Friday, January 26, 2007

Pilihanraya Kecil – peluang buat duit dan pembangunan

Ketika artikel ini ditulis tinggal dua hari lagi proses pengundian pilihanraya kecil DUN Batu Talam akan dijalankan pada 28 Januri 2006. Walaupun parti pembangkang PAS, Keadilan dan DAP tidak bertanding dan BN hanya melawan seorang remaja berbangsa Cina berusia 22 tahun, namun liputan yang diberikan oleh media massa tetap hebat sama seperti BN menghadapi parti pembangkang utama tadi, malah BN terus mengempur dengan segala kemudahan dan janji-janji projek di kawasan Batu Talam.

Inilah kelebihan pilihanraya kecil berbanding pilihanraya umum apabila ia berlaku ia akan membawa satu rahmat kepada penduduk disekitarnya. Kalau sebelumnya ada pemimpin yang bukan setakat tak pernah jejak kaki ke kawasan tersebut, malah nama kawasan tersebutpun tak pernah mereka kisahkan. Namun bila ada pilihanraya kecil, maka berbondong-bondong pemimpin kecil dan besar menyusur di setiap denai dan lurah, menyusup di setiap celah rumah di perkampungan pendalaman. Ada yang bertukar gaya macam orang kampung berkain pelikat dan berketayap. Hajat mereka sama iaitu untuk meraih undi dan dalam pada pertemuan itu maka rakyat dihujani dengan janji projek segera. Itulah namanya rezeki pilihanraya.
Bak kata ramai kawan teman, pilihanraya kecil adalah medan membuat duit bagi kebanyakan orang. Itulah sebabnya bila ura-ura pembangkang untuk memboikot pilihanraya, ramai yang jadi sawan. Sepatutnya kalau tiada pertandingan lagi bagus sebab dapat menang percuma. Jimat masa, tenaga dan wang. Tapi itu kiraan kita, tapi bagi orang politik apabila tiada pertandingan maka tiadalah peluang untuk buat duit. Bila ada pertandingan, maka akan buka peluang untuk kontrak buat poster, papan tanda, membekalkan makanan, pasang poster, kenderaan dan sebagainya. Bagi orang politik habuan lebih besar menanti mereka kerana setiap kerja ada habuannya. Tidak hairanlah lepas sahaja pilihanraya akan ada yang berkereta baru dan segala yang baru.

Namun bagi peniaga mereka turut menumpang tuah apabila kunjungan orang luar akan memberikan mereka pelanggan yang ramai seperti yang dinyatakan oleh calon bebas bahawa tujuan beliau bertanding adalah untuk membuka peluang perniagaan kepada masyarakat di Raub dan Batu Talam khasnya. Hotel dan rumah tumpangan hatta rumah kosong yang berhantupun akan laku untuk disewa bagi petugas-petugas parti dari luar kawasan.

Apapun peluang untuk calon bebas menang adalah tipis, namun siapa tahu Batu Talam akan memberikan kejutan .. Bagi calon bebas Ng Chee Pang jika ia berjaya mendapat kembali depositnya itu sudah cukup sebagai satu kemenangan moral baginya yang berlawan dengan jentera BN, kerajaan dan media..

Selamat mengundi .. memberikan pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah dan memberi undi kepada sesiapa sahaja adalah hak mutlak rakyat. Beri duit ambil, beri kain pakai dan undi atas kebijaksanaan masing-masing ...

Thursday, January 25, 2007

BERBUDI BAHASA DALAM BERINTERAKSI

Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang cantik itu budi yang indah itu bahasa. Begitulah peribahasa Melayu dalam menggambarkan hubungan antara budi dan bahasa di dalam kehidupan bermasyarakat, di mana kedua-keduanya merupakan unsur yang penting dalam proses berinteraksi. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padanya. Pepatah ini jelas memberikan peringatan kepada kita agar berhati-hati atau berlapik dalam berkata-kata kerana akibatnya adalah besar sama ada baik ataupun buruk.
Laporan kajian yang dijalankan oleh Reader’s Digest seperti yang disiarkan oleh media cetak tempatan pada bulan Ogos lalu menunjukkan bahawa Kuala Lumpur menduduki tangga ke tiga terbawah di dalam senarai penduduk ibukota terpilih di dunia yang paling tidak bersopan dan kasar. Walaupun terdapat beberapa keraguan berkenaan kaedah penyelidikan tersebut tetapi pengalaman dan pemerhatian di dalam masyarakat tidak dapat menafikannya.
Budi Bahasa mengikut takrifan kamus Dewan ialah merujuk kepada satu bentuk tingkahlaku atau pertuturan seseorang. Secara mudahnya tahap budi bahasa seseorang itu diukur melalui tingkahlakunya dan juga melalui bahasa dan nada yang dilafazkannya ketika bertutur. Individu yang berbudi bahasa bermaksud individu yang tahu menghormati individu lain, bersikap sabar, berkelakuan dan bertutur secara sopan, lemah lembut dengan menggunakan bahasa yang sopan yang dizahirkan di dalam interaksinya dengan individu yang lain.
Mengapa perlunya kita berbudi bahasa di dalam masyarakat? Ia adalah elemen penting bagi memastikan keharmonian dalam masyarakat. Bagi tujuan itu, setiap ahli masyarakat mesti mempunyai ciri-ciri insan yang berbudi bahasa dan mengamalkannya di dalam masyarakat. Individu-individu ini yang berperanan sama ada sebagai ibubapa, pemimpin masyarakat atau negara, guru-guru, ketua pejabat dan sebagainya haruslah menzahirkan amalan berbudi bahasa di dalam setiap tindakan mereka sama ada ketika pergaulan ataupun berkomunikasi secara terus ataupun melalui telefon dengan harapan ia akan menjadi ikutan dalam membudayakan amalan budi bahasa dalam kehidupan seharian di kalangan orang bawahan mereka.

Selain itu hubungan antara sesama insan juga harus berdasarkan rasa hormat menghormati di antara satu sama lain serta sentiasa menjaga batas dan maruah diri setiap individu yang berada di bawah seliaan mereka. Kita harus sedar bahawa rasa hormat tidak boleh diperolehi melalui paksaan. Ia akan datang sendiri apabila kita terlebih dahulu menghormati orang lain. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Pepatah ini menjelaskan bahawa setiap orang yang berkedudukan tinggi tidak akan mengalami sebarang kekurangan dalam dirinya jika bersikap menghormati orang lain, tetapi sebaliknya akan lebih dihormati dan disayangi oleh orang-orang di bawahnya.

Wednesday, January 24, 2007

Kos hidup tinggi - Orang ramai mula merungut

Kalau nak naik senang jer … bila harga dah turun buat tau jer pulak" rungut seorang pelanggan di sebuah warung tempat teman dan anak-anak bersarapan. "Gaji naik tapi tak padan dengan harga barang". Itulah antara keluhan orang ramai. Teman seperti biasa pada hari Ahad akan mengambil peluang untuk bersarapan bersama anak-anak di luar memandangkan isteri teman menghadiri kelas pengajian di UIA. Begitulah rutinnya bagi setiap Sabtu dan Ahad minggu pertama dan ketiga setelah ditawarkan biasiswa oleh majikannya untuk menyambung pelajaran. Jadi sebagai jalan mudah dan bagi memberikan keseronokan pada anak-anak yang pada hari lainnya masa amat terhad untuk bersama maka teman bawalah makan di luar. Teman dan anak lelaki teman seperti biasa makan roti canai dan the tarik, manakala kakaknya memilih nasi lemak dan teh ais. Memandangkan gerai favourite teman (Gerai nasi lemak Aladdin) tu ramai pelanggan maka teman tumpang meja yang boleh muat untuk 6 orang dengan dua orang pelanggan lain. Sambil makan dan melayan karenah anak-anak teman terdengar dua pelanggan tadi berbual atau lebih tepat lagi rungutan. Teman pasang telinga nak dengar apa hal nya si Mamat ni merungut. Rupanya pasal kos hidup yang makin tinggi antaranya harga minyak yang tak turun-turun walaupun harga minyak di pasaran dah turun ke paras yang rendah. Rupanya bukan setakat di pejabat, di kawasan perumahan tapi di mana-mana saja sekarang orang dah mula bercakap (lebih tepat lagi merungut) pasal kos hidup yang meningkat tinggi.

Teman selalu berbelanja dibanyak tempat dari pasar malam hingga ke hypermarket. Namun secara umumnya harga memang dah meningkat tinggi. Sekarang harga telur ayam gred B pun dan mencecah RM2.80 sepuluh biji berbanding dulu hanya RM2.20. Ikan di pasar malam tak dapat yang berharga di bawah RM10 sekilo. Jadi kalau bawa RM50 jangan harap nak ada baki. Itupun cukup untuk stok barangan basah bagi tiga hari. Ramai peniaga pun merungut kerana tidak ramai pembeli mungkin ramai orang dah mula mengikat perut. Beli yang patut saja. Tambahan di awal tahun, di mana banyak yang perlu dibelanjakan untuk anak-anak sekolah. Teman masih ingat rungutan seorang bapa kepada seorang murid yang mengingatkan PIBG agar jangan suka-suka saja nak mintak duit buat program itu dan ini. Dia kata sekarang ni dia hanya fikir untuk makan dan belanja anak sekolah sahaja. Begitu mendesak keadaan di mana orang dah tak dapat nak berselindung lagi akan keperitan hidup mereka.

Ketika balik kampung hujung tahun lepas ada seorang adik teman yang terpaksa tunggu gaji bulan Disember untuk beli keperluan sekolah untuk anak-anaknya. Jadi kalau bahagian gajinya dah digunakan untuk keperluan itu, maka akan terganggulah perbelanjaan untuk keperluan keluarga yang lain. Teman hanya dapat bantu sebahagian saja sebab teman pun rasa juga peritnya.

Secara umumnya bermula dengan kenaikan harga minyak diikuti oleh kenaikan harga elektrik, kenaikan harga air di Lembah Kelang dan baru-baru ini hadiah tahun baru diberikan kenaikan harga tol. Bila kos utiliti naik faham-faham aje lah. Orang tak belajar ekonomi pun tahu harga barangan dan perkhidmatan akan naik sebab kos untuk pengeluaran dan pemasaran dah naik. Jadi pengeluar akan pindahkan kepada pengguna dalam kenaikan harga barangan. Bila dikenangkan maka betul kata orang di Malaysia ni hanya "Hujan Yang Turun" yang lain kalau dah naik tak ada harapan nak turun balik. Banyak le alasannya … Mau kemudahan yang baik mesti bayar .. Tapi mana perginya semua kutipan cukai dan hasil negara kalau setiap perkhidmatan kena bayar. Memberi subsidi kepada rakyat kebanyakan adalah lebih baik daripada subsidi kepada segelintir korporat dan orang politik. Minyak free, kereta free, rumah free dan segalanya free tu bukan subsidi ker …