Separuh penggal 2008 telah berlalu dan kini hanya tinggal separuh lagi. Dalam tempoh enam bulan ini, pelbagai peristiwa telah berlaku. Yang nyata 2008 menunjukkan perubahan yang ketara dalam iklim politik dan ekonomi Malaysia.
Dalam bidang politik, 2008 telah memperlihatkan satu perubahan drastik sikap kebanyakan pengundi di Malaysia terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN). Pilihanraya ke 12 pada 8 Mac 2008 menyaksikan BN telah kehilangan suara 2/3 di Parlimen dan kehilangan empat negeri di pantai barat - Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, di samping gagal untuk menawan kembali Kelantan yang telah dikuasai oleh PAS untuk tempoh 18 tahun.
Di samping itu timbul cerita bahawa terdapat ahli parlimen BN yang akan menyeberang ke Pakatan Rakyat (PR). Isu ini telah digembar-gemburkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat PKR dan beliau meletakkan 16 September 2008 sebagai tarikh paling lewat untuk PR mengambil alih pentadbiran negara. Isu ini semakin panas bila SAPP yang diketuai oleh Datuk Yong Teck Lee membuat kejutan bahawa mereka akan membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang parlimen. Walaupun cadangan tersebut tidak berlaku, kejadian ini menunjukkan bahawa berlaku kegawatan di dalam BN, khasnya komponen parti dari Sabah yang merasakan bahawa Sabah tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari kerajaan persekutuan sama ada dalam soal pembangunan dan jawatan dalam kerajaan pusat seperti yang disuarakan oleg Datuk Anifah Aman.
Isu terkini muncul tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pembantu beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan. Pelbagai spekulasi wujud antaranya tuduhan itu bertujuan untuk mengendurkan kelantangan DSAI dalam usaha-usaha manrik oleh ahli parlimen BN ke dalam PR. Sebelum itu Raja Petra telah membuat penyataan berkanun (statutory declaration) mengenai penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa orang pembantu dalam pembunuhan Althantuya.
Dalam bidang ekonomi, harga minyak di pasaran terus mencanak naik hingga mencapai US$140 setong dan para penganalisis meramalkan ia boleh mencecah US$200 setong pada akhir tahun ini. Walaupun permintaan terhadap komoditi tersebut tidaklah naik mendadak tetapi cara bahan mentah itu didagangkan telah menyebabkan harganya naik akibat spekulasi yang melampau.
Akibatnya, harga bahan bakar tersebut turut dinaikkan lebih 41 peratus bagi petroleum menjadi RM2.70 seliter. Kenaikan ini telah menyebabkan berlakunya rentetan kenaikan dalam harga barangan dan perkhidmatan kerana hampir kesemua aktiviti dalam menyediakan produk dan perkhidmatan menggunakan bahan bakar tersebut khususnya dalam bidang pengilangan dan pengangkutan. Kini kos sara hidup sudah meningkat dengan kadar inflasi dijangka mencapai antara 6 hingga 7 peratus untuk tahun ini. Ramai yang dahulunya berada di dalam golongan berpendapatan sederhana telah menurun kepada golongan berpendapatan rendah.
Seperti biasa, kerajaan menyeru agar kita berhemah di dalam berbelanja. Mungkin ada benarnya kepada mereka yang dahulunya suka melawat ke luar negara, maka kini boleh bertukar kepada dalam negara. Atau yang dahulunya makan di luar hampir setiap hari kini boleh mengurangkannya kepada setiap hujung minggu sahaja. Tetapi kepada golongan yang di dalam keadaan ekonomi negara berkembang pesat hidupnya ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, apakah perubahan lagi yang akan dapat dilakukan. Dalam keadaan indeks komposit mencecah 1,300 mata, mereka berjuang untuk sesuap nasi dan apakah gerangannya dalam suasana hari ini di mana harga 15 % beras patah sudah mencecah hampir RM30 sepuluh kilogram. Apakah jenis hidup lagi yang harus mereka tukar - Mungkin dari 15 % hancur kepada 50 % hancur. Itupun masih bernasib baik lagi dan mungkin yang hanya mampu makan sehari sekali.
Jadi dalam separuh penggal yang mendatang pelbagai cabaran yang akan menongkah kehidupan rakyat. Lazimnya apabila berlaku kesusahan dalam kehidupan pelbagai gejala buruk akan berlaku. Kes jenayah harta benda akan meningkat, pengangguran akan berlaku kerana banyak barangan dan perkhidmatan sekunder tidak dapat dijual dan operasi perkilangan akan dihentikan.
Yang pastinya faktor ekonomi dan politik adalah saling berkait, maka nantikan 16 September 2008. Apakah akan ada perubahan kerajaan? Dan jika adakah kerajaan yang baru ini mampu membawa lebih kesejahteraan kepada rakyat. ..
Rakyat tidak mahu bangunan mencecah langit .. apa yang mereka mahu pendidikan, tempat tinggal, kemudahan kesihatan, keselamatan dan kebebasan.