Showing posts with label judi. Show all posts
Showing posts with label judi. Show all posts

Thursday, June 24, 2010

Tak Faham Tapi Nak Tunjuk Pandai

Haram itulah hukum yang termaktub di dalam Al Quran. Bila haram berdosa kalau dilakukan dan tidak ada pandangan kedua atau ketiga untuk menolaknya dan tidak boleh dikaji lagi untuk menghalalkannya.

Oleh itu adalah salah bila kerajaan berkata bahawa pandangan semua pihak akan diambil kira dalam menentukan pelaksanaan aktiviti berjudi dalam sukan khasnya dalam kejohanan bolasepak Piala Dunia. Tak perlu semua tu sebab hukum dah jelas. Haram dan tak boleh dibuat perkara tersebut.

Judi walaupun adalah dalam kategori dosa besar bersama dengan arak, tetapi berbeza kerana dalam kalangan orang bukan Islam mereka dibenarkan meminum arak, tetapi tiada satupun di kalangan agama bukan Islam membenarkan aktiviti perjudian.

Islam itu adil dan menghormati hak bukan Islam. Lantaran itu Islam membenarkan orang bukan Islam mengamalkan cara hidup yang dibenarkan oleh agama orang bukan Islam termasuk meminum arak. Namun ia harus secara yang terkawal dan tertutup serta ditempat khusus.

Monday, June 07, 2010

Mereka Yang Membenarkan Judi Wajid ditentang - Mufti Selangor

Mana-mana orang Islam yang menghalalkan kegiatan judi wajib ditentang kerana telah melakukan jenayah kepada agama dan ummah, begitu kata Mufti Selangor Dato' Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Menurut Mufti Selangor ini, tiada logik dan alasan yang munasabah untuk membenarkan kegiatan judi berleluasa kerana semua pihak akui bahawa judi membawa mudarat, walaupun keuntungan dari jenayah judi itu digunakan untuk tujuan kebajikan.

TV Selangor menghubungi Dato’ Setia Utama Diraja Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abd Wahid untuk meminta panduan berhubung permintaan hartawan kaya Vincent Tan supaya kerajaan Selangor menarik-balik sekatan keatas pertaruhan judi bolasepak, yang diberi kepadanya oleh kerajaan Pusat.

Vincent Tan memberi jaminan bahawa beliau akan mendermakan RM525 juta hasil judi kepada badan-badan kebajikan.

"Sepatutnya maknanya tidak ada satu agensi atau lebih-lebih lagi agensi kerajaan yang hendak menghalalkan judi bukan senang orang Islam.Sepatutnya orang Islam mematuhi peraturan ketika hidup di dunia sebagaimana yang dikatakan hadis Rasullullah S.A.W : orang Islam ini mesti patuh kepada syarat yang ditetapkan oleh peraturan Allah Subhanawa Taala.

Melainkan satu syarat dia tidak ikut ,kalau ini dilanggar maknanya memang boleh diperangi, contohnya menghalalkan benda yang haram atau mengharamkan benda yang halal, jadi jika seorang Islam yang menghalalkan judi kita boleh memerangi mereka".

Mufti Selangor menasihatkan orang-ramai supaya tidak terkeliru dengan pelbagai alasan yang diberi oleh penguasaha dan penyokong judi sukan ini.

"Sebenarnya hasil judi ini,itu sudah jelas, maknanya hukumnya tetap haram,maknanya hasil judi ni apa cara sekalipun memang ia adalah salah satu sumber yang dilarang oleh agama" .
"Di samping itu juga maknanya tidak ada dosa yang sehebat judi tu, kerana itu kita disuruh memerangi judi itu” tambah beliau lagi.

Tuesday, May 25, 2010

Bebaskan Sukan Dari Aktiviti Yang Merosakkan Masyarakat

Bersukan merupakan aktiviti yang baik kerana ia bukan sahaja menyumbangkan kepada kesihatan fizikal tetapi juga alat untuk membentuk ketahanan mental. Ia juga menjadi alat untuk mewujudkan perpaduan dalam masyarakat melalui aktiviti-aktiviti sukan yang dianjurkan dalam pelbagai peringkat.

Oleh itu sewajarnyalah aktiviti yang sihat ini tidak assosiasikan dengan aktiviti yang boleh merosakkan masyarakat. Langkah kerajaan mengharamkan pengiklan rokok atau sebagai penaja aktiviti sukan sangat disokong kerana merokok adalah merbahaya kepada kesihatan.

Langkah yang sama juga wajar diambil oleh kerajaan untuk tidak membenarkan syarikat arak menaja aktivit sukan dan mengiklankan arak dalam aktiviti sukan. Ini kerana arak adalah haram di dalam Islam dan penyebab atau ibu kepada segala masalah sosial dalam masyarakat.

Namun apabila kerajaan menghalalkan judi atau pertaruhan untuk kejohanan piala DUnia 2010 ini, maka adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan kerana ia bertentangan dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Semua masyarakat tahu bahawa judi juga menjadi punca pergolakan rumahtangga dan berdasarkan kepada laporan media, antara pelanggan utama ceti haram along adalah kaki-kaki judi yang ketagih untuk berjudi sehingga sanggup berhutang untuk memenuhi tabiat mereka.

Oleh itu adalah wajar kerajaan menarik balik kebenaran untuk pertaruhan judi bolasepak Piala Dunia dan adalah diharapkan juga dihapuskan segala bentuk punca yang boleh merosakkan ahli dan masyarakat.