dan boleh dikenakan di bawah hukuman Qisas iaitu setiap perbuatan yang dilakukan mesti dibalas dengan perbuatan yang sama, bermakna jika membunuh, maka hukumannya adalah dibunuh juga. Namun seperti yang dinyatakan awal tadi bahawa Islam menghargai nyawa, maka jika keluarga mangsa dibunuh sanggup memaafkan pelaku, maka mahkamah akan menjatuhkan hukuman diyyat iaitu bayaran wang darah sebagai ganti rugi kepada kematian mangsa. Dengan wang tersebut, maka keluarga mangsa akan dapat meneruskan kehidupan mereka selepas kehilangan anggota keluarga, lebih-lebih lagi jika mangsa adalah ketua keluarga yang menyara keluarga tersebut. Sila rujuk posting lepas mengenai diyyat berkenaan kadar yang ditetapkan.

Pandangan masyarakat bahawa undang-undang syariah adalah kejam sebenarnya tidak benar dan dikeluarkan akibat kejahilan mengenai moleknya undang-undang itu. Jika undang-undang sivil, pembunuh jika sabit kesalahan, maka pelaku akan dikenakan hukuman bunuh dan mahkamah tidak mempunyai pilihan untuk tidak melaksanakannya. Ini berbeza dengan undang-undang Islam yang menentukannya adalah keluarga si mati dan maka hanya melaksanakannya menurut keputusan si mati.

Tuesday, October 04, 2011

Kedudukan Kerusi Melayu Dalam Dewan Undangan Negeri Perak

http://lesongbatu1.blogspot.com/2011/10/kedudukan-kerusi-melayu-dalam-dewan.html


Kegusaran orang Melayu bahawa suara majoriti orang Melayu akan hilang di Perak, jika Umno/BN tewas sebenarnya tidak berasas, kerana DAP hanya bertanding di 18 kawasan berbanding jumlah keseluruhan 59 kawasan DUN.

Berdasarkan keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat, komposisi pengagihan kerusi untuk pilihanraya 13 adalah kekal mengikut agihan tahun 2008, maka kuasa atau suara majoriti orang Melayu akan terus terpelihara andainya Umno kalah dalam pilihanraya tersebut.

Berdasarkan agihan kerusi dalam tahun 2008, Umno bertanding di 34 kawasan DUN, di mana daripada jumlah itu 4 kawasan adalah menentang bukan Melayu. Selain itu bukan Melayu BN (MIC/MCA/Gerakan) telah bertanding di 25 kawasan DUN dan 2 daripada kawasan adalah menentang calon Melayu. Baki kawasan DUN sebanyak 23 adalah ditandingi oleh bukan Melayu PR (DAP/PKR) menentang bukan Melayu daripada BN.

Oleh itu, jika Umno kalah semua, maka kemenangan di PR adalah 30 Melayu dan 4 bukan Melayu. Jika bukan Melayu BN kalah semua, maka PR akan dapat tambahan 2 Melayu dan 23 bukan Melayu.

Oleh itu jika BN kalah semua, maka di pihak PR mengikut kaum adalah seperti berikut:- ADUN Melayu seramai 32 orang dan bukan Melayu (27 orang).

Jika BN menang semua pula, komposisinya adalah ADUN Melayu 34 dan bukan Melayu 25. Jadi tidak banyak bezanya dari segi komposisi kaum dalam dewan negeri.

Tapai Ubi Boleh Mencegah Kanser

http://lesongbatu1.blogspot.com/2011/10/tapai-ubi-boleh-mencegah-kanser.html

Tapai ubi adalah antara makanan kegemaran di dalam masyarkat Melayu. Hasil kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Dr Latifah Saiful Yazan mendapati tapai ubi juga mampu mencegah kanser kerana ia mengandungi bahan bakteriosin sejenis protein yang terhasil melalui proses penapaian.


Bakteriosin menunjukkan tindak balas positif ke atas aktiviti anti kanser, namun mendapati ia tidak bertindak untuk menyembuh atau membunuh sel-sel kanser.


Kajian awal menunjukkan bahawa bakteriosin berpotensi mencegah penyakit kanser termasuk payu dara, servikal, ovari dan leukimia.

Kajian yang dijalankan bersama dengan Prof Madya Dr Raha Abdul Rahim telah melalui beberapa kajian terhadap bakteriosin dan mendapati ada aktiviti anti mikro yang menunjukkan bakteriosin boleh membunuh mikroorganisme tertentu seperti pathogenic micro organism yang menyebabkan kanser.

Tulisan ini dipetik daripada majalah Jelita, Mac 2005