Tuesday, June 14, 2016

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Dalam melakukan sesuatu kita hendaklah menilai akan kemampuan, keupayaan dan kelayakan diri sebelum meneruskan hajat tersebut. Di dalam bahasa Inggeris situasi ini dipanggil " Cut Your Coat According to Your Cloth".

Peribahasa ini boleh merujuk kepada keinginan seseorang untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kemampuan kewangannya terbatas, di mana jika badan kecil, maka pakailah baju yang kecil. Bukan sahaja dari segi saiznya, ia juga merujuk kepada jenama dan jenis material baju tersebut. Jika tidak mampu janganlah berbelanja sehingga berhutang dan akhirnya tidak mampu dibayar.

Pada tahun 2014 seramai 22,351 rakyat Malaysia telah muflis dan 6,802 atau 30.4 % adalah kerana gagal membayar balik pinjaman membeli kenderaan,  4,906 (21.9 %) pula pinjaman peribadi dan 3,880 (17.6%) orang menjadi muflis kerana gagal membayar pinjaman perumahan.

Pada tahun yang sama juga seramai 1,827(8.2 %)  menjadi muflis kerana tidak mampu menjelaskan bayaran kad kredit.

Apa yang membimbangkan terdapat mereka muflis itu berumur 25 tahun dan kebawah, iaitu seramai 635 (2.8%) orang pada tahun 2014.

Apabila seseorang menjadi muflis banyak halangan dalam urusan kewangan  di mana harta mereka akan diletakkan di bawah Jabatan Insovensi Malaysia (JIM). Mereka juga tidak boleh ke luar negara tanpa kebenaran JIM. Segala-galanya mesti mendapatkan kebenaran JIM.

No comments: