Apabila Ramadhan melabuhkan tirainya dan Syawal menjelma, maka umat Islam menyambut hari kemenangan sempena perjuangan di bulan Ramadhan melawan hawa nafsu di samping menysuri kelas-kelas dalam madrasah Ramadhan untuk mendidik diri, membina peribadi dan ukuwah agar menjadi muslimin sejati yang dipanggil insan taqwa.
Bulan kemenangan yang dipanggil Edul Fitri atau orang Melayu menyebutnya hari raya aidil fitri atau hari raya puasa. Sudah menjadi kelaziman (adat) bagi kebanyakan orang Melayu bandar untuk mengadakan rumah terbuka bagi meraikan sahabat-sahabat, rakan-rakan sekerja dan jiran-jiran. Ada yang berkata kalau puasa sebulan, maka beraya pun sebulan juga.
Namun dalam perjumpaan sempena hari raya tahun ini, isu yang paling popular dibincang adalah juga pasal raya, iaitu pilihanraya. Ramai yang "excited" sebab tempoh matang sesi sekarang untuk adakan pilihanraya cuma tinggal enam bulan sahaja lagi. Ada yang tanya bila? Banyak orang banyak ceritanya. Ada yang betul, tak kurang yang sekadar penyedap telinga.
Oleh itu lepas raya aidil fitri ni, akan muncul pula pilihanraya yang mungkin diadakan selepas raya aidil adha, ataupun lepas raya Cina. Dalam sibuk bincang pasal pilihan raya, maka jabatan kerja raya juga sibuk sebab banyak projek-projek kena laksanakan sebelum menjelang pilihanraya. Projek yang belanja besar yang pasti boleh naik papan tanda dulu. Pecah tanah dulu. Rahsia biar pecah diperut. Projek sakit kena "revive" balik. Projek kecil-kecil kena rancakkan agar ribuan kontraktor kelas F senyum dan permukaan jalan kena turap baru.
Bercakap soal pilihanraya tak sah kalau tak cerita pasal hantu raya. Hantu raya yang muncul setiap lima tahun sekali. Kerja dua tiga bulan boleh lepak lima tahun dan tukar kereta baru lepas pilihanraya. Tapi kalau nak jadi hantu raya kena cari tuan yang tepat - pegang budjet dan ada kuasa, barulah boleh sedut mana-mana perbelanjaan dan projek dan pengurusan semasa pilihanraya. Kalau salah tuan, maka merayaulah hantu raya sana sini. Tak de yang nak sedut, lepas pilihanraya menung-menung tukar jadi hantu kom-kom. Lompat sana, lompat sini. Tu pun kalau ada yang sudi.