Wednesday, September 05, 2012

Peristiwa Dalam Bulan Syawal

Ramai umat Islam hanya mengingati Syawal sebagai bulan meraikan selepas berjaya menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Namun jarang sekali dikisahkan bahawa di dalam bulan Syawal juga terdapat peristiwa penting yang perlu diketahui oleh umat Islam, iaitu peperangan Uhud dan Ahzab (Khandak).

Kisah ini telah disentuh di dalam Khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak dan disampaikan pada hari Jumaat 6 Syawal 1433H bersamaan 24 Ogos 2012 yang lalu.

1. Perang Uhud

Perang Uhud berlaku pada 8 Syawal 3 Hijrah. Ia berlaku akibat tindakan
tentera kafir Quraisy yang ingin membalas dendam terhadap kekalahan
mereka di dalam peperang Badar setahun sebelum itu.

Pada peringkat awal, kemenangan telah berpihak kepada tentera Islam,
namun akibat tindakan kumpulan pemanah melanggar perintah Rasulullah
supaya tidak meninggalkan kedudukan mereka di atas bukit dengan turun
ke bawah untuk memungut harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh
musuh sedangkan peperangan sebenarnya belum berakhir dan kesempatan
itu diambil oleh tentera Quraisy untuk menyusun semula strategi menyerang
yang akhirnya mengakibatkan tentera Islam mengalami kekalahan.

Tentera Quraisy yang dipimpin oleh Khalid Ibnu Walid yang ketika
itu belum lagi memeluk Islam telah mengambil peluang itu melakukan
serangan mengejut sehingga berlakunya kekalutan. Dalam suasana kelam
kabut pihak musuh telah melakukan serangan saraf dengan menyebarkan
kononnya Rasulullah telah wafat. Walaupun ada antara para pejuang
melaungkan bahawa Rasulullah masih hidup, tetapi ia sedikit sebanyak
telah menjatuhkan moral tentera Islam yang tidak mendapat
perkhabaran yang sebenar.

Dalam pada itu Rasullulah bersama tiga puluh tentera Islam menuju
ke suatu teluk di Bukit Uhud untuk mengatur perancangan perang
yang baru. Pada peringkat kedua ini, tentera Islam menerima ujian
apabila 70 orang syahid, termasuk Saidina Hamzah Abdul Muttalib
yang digelar As'adullah (Singa Allah).

Pada peringkat ketiga, tentera Islam dapat bertahan apabila tentera
kafir yang tidak berpuas hati kerana gagal membunuh Rasulullah,
mengatur langkah menyerang Madinah.

Bagaimanapun, mereka tidak meneruskan perancangan itu apabila
mengetahui Rasulullah telah bersiap untuk menyerang balas.

Kekalahan pada peringkat kedua ini berlaku akibat pelanggaran
perintah Rasulullah selaku pemimpin di kalangan tentera Islam
untuk terus kekal di posisi di atas bukit dan juga kerana rasa
terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya
pertautan hati dengan Allah.


2. Perang Ahzab

Peperangan Ahzab juga berlaku dalam Syawal dan berlarutan
sehingga awal Zulkaedah tahun 5 Hijrah. Peristiwa ini mudah
diingati kerana setiap kali tiba hari raya, kita sentiasa laungkan
Ahzab (Dan Dialah (Allah) yang memenangkan tentera-Nya serta
mengalahkan tentera Ahzab.

Perang Ahzab yang bererti tentera bersekutu, juga dikenali dengan
nama Perang Khandak (parit) sempena saliran dibina tentera Islam
sebagai kubu. Ia berlaku selepas Yahudi Bani Nadhir dihalau keluar
dari Madinah oleh Rasulullah di atas cubaan membunuh baginda.

Dalam peperangan tentera bersekutu kuffar adalah seramai 10,000
orang yang tiba ke tempat peperangan telah terkejut apabila mendapati
parit digali tentera Islam. Parit yang dibina itu tidak membenarkan
mereka dan kuda yang ditunggang mendekati kawasan umat Islam.
Ia adalah pengalaman strategi berperang yang baru kepada mereka.

Tentera Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang mampu bertahan.
Pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Hanya enam
tentera Islam syahid, manakala 10 Musyrikin dibunuh.

Namun dengan bantuan Allah, maka kemenangan diperolehi oleh tentera
Islam apabila ribut pasir telah menyebabkan tentera musuh berundur.
Berlaku juga kacau-bilau antara mereka apabila pengintip yang dihantar
Rasulullah berjaya melakukan propaganda dan melonggarkan kepercayaan
antara tentera Ahzab tersebut.