Friday, October 29, 2010

Antara Bala dan Ujian

Setiap kejadian/kerosakan adalah akibat tangan manusia. Tangan di sini dimaksudkan ialah perbuatan.

Sebagai orang yang beriman kita patut akui bahawa apa yang berlaku adalah bencana atau bala yang diturunkan oleh Allah sebagai peringatan kepada manusia.

Apabila bala turun, musibahnya tidak hanya ditimpa kepada pembuat kerosakkan sahaja, tetapi akan mengenai kepada semua manusia dan isi alam sama ada yang baik atau yang jahat. Oleh kerana itulah diajar agar terdapat segolongan yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Hidup tak boleh nafsi-nafsi atau sendiri-sendiri sebab kesannya akan kena pada semua.

Apabila dikenakan bala bukan bermaksud semua penduduknya jahat. Bagi yang jahat ia dikenakan bala, tetapi bagi manusia yang baik dikenakan ujian. Bala dikenakan dengan tujuan Allah melihat adakah golongan yang engkar akan menginsafinya atau akan terus-terusan dalam kerosakkan, manakala ujian bagi golongan yg baik bagi menguji tahap keimanan ataupun "memprotes" terhadap Allah bila dikenakan ujian itu.

Dalam Islam terdapat apa yang dipanggil "istidraj" iaitu satu bala dalam bentuk kesenangan yang diberikan kepada mereka yang engkar akan suruhan Allah. Contoh yang dapat diberikan seperti Firaun dan Qarun di mana mereka ini adalah golongan yang engkar tetapi terus diberikan kesenangan dan dengan kesenangan itu mereka terus hanyut dalam kesesatan atas kehebatan yang diberikan kepada mereka. Contoh dalam masyarakat kita begitu banyak, di mana pelaku maksiat menjalani hidup dengan kemewahan serta mempunyai harta yang melimpah ruah. Namun istidraj yang Allah kenakan ke atas mereka, kita lihat hidup mereka dipenuhi dengan maksiat. Harta digunakan untuk membuat kerosakan pada diri mereka, keluarga dan masyarakat mereka. Mereka terus menjadi jahat dan bertambah jahat.

Kesimpulannya kalau kita diberikan kesenangan oleh Allah bukan bermakna Allah sayangkan kita dan kalau mendapat kesusahan bukan bermakna Allah tidak sayang kepada kita, tetapi amalan kita yang menjadi penentu kerana Allah itu maha adil, kerana Allah memberikan akal dan akidah kepada kita. Allah memberikan rahmat kepada sekelian alam, tetapi keberkatan hanya diberikan kepada mereka yang akur dan tunduk kepada perintahNya.

Apapun apa yang berlaku ada sebabnya .. carilah dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita. Pasti akan ada jawapan atau sebab mengapa ia berlaku ..

Wallahu Aqlam.

Monday, August 30, 2010

Media Menjadi Alat Politik

Peranan media kini telah diselewangkan daripada menjadi alat perpaduan kepada menjadi alat propaganda politik golongan tertentu. Apabila media telah lagi dari tujuan asal kewujudannya, maka segala maklumat yang disampaikan menjadi tidak lengkap, dimanipulasi, digelapkam dan digarap oleh penulis dan penyuntingnya bagi memenuhi kehendak "political master".

Amat malang media di Malaysia, sama ada eletronik atau cetak telah berapa pada tahap yang menjelekkan dan tahap etika telah dibakulsampahkan oleh mereka.

Peranan media untuk menyampaikan maklumat tepat dan benar serta menjadi alat yang penting di dalam memupuk perpaduan masyarakat telah dikesamping demi memenuhi cita-cita politik.

Tuesday, August 24, 2010

Rakyat Didahulukan: Saidina Omar Contoh Terbaik

Saidina Omar Al-khatab adalah khalifah Islam kedua dalam pemerintahan Khulafa Arrasyidin. Dalam masa pemerintahan beliau sebagai Khalifah Kerajaan Islam Madinah telah berlaku kejadian kemarau yang teruk hingga menjejaskan tanaman dan kehidupan rakyatnya.

Dalam menghadapi masalah ini, Saidina Omar telah berucap di depan rakyatnya, seraya berkata "Apakah kejadian kemarau ini berlaku akibat kesalahan (dosa) yang aku lakukan sehingga kamu semua rakyat terpaksa menerima balasannya atau apakah ia akibat kesalahan (dosa) yang kamu semua lakukan sehingga aku juga menerima akibatnya."

Di sini dilihat bahawa dalam memahami masalah kemarau, Khalifah sendiri akan muhasabah dirinya selain memohon agar rakyatnya juga berbuat perkara yang sama. Semoga melalui proses ini mereka akan memperbetulkan kesilapan yang mengundang murka Allah melalui bala kemarau.

Dalam menghadapi kemarau, maka kebergantungan rakyat hanyalah kepada khazanah negara. Oleh itu sebagai khalifah , Saidina Omar telah menyediakan makanan untuk rakyatnya dan akan pastikan bahawa setiap orang daripada mereka tidak terlepas daripada mendapat bantuan makanan.

Saidina Omar akan pastikan rakyatnya dapat makanan dahulu berbanding dirinya. Sesudah semua makanan yang disediakan diagihkan kepada rakyatnya, maka barulah beliau akan memakan lebihan daripada rakyatnya.

Dikisahkan apabila sudah diagihkan kepada semua rakyatnya dan makanan yang lebih telah diberikan kepada beliau, walaupun begitu beliau masih keberatan untuk memakannya kerana beliau masih khuatir akan ada rakyatnya yang masih memerlukan makanan tersebut sehinggalah di akhirnya yang tinggal hanyalah sisa-sisa minyak di dalam bekas makanan itu untuk beliau dan digaulkan dengan sisa-sisa roti untuk beliau makan.