Jenayah dalam bahasa Arab disebut
dengan perkataan al-Jinayah atau al-Jarimah. Perkataan al-Jinayah
ditakrifkan sebagai segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan, samada
tindakan itu ke atas badan, harta atau sebagainya. Al-Mawardi mentakrifkan
jenayah sebagai segala bentuk kesalahan menurut Syariah yang boleh dihukum
berdasarkan hukum Allah samada ia adalah qisas, hudud atau ta’zir.[1]
Takrif ini cuba membezakan kesalahan yang boleh dihukum dengan kesalahan yang
tidak boleh dihukum oleh pemerintah. Ini menjadikan skop jenayah adalah besar
kerana semua kesalahan yang boleh dihukum oleh pemerintah menurut syara’
dianggap sebagai jenayah.
Islam menganggap jenayah satu
kesalahan yang mesti dihukum kerana ia melanggar hak Allah dan hak manusia atau
makhluk lain. Islam memandang
tinggi kemuliaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah. Pencabulan kepada lima
perkara ini adalah jenayah yang perlu dihukum. Untuk menjadikan sesuatu
tindakan itu dianggap jenayah, ia perlu memenuhi elemen-elemen berikut:[2]
a.
Elemen perundangan iaitu peruntukan yang jelas melarang
tindakan jenayah itu dan menjadikannya sebagai kesalahan yang boleh dihukum.
b.
Elemen tindakan iaitu melakukan tindakan yang menjadi
kesalahan itu
c.
Elemen kelayakan iaitu melihat kepada umur, keupayaan,
dan tanggungan penjenayah berkenaan
Undang-undang
Islam membahagikan jenayah kepada tiga pembahagian utama berasaskan kepada
hukuman yang dikuatkuasakan, iaitu seperti berikut:
a.
Qisas dan diyat iaitu hukuman berkaitan dengan hak
individu mangsa atau walinya. Umpamanya setelah hakim mendapati seseorang itu
bersalah kerana membunuh, wali mereka boleh memilih samada untuk meneruskan
hukuman qisas atau menggantikannya dengan diyat atau memaafkannya.
b.
Hudud iaitu hukuman yang berkaitan dengan hak Allah yang
telah ditetapkan dengan jelas di dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud melibatkan
kesalahan zina, qazaf, mencuri, hirabah, minum arak, dan murtad. Hukuman
hudud ini kekal dan tidak boleh diubah sehingga hari kiamat.
c. Ta’zir iaitu hukuman selain dari hudud dan qisas. Hukuman
bagi kesalahan dibawah qisas ini ditentukan oleh pemerintah atau hakim sesuai
dengan suasana, penjenayah, kesalahan dan faktor lain.
Berikut
adalah perbincangan secara mendalam bagi setiap pembahagian jenayah seperti
yang telah disebutkan
1.
Qisas
dan diyat
Qisas bermaksud pembalasan yang
serupa atas kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah. Contohnya, bagi kesalahan
bunuh dibalas dengan hukuman mati, bagi kesalahan membutakan mata dibalas
dengan hukuman membutakan mata dan seumpamanya. Qisas berlaku dalam kes pembunuhan dan
kes kecederaan atas anggota badan
Pembunuhan
(al-qatl)
Hukuman
qisas bagi kes pembunuhan adalah berasaskan firman Allah:
Terjemahan: Hai orang-orang
yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes pembunuhan, iaitu orang
merdeka dengan orang merdekan, hamba dengan hamba, wanita dengan wanita. Maka
sesiapa yang mendapat pengampunan dari sudaranya hendakla9yang memaafkan)
mengikuti dengan cara yang baik dan hendaklah (yang dimaafkan) membayar (diat)
kepada yang memberi maaf dengan baik juga. Yang demikian itu satu keringanan
dari Tuhan kamu dan satu rahmat, sesiapa yang melampaui batas selepas itu ,
maka baginya seksaan yang amat pedih. Dan pada Qisas itu ada (jaminan penerusan)
hidup, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa.[3]
Kebanyakan
ulama membahagikan pembunuhan kepada tiga iaitu pembunuhan dengan sengaja (qatl
‘amd), pembunuhan serupa sengaja (qatl syibhu ‘amd) dan pembunuhan
tidak sengaja (qatl khata’). Setiap jenis pembunuhan ini dihukum dengan
hukuman yang berbeza.
i. Pembunuhan sengaja (qatl ‘amd)
Pembunuhan
sengaja ialah apabila seseorang itu dengan sengaja dan dengan niat untuk
mematikan seseorang hidup yang tidak halal dibunuh dengan menggunakan alat,
bahan atau cara yang kebiasaannya boleh membunuh. Pembunuhan
sengaja ini berlaku apabila memenuhi syarat berikut:
a.
Tertuduh itu orang mukallaf, iaitu dewasa dan siuman.
b.
Orang yang dibunuh itu adalah manusia yang masih hidup
dan tidak halal darahnya.
c.
Alat, bahan atau cara yang digunakan itu kebiasaannya
boleh membunuh
d. Pembunuhan itu dilakukan dengan
sengaja
e.
Kematian mangsa itu adalah akibat dari tindakan tertuduh.
Setelah
memenuhi syarat di atas seseorang itu boleh didakwa, dan jika dia didapati
bersalah, hukuman qisas boleh dikenakan ke atasnya. Hakim seterusnya akan
menyerahkan hak qisas kepada wali kepada si mati. Wali mempunyai pilihan iaitu
samada melaksanakan qisas, menerima diyat atau memaafkannya.
ii. Pembunuhan serupa sengaja (qatl syibhu amd)
Imam
Syafie mentakrifkan pembunuhan serupa sengaja ini sebagai ‘pembunuhan yang
berlaku dengan pukulan yang disengajakan, tetapi tersalah pada kesan
pembunuhannya, iaitu pukulan itu tidak bertujuan untuk membunuh tetapi ia
menyebabkan kematian. Imam Abu Hanifah pula mentakrifkan pembunuhan serupa
sengaja sebagai ‘pembunuhan yang menggunakan selain dari besi tajam, buluh atau
api atau yang seumpamanya. Pembunuhan dengan tongkat, batu kecil atau besar dan
menenggelamkan dalam air adalah pembunuhan serupa sengaja.[4] Kedua-dua takrif ini berasaskan
pendekatan berbeza. Takrif pertama melihat kepada niat pembunuh sementara
takrif kedua menekankan soal alat yang digunakan untuk pembunuh. Takrif pertama
lebih baik kerana ia lebih luas dan turut mencakupi takrif yang dibuat oleh
Imam Abu Hanifah. Ini kerana alat pembunuhan yang digunakan menunjukkan niat
pembunuh itu.
Hukuman
bagi pembunuhan serupa sengaja ini telah disebut di dalam satu Hadith iaitu
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Terjemahan: Ketahuilah bahawa
pembunuhan serupa sengaja dengan cemeti, tongkat atau batu padanya diat berat
iaitu seratus ekor unta dan 40 ekor daripadanya adalah unta betina yang berumur
dari enam hingga sembilan tahun, semuanya sedang bunting.
iii. Pembunuhan tidak sengaja (qatl
khata’)
Pembunuhan
tidak sengaja adalah perbuatan yang menyebabkan kematian tetapi tidak dilakukan
dengan niat membunuh. Hukumannya adalah diyat sebanyak seratus ekor unta.
Hukuman diyat ini berasaskan firman Allah:
Terjemahan: Sesiapa yang
membunuh orang beriman dengan tidak sengaja maka dia perlu membebaskan seorang
hamba dan membayar diyat kepada keluarga si mati kecuali jika mereka (keluarga
si mati) memaafkannya.
Kesalahan mencederakan anggota badan
Kesalahan
mencederakan adalah tindakan yang melukakan, mencacatkan, atau menyakitkan ke
atas anggota atau mana-mana bahagian badan. Ia juga dibahagikan kepada
kecederaan dengan niat dan kecederaan tidak sengaja. Hukuman
bagi kecerderaan adalah seperti berikut:
a. Qisas
iaitu hukuman kecederaan ke atas anggota yang dicederakan. Hukuman ini
dikenakan ke atas anggota yang mempunyai sendi-sendi dan dapat dipastikan
persamaannya seperti jari-jari tangan dan kaki, mata, telinga, hidung, tangan,
kaki, kemaluan lelaki dan gigi. Bagi
anggota lain, hukumannya diganti dengan diat kerana sukar untuk dipastikan
persamaannya.[5] Hukuman qisas ini dijatuhi ke atas
kecederaan secara sengaja.
b.
Diyat
iaitu hukuman gantirugi atau denda yang dikenakan sebagai gantirugi ke atas
anggota badan yang dipotong atau dilukakan oleh penjenayah. Diat dikenakan jika
pesalah melakukan kesalahan kecederaan tidak sengaja atau jika hukuman qisas
tidak dapat dijalankan dengan sebab-sebab tertentu seperti penjenayah
sememangnya cacat, atau mangsa telah memaafkannya dari pelaksanaan qisas. Kadar
diyat ini ditetapkan berasaskan anggota yang dicederakan contohnya 100 ekor
unta bagi anggota yang tunggal sepert lidah, kemaluan lelaki, 50 ekor unta pula
didenda bagi anggota kembar seperti telinga dan seterusnya. Kadar diyat juga boleh dikira
berasaskan fungsi anggota tersebut seperti 100 ekor unta untuk kehilangan
fungsi pendengaran dari kedua-dua telinga, dan kehilangan fungsi menghidu dan
seterusnya. Diyat juga boleh dilihat dari sudut kadar luka umpamanya luka yang
mengena daging setelah kulit (al-badhi’ah) diyatnya 3 ekor unta, luka
yang masuk dalam daging (al-mutalahimah) diyatnya 4 ekor unta, luka yang
mematahkan tulang (al-hasyimah) diyatnya 10 ekor unta dan seterusnya.
Tegasnya
hukuman qisas dalam kes pembunuhan dan kecederaan menunjukkan keadilan Islam
iaitu memberikan hukuman setimpal dan sama dengan kesalahan yang dilakukan.
Hukuman ini akan menjadikan penjenayah akan lebih takut untuk melakukan
jenayah, baik jenayah pembunuhan atau kecederaan. Qisas tertakluk kepada hak
mangsa kecederaan atau wali si mati kerana fitrah manusia yang inginkan sesuatu
kejahatan yang dilakukan ke atas diri seseorang atau keluarganya dibalas dengan
seadilnya. Cara ini dapat mengelakkan dari berlakukan permusuhan dan
pertentangan berlarutan akibat dari jenayah yang berlaku. Hukuman diyat pula
membuktikan betapa Islam mengutamakan hubungan kemanusiaan sesama anggota
masyarakat. Sikap bermaaf-maafan adalah satu perkara yang amat di alu-alukan
bagi memadam dendam yang berpanjangan.
[1] Al-Mawardi, Al-Ahkam
al-Sutaniyyah, ms.192
[2] Anwarullah,
Criminal Law of Islam, A.S.Noordeen, Kuala Lumpur, 1997, ms.3-4
[3] Surah
al-Baqarah:178-179
[4] Abdul Ghani
Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, Al-Hidayah Publisher, Kuala
Lumpur, 1997, ms. 187
[5] Abdul Ghani
Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 194
No comments:
Post a Comment