"Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu. "teks khutbah dipetik.
Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang Qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Manakala sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tabrani:
Mafhumnya: “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”.
Khutbah menjelaskan bahawa apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah mereka yang melakukan rasuah atau bersyubahat adalah dianggap sebagai perompak harta rakyat.
"Berdasarkan pemerhatian mimbar, besar pangkat seseorang maka besarlah peluang untuk merompak harta rakyat dan semakin pintar pula untuk melepaskan diri dari disabitkan dengan jenayah rasuah."
Jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara.
Menurut khutbat ini, pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersyubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara. Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini.
Oleh itu, mimbar Jumaat pada hari itu menyeru semua pihak sama-sama berusaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dalam perkhidmatan.
Di dalam teks itu juga dijelaskan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang.
Di dalam teks itu juga dijelaskan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang.