Wednesday, October 23, 2013

BAHAYA FITNAH QAZAF KEPADA UMAT ISLAM



Qazaf berlaku apabila ada seseorang menuduh orang lain melakukan zina atau liwat. Menurut ajaran Islam, si pendakwa wajib membawa empat orang saksi yang adil, yakni yang mempunyai peribadi yang mulia.

              “Dan orang-orang yang melemparkan tuduham (zina) kepada perempuan yang 
               terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, 
               maka sebatlah mereka lapan puluh (80) kali sebatan dan janganlah kamu 
               menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah 
                orang-orang yang fasik” – Surah An Nur: 4.

Orang yang dituduh melakukan perbuatan zina (al-maqzuf), liwat atau sepertinya tidak perlu dibicarakan. Sebaliknya yang perlu dibicarakan adalah orang yang menuduh kerana oleh sebab dia melemparkan tuduhan “Qazaf”, maka dia wajib mengemukakan bukti-bukti yang kukuh bagi menyokong dakwaannya itu. Kaedah syariah berkenaan hal ini ialah seseorang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dan orang yang dituduh tidak perlu melakukan sumpah.

Kesan-Kesannya

Jenayah Qazaf membawa kepada hukuman berikut: (Al Qardhawi, dalam mentafsirkan ayat surah An Nur ayat empat).

Pertama: Hukuman fizikal, iaitu sebat sebanyak lapan puluh sebatan kepada orang yang menuduh tetapi gagal membawa empat saksi.

Kedua: Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan social orang yang menuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik dan lainnya tidak boleh diterima pakai. Perkataan “kesaksian” mencakupi seluruh jenis kesaksian.

Ketiga: Hukuman agama, iaitu dengan menggelarnya sebagai orang yang fasik dan memasukkannya ke dalam golongan Fasiqun. Al Quran menyebutkan kefasikan sebagai lawan keimanan. Mereka tergolong dalam golongan fasiq serta terputus daripada mendapat rahmat dari Allah s.w.t. dan bakal mendapat azab serta seksa di akhirat selama-lamanya.

No comments: