Tuesday, October 25, 2011

Hidup Dalam Kemaksiatan Tetapi Terus Diberi Kesenangan

http://lesongbatu1.blogspot.com/2011/10/hidup-dalam-kemaksiatan-tetapi-terus.html


Ada orang bertanya mengapa orang yang melakukan kejahatan dan maksiat serta orang-orang kafir kebanyakkan mereka hidup dalam kemewahan dan kesenangan. Tetapi ramai orang yang tekun beramal dengan segala suruhan, sembahyang lima waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan sahaja di bulan Ramadhan, bahkan Isnin, Khamis dan puasa-puasa sunat yang lain, namun hidup mereka biasa sahaja, bahkan ada yang mendapat rezeki cukup makan sahaja dan tidak kurang ada yang susah.

Namun ada segolongan lain yang seumur hidup tak sembahyang, tidak pernah puasa, minum arak dan melakukan segala maksiat, namun hidup mereka bukan setakat senang bahkan mewah seperti mempunyai rumah yang besar dan tersergam indah, kereta mewah menjalar, wang yang banyak, harta melimpah ruah.

Apakah Allah itu tidak adil kepada hambanya yang taat kepadaNYA dengan tidak memberikan balasan yang berupa kesenangan dunia. Namun bagi orang Islam, mereka wajib percaya bahawa setiap ketentuan yang Allah berikan adalah yang terbaik kepada hamba-hambanya.

Dalam ruangan bicara ini, ingin dijelaskan bahawa kesenangan, kemenangan atau apa jua impian yang diperolehi oleh golongan yang melakukan kefasadan kepada Allah kerana ia merupakan Istidraj yang Allah berikan kepada mereka.

Al-Istidraj :-
Iaitu perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang fasik (orang dalam kemaksiatan) atau Kafir sebagai tipu daya buat mereka. Ia akan menambahkan lagi kejahilan dan kebodohan mereka sehinggalah balasan Allah s.w.t menimpa mereka di dalam keadaan mereka lupa.

Allah s.w.t telah berfirman "Tatkala mereka lupa akan apa yg diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan bagi mereka beberapa pintu tiap-tiap sesuatu (nikmat dan kesenangan), sehinggalah apabila mereka telah bersuka ria dengan (kesenangan) yang mereka perolehi itu, lalu dengan se-konyong-konyong Kami siksa mereka, sehingga mereka berputus asa. Maka dihapuskanlah akhirnya kaum yang aniaya; dan pujian-pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam" (Surah Al An’am –ayat 44 dan 45)
Rasullulah s.a.w. bersabda :" Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT ".
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi).

Manusia istidraj
Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong".

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat (sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati,namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang telinganya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul,maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang/mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.

Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.

Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Monday, October 24, 2011

KU HANYA MAMPU MERINDUIMU


Setiap detik yang berlalu
Melayangku ke persada rindumu
Kau selalu ada di dekatku

Dalam sedar kau ditunggu
Dalam tidur kau diburu
Ku menatapmu dengan syahdu

Dari kejauhan sudut hatiku
Terserlah keayu matamu yang sendu
Kau hibur kegundahanku
Melalui derai tawamu

Apa kita tidak ditakdirkan bersatu
Dalam realiti
Ku hanya mampu merindumu

Apa mungkin aku bisa mendapatkanmu
Untuk ku rantai cinta hatimu

Apakah ini akan datang waktu
Untuk ku mengetuk pintu hatimu
Apakah ada ruang untuk aku
Menyatakan bahawa
AKU CINTA PADAMU

- Aku pemburu rindu