Thursday, October 24, 2013

UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM - Bahagian 2

Artikel ini ditulis oleh Muhammad  Fathi Yusof dan sebagai usaha dakwah dan penyebaran ilmu maka ia diterbitkan di sini. Semoga ilmu yang dikongsi ini akan diberikan ganjaran oleh Allah kepada penulis artikel ini dan semua yang membacanya.

Bab Hudud


 Hudud


Hudud dari segi bahasa bermaksud sempadan, had, halangan atau sekatan. Dari sudut istilah pula bermaksud hukuman yang tidak boleh dipinda yang ditetapkan oleh Allah dalam Al-Quran dan Sunnah. Hudud dianggap sebagai hak Allah, dan hukumannya tidak boleh diubah, dipinda, ditambah atau dikurangkan oleh badan perundangan, pemerintah atau hakim.

Terdapat enam kesalahan hudud yang disepakati oleh semua ulama, iaitu:
1.       Zina
2.       Qazaf (Menuduh seseorang melakukan zina tanpa saksi)
3.       Mencuri
4.       Hirabah (rompakan)
5.       Minum arak
6.         Murtad

Kesalahan lain yang tidak disepakati oleh para ulama adalah pemberontakan (al-baghyu), liwat, hubungan sex dengan haiwan, sihir, lari dari medan perang, dan beberapa kesalahan lagi.

1.         Zina

Zina adalah persetubuhan antara seorang lelaki dengan seorang wanita yang bukan pasangan suami isteri. Zina adalah perbuatan keji yang diharamkan. Semua persetubuhan di luar perkahwinan adalah zina kecuali dalam kes wat’i syubhah iaitu persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan yang disangka adalah isterinya yang sah sedangkan perempuan tersebut adalah orang lain. Wat’i syubhah juga berlaku apabila dia bersetubuh yang seorang perempuan kerana perkahwinan yang disangkakan sah sedangkan perkahwinan itu adalah tidak sah.

Sesuatu kesalahan zina boleh disabitkan melalui cara iqrar atau pengakuan penzina sendiri seperti yang berlaku dalam kes Ma’iz bin Malik dan kes pengakuan zina oleh al-Ghamidiyah pada zaman Rasulullah dan kes pengakuan zina anak kedua Sayyidina Umar bernama Ubaidillah atau Abi Shamhah, ketika dia menjadi Khalifah. Menurut Abdul Rahman I. Doi, kebanyakan hukuman hudud yang dijalankan pada zaman Rasulullah dan empat Khulafa al-Rasyidin dijatuhi berasaskan kepada iqrar atau pengakuan.

Selain dari itu zina juga boleh disabitkan melalui kesaksian empat orang saksi lelaki Muslim serta mukallaf dan adil. Saksi itu juga menyaksikan kejadian zina iaitu kemaluan lelaki masuk ke dalam kemaluan perempuan secara jelas serta mereka perlu  memberikan kesaksian menggunakan perkataan yang terus-terang bukan kiasan atau sindiran.

Hukuman zina adalah berbeza mengikut status penzina. Penzina yang sudah berkahwin secara sah dan telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan itu dikenali sebagai ‘muhsan’. Penzina yang belum berkahwin atau sudah berkahwin tetapi belum merasai nikmat persetubuhan dalam perkahwinan itu, pesalah itu dikenali sebagai ghairu muhsan atau bukan muhsan. Hukuman mereka adalah seperti berikut:

i.       Bagi penzina bukan muhsan hukumnya adalah sebat sebanyak seratus kali sebatan. Hukuman bagi wanita yang mengandung ditangguhkan sehingga tempoh penyusuan amat. Hukuman  bagi penzina yang sakit ditangguhkan sehingga dia sembuh. Rotan yang digunakan tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil iaitu lebih kurang satu meter panjang dan satu sentimeter garis pusat. Sebatan dibuat pada merata-rata tubuh kecuali muka, kepala, dada dan kemaluan. Sebatan mesti dilakukan secara sederhana iaitu pegawai yang menjalankan hukuman tidak boleh mengangkat rotan itu tinggi hingga ke paras kepalanya. Pesalah dihukum dengan memakai pakaian yang nipis menutup aurat. Jika semasa sebatan dilakukan, pesalah itu didapati tidak mampu menerima sebatan, maka atas pengesahan pegawai perubatan, sebatan itu perlu ditangguhkan sehingga pesalah itu sembuh kembali. Bagi hukuman yang sabit dengan iqrar atau pengakuan, pesalah boleh menarik balik iqrarnya ketika hukuman dijalankan.

Hukuman ini adalah ketetapan Allah berasaskan firmanNya:

Terjemahan: Penzina wanita dan penzina lelaki hendaklah disebat dengan seratus kali sebatan dan janganlah perasaan belas kepada kedua-duanya menghalang kamu dalam menegakkan agama Allah, jika sekiranya kamu beriman dengan Allah  dan hari akhirat.[1]

ii.       Bagi penzina muhsan, hukumannya adalah rejam dengan batu yang sederhana besar sehingga mati. Hukuman dilakukan secara terbuka  dan disaksikan oleh orang-orang Islam. Hukuman bagi wanita yang mengandung dan orang sakit juga ditangguhkan seperti dalam kes penzina bukan muhsan. Pesalah dikenakan pakaian yang menutup aurat. Bagi pesalah yang sabit kerana iqrar, mereka boleh menarik balik iqrar ketika hukuman berjalan.

Hukuman rejam ini adalah ketetapan Allah seperti yang termaktub di dalam Sunnah Nabi S.A.W. di antaranya:

1)Terjemahan: Dari Abi Hurairah r.a.: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. ketika baginda sedang berada dalam masjid. Dia memanggil Nabi lalu berkata: Ya Rasulullah, saya telah berzina. Rasulullah tidak memandangnya, memalingkan diri daripadanya. Orang itu mengulangi kata-kata itu sehingga empat kali. Maka setelah ia mengaku sebanyak empat kali, Nabi memanggilnya dan berkata: Adakah awak gila? Dia menjawab: Tidak. Rasulullah bertanya: Adalah engkau muhsan? Dia menjawab: Ya. Maka Rasulullah besabda: Bawalah dia dan rejamkanlah dia, maka kami pun merejamnya.[1]

2)Terjemahan: Tidak halal darah seorang muslim kecuali karana salah satu dari tiga perkara: kafir sesudah beriman, berzina sesudah ihsan (muhsan), membunuh nyawa bukan kerana nyawa (qisas)

Hukuman zina hanya dikenakan jika ia dilakukan secara sukarela. Jika ia dilakukan secara paksa atau dirogol maka ia dikecualikan dari hukuman. Islam mengharamkan zina dan mengenakan hukuman keras ke atas pelakunya kerana zina adalah perbuatan yang sangat jijik yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan moral masyarakat.

2.         Qazaf

Qazaf bermaksud membuat tuduhan zina terhadap seorang Islam yang akil baligh dan dikenali sebagai seorang yang bersih dari perbuatan zina tanpa dibuktikan dengan empat orang saksi. Qazaf boleh berlaku dengan membuat kenyataan secara jelas seperti mengatakan seseorang itu telah berzina, atau dengan cara tersirat seperti menyatakan bahawa seseorang itu bukan anak atau bukan bapa kepada seseorang yang tertentu.

Orang yang melakukan qazaf disebat dengan 80 kali sebatan kecuali jika dia dapat membawa 4 orang saksi yang dapat mensabitkan kesalahan orang yang dikatakan berzina tadi dengan kesalahan zina. Hukuman ini berasaskan kepada kepentingan kehormatan dan maruah di kalangan masyarakat. Ia juga untuk memastikan tidak ada sebarang tuduhan zina yang dibuat tanpa asas yang kukuh, kerana tuduhan zina itu suatu yang amat memalukan dan boleh memporak-perandakan keharmonian keluarga.

Hukuman hudud ke atas pesalah qazaf adalah satu ketetapan Allah berasaskan firmanNya:

Terjemahan: Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang muhsanat(baik) dan kemudian mereka gagal membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh sebatan…[1]

3.         Mencuri

Mencuri atau sariqah ditakrifkan sebagai memindahkan dengan cara bersembunyi harta alih daripada jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dan perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menghilangkan harta itu daripada jagaan atau milikan tuannya. Kecurian apak berlaku apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
  1. Nilai harta yang dicuri itu mencukupi nisab iaitu ¼ dinar emas (9.36 gram emas) atau tiga dirham perak.
  2. Harta itu adalah bernilai menurut syara’, jadi mencuri arak, dadah dan seumpamanya tidak dikenakan hukuman hudud.
  3. Harta yang disimpan itu berada di tempat yang sesuai iaitu pemiliknya mengambil langkah yang wajar untuk menjaga harta itu
  4. Tertuduh bukan pemilik penuh ke atas harta itu
  5. Kesalahan itu tidak dilakukan dalam keadaan amat mendesak, seperti perang, kebuluran, penyakit dan bencana lam
  6. Pencuri itu bukan keluarga pemilik barang
  7. Tuan punya harta tidak menafikan tentang kecurian itu walau pun pesalah mengakuainya

Hukuman bagi kesalahan mencuri adalah potong tangan kanan iaitu di bahagian pergelangan tangan pada sendi yang menyambungkan tapak tangan dengan lengan. Bagi kesalahan kedua, dikenakan hukuman potong kaki kiri dipergelangan buku lali iaitu di bahagian tengah kaki, manakala tumit kaki masih boleh digunakan untuk berdiri atau berjalan. Hukuman ini berasaskan firman Allah:

Terjemahan: Pencuri lelaki dan pencuri wanita, maka hendaklah dipotong tangan kedua-duanya sebagai balasan atas apa yang mereka lakukan dan sebagai pengajaran yang dapat mencegah dari Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.[1]

4.         Hirabah

Hirabah adalah perbuatan merampas harta orang lain dengan kekerasan atau ugutan oleh seseorang atau kumpulan yang bersenjata atau alat yang boleh digunakan sebagai senjata. Rompakan adalah satu jenayah yang besar dan bahaya. Oleh itu hukuman yang dikenakan ke atas mereka mestilah berat dan keras. Berbeza dengan pemberontakan, jenayah hirabah ini tidak dilakukan untuk tujuan politik tetapi semata-mata untuk merampas harta dan merosakkan keamanan negara. Hukuman hirabah ini berasaskan firman Allah:

Terjemahan: Sesungguhnya balasan orang-orang yang yang memerangi Allah dan Rasulnya dan berbuat kerosakan di atas muka bumi ini adalah agar mereka dibunuh ataudisalib atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilangatau dibuang negeri…

Berdasarkan ayat ini, terdapat percanggahan pendapat ulama berkaitan dengan hukuman kesalahan hirabah. Al-Quran menyebut tiga bentuk hukuman iaitu: hukuman mati, hukuman salib, hukuman potong tangan serta kaki secara bersilang dan buang negeri. Kebanyakan ulama menghuraikan hukuman hirabah seperti berikut:

a.       dihukum bunuh dan selepas itu disalibkan jika mangsa jenayah itu dibunuh dan hartanya atau harta orang lain diambil
b.       dihukum bunuh sahaja jika mangsa jenayah itu dibunuh dengan tiada sebarang harta diambil
c.       dihukum potong tangan kanan dan kaki kiri, jika harta diambil tanpa  menyebabkan kematian atau kecederaan mangsa
d.       hukuman buang negeri bagi pesalah yang hanya mengganggu lalu-lintas sahaja

5.         Syurb atau Meminum arak

Syurb di sini membawa maksud meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan. Arak adalah ibu segala kejahatan dan ia boleh mendorong kepada jenayah-jenayah lain. Hukuman bagi peminum arak adalah sebatan sebanyak 40 kali. Ada ulama yang menetapkan sebatan sebanyak 80 kali. Kedua-dua pendapat ini berasaskan hadith berikut:

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa seorang peminum arak telah dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. maka baginda memukulnya dengan pelepah tamar sebanyak 40 kali. Kata Anas: begitulah juga dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar. Apabila zaman Khalifa Umar, beliau bermesyuarat bersama para sahabat lalu Abdul Rahman bin Auf berkata bahawa, sekurang-kurangnya hukum hudud itu adalah 80 kali sebatan. Lalu Umar mengarahkan hukuman 80 kali sebatan.[1]

Hukuman hudud ini dikenakan kalau peminum itu meminumnya dengan sengaja dan mengetahui minuman tersebut adalah arak. Tiada bukti yang menunjukkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menetapkan alat-alat tertentu untuk menyebat peminum arak. Kadang-kadang baginda menyebat dengan selipar, kadang-kadang dengan pelepah tamar, kadang-kadang dengan rotan dan kadang-kadang dengan tangan dan selipar.[1] Kaedah merotan dengan alat yang berbeza-beza ini menunjukkan betapa hukuman undang-undang Islam tidaklah bersifat kasar dan keras seperti yang didakwa. Ia jauh berbeza dengan cara sebatan yang digunakan dalam sistem hukuman yang diperkenalkan oleh undang-undang Barat. Fakta ini menunjukkan bahawa tujuan terpenting hukuman ini adalah untuk mendidik dan memberi peringatan kepada pesalah tadi, bukan untuk menyeksa dan menyakitkannya. Apa yang penting undang-undang Islam boleh menimbulkan rasa gerun kepada rakyat agar tidak melakukan sebarang jenayah.



 
6.         Riddah

Riddah atau irtidad adalah kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam yang mukallaf dengan membatalkan Islam dan imannya iaitu keluar dari agama Islam samada dengan perkataan, atau perbuatan. Orang yang keluar dari agama itu disebut sebagai murtad. Jenayah adalah satu kesalahan yang besar terhadap agama, kerana ia menunjukkan satu penghinaan terhadap agama dan kepada Allah.

Hukuman bagi kesalahan riddah adalah dibunuh sehingga mati setelah diberi peluang bertaubat selama beberapa hari. Hukum ini berdasarkan beberapa dalil antaranya:

1) Terjemahan Hadith: Dari Ibn Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia[1]

3) Terjemahan Hadith: Dari Abu Burdah bahawa Mu’az bin Jabal datang menemui Abu Musa Al-Asya’ai di Yaman, didapati ada seorang lelaki di sebelahnya. Mu’az bertanya: Apa ini? Abu Musa menjawab: (Dia) seorang Yahudi memeluk Islam kemudiannya dia kembali menjadi Yahudi, dan kami menghendaki dia kembali kepada Islam semenjak- perawi berkata: aku kira – dua bulan. Kata Mu’az: Demi Allah aku tidak akan duduk sebelum, kamu penggal lehernya, lalu orang itu pun dipenggal lehernya. Mu’az berkata: Allah dan RasulNya memutuskan bahawa sesiapa yang murtad dari agamanya hendaklah kamu membunuhnya, atau baginda bersabda: Sesiapa yang menukar agamanya hendaklah kamu membunuhnya.[2]

[1] Hadith Muttafaq ‘alaihi

[2] Riwayat Ahmad


No comments: