Friday, November 19, 2010

PERNIKAHAN YANG DIBERKATI ADALAH YANG RENDAH MAS KAHWINNYA

Cuti sekolah adalah musim orang melakukan majlis kenduri kahwin. Perbincangan di sini adalah mengenai melaksanakan pernikahan yang menurut syarak. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Sebesar-besar berkat penikahan ialah yang sedikit maharnya."

Di antara calon isteri yang baik ialah yang murah mas kahwinnya. Hal ini termasuklah wang hantarannya, tidaklah terlalu mengada-ngada seperti orang sekarang, hendakkan RM11,111.11 atau RM22,222.22 atau RM33,333.33 atau RM44,444.44.

Ini kerana jika hantaran dan mas kahwinnya tinggi seperti angka di atas dibimbangi akan melahirkan sifat riak dan menunjuk-nunjuk. Semuanya akan membawa kehancuran. Sia-sia saja amal perbuatan sedangkan kita hendakkan keredaan Allah SWT.

Oleh itu kena hentikan gejala berlawan-lawan untuk meletak hantaran & mas kahwin yang tinggi dan bahawa perkahwinan dengan hantaran wang sebegitu banyak bukan daripada ajaran Islam.

Seorang Ustaz memberitahu dua sebab mengapa amalan berkenaan mesti ditentang selain daripada membazir dan menunjuk-nunjuk.

Pertamanya, dikhuatiri akan menjadi contoh dan ikutan kepada masyarakat, dan
Kedua, perkahwinan gah begini akan mengecilkan hati orang miskin dan tidak mampu.

Jika orang berada dan berpangkat berbangga dan menghebahkan seluruh negara akan hantaran dan pemberian hadiah yang sebegitu besar, dikhuatiri ia akan menjadi ikutan dan panduan masyarakat.

Tidak menghairankan jika bakal keluarga pengantin perempuan akan menuntut wang hantaran sekurang-kurangnya RM10,000, RM15,000 dan RM20,000. Apa akan jadi dengan masyarakat jika keadaan ini berlaku? Mampukah anak-anak muda yang baru bekerja atau keluar dari universiti menyediakan jumlah wang sebegini besar sedangkan keinginan mereka untuk kahwin sudah memuncak.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada masyarakat kita? Nampaknya, masyarakat sedang menuju ke arah fitnah terbesar sedangkan sebahagian besar anggotanya tidak menyedarinya. Mereka yang mengaku beragama Islam tidak lagi hidup berpandukan ajaran Rasul tetapi mengikut hawa nafsu yang berdasarkan logik akal masing-masing.
Tanda-tanda keberkatan dalam rumahtanggan ialah tidak berlakunya perceraian, dikurniakan keharmonian dalam hubungan suami dan isteri, memperolehi anak-anak yang sejuk mata memandang dan sebagainya.

Tuesday, November 16, 2010

Melayu Tetap Dominan Walaupun Jika Umno Tewas

Kegusaran orang Melayu bahawa suara majoriti orang Melayu akan hilang di Perak, jika Umno/BN tewas sebenarnya tidak berasas, lagipun DAP hanya bertanding di 18 kawasan berbanding jumlah keseluruhan 59 kawasan DUN.

Jika komposisi pengagihan kawasan mengundi tahun 2008 dikekalkan untuk pilihanraya ke 13, bahawa kuasa atau suara majoriti orang Melayu akan terus terpelihara andainya Umno kalah dalam pilihanraya tersebut.

Berdasarkan agihan kerusi dalam tahun 2008, Umno bertanding di 34 kawasan DUN, di mana daripada jumlah itu 4 kawasan adalah menentang bukan Melayu. Selain itu bukan Melayu BN (MIC/MCA/Gerakan) telah bertanding di 25 kawasan DUN dan 2 daripada kawasan adalah menentang calon Melayu. Baki kawasan DUN sebanyak 23 adalah ditandingi oleh bukan Melayu PR (DAP/PKR) menentang bukan Melayu daripada BN.

Oleh itu, jika Umno kalah semua, maka kemenangan di PR adalah 30 Melayu dan 4 bukan Melayu. Jika bukan Melayu BN kalah semua, maka PR akan dapat tambahan 2 Melayu dan 23 bukan Melayu.

Oleh itu jika BN kalah semua, maka di pihak PR mengikut kaum adalah seperti berikut:- ADUN Melayu seramai 32 orang dan bukan Melayu (27 orang).

Jika BN menang semua pula, komposisinya adalah ADUN Melayu 34 dan bukan Melayu 25. Jadi tidak banyak bezanya dari segi komposisi kaum dalam dewan negeri.