Friday, September 30, 2011

Ciri Orang Bertaqwa - Redho dan Ingat Mati


Di dalam siaran Al Zikra pada 30 September 2011, Ustaz Fauzi menyampaikan bahawa Saidina Ali menyatakan bahawa antara sifat-sifat orang yang bertaqwa kepada Allah ialah orang yang sentiasa redho dan selalu mengingati mati.

Redho dalam erti kata menerima segala ketentuan dalam kehidupannya selepas melakukan pelbagai usaha yang dituntut syarak tanpa meratap hiba mengenai musibah atau kesusahan dalam kehidupannya. Bagi melahirkan sifat redho dalam diri manusia, beliau nyatakan bahawa kita kena bandingkan, contohnya musibah yang kita hadapi dengan musibah yang lebih teruk yang dihadapi oleh orang lain. Kalau kita tinggal di rumah yang agak kecil, cuba bandingkan dengan mereka yang tidak langsung punyai rumah atau rumah mereka yang buruk dan tidak selesa. Sekurangnya kita ada rumah yang lebih selesa walaupun kecil. Kalau kita hari-hari makan nasi hanya berlauk ikan, cuba lihat ada insan yang nak dapat sesuap nasi pun susah.

Selalu mengingati mati akan melahirkan insan yang bertaqwa kerana orang yang ingat mati akan ingat Allah dan berusaha untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Bukan bermakna mengingati mati kita harus meninggalkan urusan dunia kerana urusan dunia yang dilakukan menepati syarak adalah dikira sebagai amalan. Orang yang ingat mati, jika ia bekerja dia tidak akan menipu, culas, mengambil rasuah dan menyalahgunakan kuasa dan pangkat. Orang yang mengingati mati ikhlas dalam ibadatnya dan tidak akan riak dan menunjuk-nunjuk.

Thursday, September 29, 2011

Membuat Pilihan - Perlunya Menilai Keutamaan

Dalam kehidupan, manusia perlu membuat pilihan kerana manusia mempunyai had keupayaan, tidak sempurna serta kekurangan dari segi fizikal, spiritual dan mahupun material.

Oleh itu pilihan harus dibuat dengan meletakkan asas-asas pertimbangan yang disandarkan kepada agama, norma masyarkat, undang-undang dan keperluan. Dr Yusof Al Qardawi di dalam kitabnya Fiqh Alawlawiyat atau fiqh keutamaan mengariskan bahawa di dalam kehidupan manusia, pertimbangan harus diberikan dengan meletakkan sesuatu mengikut keutamaannya.

Dalam hal agama iaitu meletakkan yang wajib dahulu dan diikuti dengan yang sunat. Meninggalkan yang haram adalah keutamaan dan diikuti meninggalkan yang makruh.

Dalam soal kehidupan, dalam sumber yang terhad maka pertimbangan harus diberikan kepada penggunaan untuk keperluan asas. Sebagai contoh dalam keluarga, maka pendapatan harus digunakan untuk keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, perubatan dan sebagainya. Oleh itu jika ada keupayaan atau lebih maka bolehlah digunakan untuk kegunaan lain seperti membeli peralatan perkasasan rumah untuk menambahkan keselesaan.

Hatta, dalam soal agama apabila bertemu dua perkara yang besar, contoh antara membiayai keperluan keluarga dan memberi sedekah, maka perkara yang pertama itu harus diutamakan kerana ia adalah wajib bagi ketua keluarga memberi nafkah kepada ahli keluarganya.

Dalam membuat pilihan, maka godaan nafsu manusia sentiasa menjadi cabaran yang besar di dalam membuat keputusan. Di dalam membuat pertimbangan antara keperluan atau kemahuan (Need or Want), maka kawalan nafsu penting agar setiap keputusan adalah mengikut keperluan dan bukannya untuk tujuan lain seperti untuk bermegah-megah.

Begitu juga dalam hal-hal lain dalam memilih kawan, pasangan hidup, pekerjaan dan apa jua perkara, maka wajar dibuat penilaiaan atau wajaran sesuatu keputusan itu diambil kerana keputusan yang salah akan memberikan kesan di dalam kehidupan.

Ramai orang membuat pilihan yang salah dalam hal berbelanja yang akhirnya akan mewujudkan pembaziran dan lebih buruk lagi terjebah dalam krisis kewangan.

Monday, September 26, 2011

Jamuan Hari Raya - Satu Penilaian



Sudah menjadi tradisi umat Islam di Malaysia akan mengadakan jamuan hari raya atau rumah terbuka yang bertujuan bagi meraikan jiran-jiran, sahabat handai dan rakan-rakan sekerja. Mengadakan rumah terbuka pada asasnya untuk kemudahan dari segi pengurusan kepada tuan rumah sama ada dari segi masa dan penyediaan juadah. Melalui penganjuran rumah terbuka tetamu akan di minta hadir dalam waktu yang ditetapkan dan menu khusus disediakan, maka mudah untuk tuan rumah memberikan layanan.


Namun dalam keghairahan mengadakan rumah terbuka, maka kita lupa bahawa kita menyambut Aidil Fitri sebagai tanda kesyukuran kita menjalani ibadat puasa di dalam bulan Ramadhan. Berpuasa bermatlamat untuk melahirkan insan yang bertakqwa. Ia juga sebagai manifestasi untuk memberikan keinsafan mengenai kesusahan insan-insan yang fakir dan miskin yang tidak mempunyai keupayaan ekonomi, hatta dalam menyediakan makanan kepada diri sendiri, mahupun keluarga serta melatih diri supaya sabar dan mendidik jiwa akan sentiasa merendah diri sama ada sesama manusia dan lebih-lebih lagi kepada Allah subhanawataala.


Akan tetapi kalau dilihat cara kita menyambut hari raya dan dengan skala rumah terbuka yang tak menang tangan untuk memenuhi jemputannya, maka ia telah lari daripada matlamat berpuasa, iaitu bertaqwa. Ini kerana ada yang berhabis-habisan untuk beraya dan mengadakan jamuan raya. Demi untuk mengadakan rumah terbuka, maka hiasan dan peralatan perabut kena ditukar ganti kerana ingin menunjukkan kepada tetamu kecantikan rumah mereka. Akan timbul soal menunjuk-nunjuk dan di pihak tetamu juga akan memberikan komen-komen yang manis dan tidak kurang juga yang tidak molek.


Terdapat juga yang menyambutnya dengan mencampurkan dengan perkara-perkara yang dilarang agama seperti diadakan nyanyi-nyanyian yang menampilkan penyanyi yang mendedahkan aurat, lirik-lirik yang tidak memenuhi syarak dan irama yang tidak membina jiwa.


Oleh itu dalam mengadakan rumah terbuka - asasnya adalah untuk meraikan kemenangan dalam menjalani tarbiyah Ramadhan. Jadi ia haruslah sesuai dengan matlamat puasa Ramadhan itu seperti menjamu tetamu. Keduanya untuk mengeratkan silaturahim antara keluarga, ahli masyarakat dan sahabat handai. Jadi jangan ada unsur-unsur yang boleh merenggangkan hubungan silaturrahim dan yang boleh mencalarkan taqwa.